Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Isnin, 25 Jun 2012

Sejarah dan Pelancongan: Batu Kurau Perak


Assalamualaikum..


Sebelum bercerita lebih lanjut moh kita tonton sedutan khas ni... Lepas tu cer teka which place pulak yang saya nak cerita kali ni....




Pernah pergi ke Batu Kurau? Ha... Sedutan tu tadi pasal Durian Batu Kurau yang confirm bermutu tinggi dan lazat dimakan. Rasanya memang power! Bagi peminat durian, kalau dengar yang durian tu datang dari Batu Kurau sure suka dan tak sabar nak beli kan??? Tapi hati-hati sebab ada peniaga yang letak nama Durian Batu Kurau untuk melariskan jualan mereka dengan grade D24 dan sebagainya. Sebenarnya durian Batu Kurau ni tak der sebarang gred dan bukan durian kawen. Durian Batu Kurau adalah durian kampung dan asli. Jom baca sambil layan lagu ni... Nyanyian Mr Os kite :)






Nak tahu Batu Kurau kat mana? Dah kenal dengan keluarannya kena tahu gak tempat asalnya kan... Sebenarnya Batu Kurau terletak di utara Taiping dan merupakan salah sebuah mukim di daerah Larut Matang yang terletak kira-kira 20 km dari Bandar Taiping . Batu kurau boleh dilawati dengan melalui Jalan Besar dari Kamunting ke Batu Kurau atau dari Selama melalui Jalan Redang Panjang atau Jalan Pondok Tanjung ke Batu Kurau.


Dari sudut sejarah, Batu Kurau telah dibuka sejak tahun 1850-an lagi, apabila pemimpin Batu Kurau yang pertama iaitu Tok Amar Wan Kasa Bin Raja Hulubalang Petani telah dilantik menjadi Penghulu pada tahun 1859-1867. Dalam hal ini didapati sejarah kewujudan mukim Batu Kurau adalah sezaman dengan sejarah pembukaan dan kemajuan bandar Taiping pada tahun 1850-1857 semasa Long Jaafar menjadi pembesar di jajahan Larut (Taiping). Dari itu tidak heranlah jika majoriti penduduknya bercakap dalam Bahasa Petani.


Menurut orang tua-tua, asal-usul nama Batu Kurau diambil sempena daripada seketul batu besar yang menyerupai ikan kurau terletak di tebing Sungai Kurau (berhampiran jambatan jalan raya Kampung Batu 14). Sungai ini berpunca daripada beberapa batang anak sungai dari Kampung Sempeneh, Anak Kurau, Changkat Lobak hingga ke Kampung Pondok Tanjung, seterusnya mengalir ke Bukit Merah dan masuk muara di Kuala Kurau, daerah Kerian.

Orang Kuat Batu Kurau Berlatar belakangkan Masjid Alkurawi
Toh Sajak berada barisan hadapan 2 dari kiri - Photo milik Mania '77
 
Penduduk di Batu Kurau kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu keturunan Petani yang mempunyai pertalian darah dengan penduduk wilayah Pattani, Selatan Thai. Sememangnya orang Petani suka memilih tempat yang strategik untuk membuka kampung sesuai dengan cara hidup mereka yang bercucuk tanam dan menternak haiwan. Mereka suka tinggal di kawasan kaki bukit yang mempunyai lata sungai yang jernih airnya serta kawasan tanah pamah yang berpaya untuk menanam padi. Kawasan kaki bukit memang sesuai untuk tanaman pokok buah-buahan seperti durian, langsat, manggis, cempedak dan sebagainya; sementara lata yang mengalir ke sungai-sungai dapat membekalkan air ke sawah padi. Justeru, kehidupan orang Petani yang begitu simbiosis dengan faktor alam semula jadi ini telah menjadi satu nostalgia sebagaimana dengan serangkap lagu lama orang Petani seperti di bawah :

"Ayun pak pek pak pong, Gulai asam pedas, Pakai baju tampung, Lenggang bagai duras, Duras buaya kampung, Hilir-hilir mudik, Mana kampung kita, Balik sana bukit!"


Justeru, walau di mana jua di negara ini, jika kita melihat pemandangan topografi seperti ini sudah pasti penduduknya adalah terdiri daripada orang-orang Petani. Sebagai contoh di negeri Perak orang Petani juga tinggal di Ijok, Selama, Bukit Gantang, Air kuning, Lenggong, Gerik dan Pengkalan Hulu; sementara di Kedah pula seperti di Baling dan juga Sik.


Bangunan Masjid Al-Kurauwi, Batu Kurau -  kerja wiring dilakukan oleh Mr Hb

Nama-nama tokoh besar yang lahir dari Batu Kurau ialah seperti Allahyarham Dato’ Seri Hj. Kamaruddin B. Mat Isa mantan Menteri Besar Perak yang kelima (1970-1974) yang berasal dari Kampung Batu 16. Selain itu, Allahyarham Tuan Hj. Muhammad Saman B. Muhammad yang lebih dikenali sebagai Hj. Mat Saman Kati (1922-1995) berasal dari Kampung Relau Berdiri, Batu 16; merupakan seorang ulama terkenal dan pernah dilantik sebagai Mufti negeri Perak dari tahun 1978-1986.

Pemandangan dari puncak Gunung Kurau

Batu Kurau mempunyai lebih dari seratus buah kampung! Antara kampung yang terdapat di Batu Kurau ini adalah Kampung Titi Kasai, Kampung Pondok Tanjung, Kampung Sungai Akar, Kampung Becah dan Kampung Pantai Besar Batu Kurau. Nak tulis semua tak de kemampuan heheh.


Antara sekolah yang terkenal di Batu Kurau ialah SMK Dato Kamaruddin, manakala sekolah yang lain terletak agak jauh antara satu sama lain. 


Kawasan perkelahan Air Terjun Kampung Sempeneh Cempaka Batu Kurau sudah terkenal bagi penduduk di Taiping dan sekitarnya. Anak kecil anda boleh mandi di kawasan air terjun yang cetek dan berpasir, manakala yang remaja pula boleh menguji keberanian dengan mandi di air dalam dan berbatu. Biasanya kanak-kanak kampung akan melompat dari jambatan besi ke air. Selain itu terdapat juga kawasan perkelahan Lata Air Hitam dan Jelai. Kesejukan dan kejernihan airnya pasti tidak boleh dilupakan oleh setiap pengunjung yang berkunjung. 

Permandangan di Telaga Tujuh, Repoh, Batu Kurau

Batu Kurau juga terkenal dengan keunikan Telaga Tujuh, yang asal usulnya dikatakan mempunyai tujuh buah telaga di sungai di situ. Menurut penduduk tempatan, Telaga Tujuh terhasil akibat daripada turunnya tujuh orang puteri dari kayangan. Tetapi kini, telaga tersebut tinggal tidak sampai tujuh buah kerana telah ditimbus oleh pasir sungai.


Di sini juga terdapat sebuah Pusat Dirasat Al Quran dan Tahfiz Batu Kurau yang dibina di atas sebidang tanah seluas satu ekar, yang terletak di Kampung Sempeneh Batu Kurau, Perak. Tanah dan sebahagian kos pembangunan Pusat Dirasat ini diwakafkan oleh Tuan Hj Mahmud Zuhdi Hj Din dan keluarga beliau pada awal tahun 2004. Tujuan pembinaannya adalah menempatkan pusat yang dapat melahirkan pelajar yang mahir membaca al Quran mengikut Qiraat yang betul, melahirkan pelajar yang dapat menghafaz al Quran dengan sempurna, melahirkan pelajar yang boleh memahami, mantafsir dan menghayati al Quran, melahirkan pelajar yang berakhlak, bertanggungjawab dan berwawasan dan melahirkan pelajar yang berkemampuan memimpin institusi pengajian alQuran. Ia juga membuka kelas pengajian untuk penduduk kampung belajar membaca al Quran.


Selain daripada itu terdapat juga Pusat Tahfiz Nurul Iman yang dirasmikan Majlis Pecah Tanahnya oleh Menteri Besar Perak, YB Dato' Seri Zamry Abd Kadir pada 23 Januari 2011.


Di sini juga terkenal denga Silat Gayung Fatani. Seni silat ini adalah ilmu Silat Melayu yang diturunkan oleh pengasasnya iaitu asaskan Syeikh Abdul Rahman Tahir kepada anaknya juga seorang guru agama iaitu Haji Ramli bin Abdul Rahman yang dikenali sebagai Tok Yah Ramli. Anak murid Haji Ramli Bin Abdul Rahman bernama Haji Abdullah Darus dan Haji Mat Isa (Awang Pendekar) telah membuka dan mengembangkan ilmu persilatan ini ke Batu Kurau, Perak dalam tahun 1948.



Selain daripada berniaga, masyarakat di sini juga kebanyakannya bekerja sebagai petani dan menternak binatang untuk tujuan komersial. Terdapat banyak dusun buah-buahan yang terkenal di sekitar kawasan ini dan mampu memberikan pendapatan yang lumayan kepada para pekebun. 


Bagi yang ingin berkunjung ke Batu Kurau, selain daripada kawasan perkelahan Air Terjun Kampung Sempeneh Cempaka Batu Kurau; terdapat satu lagi tempat yang boleh dikunjungi. Paling best adalah kepada kaki pancing. Kurau Stone Fishing & Highland Stay: D'Bukit Homestay adalah tempat yang boleh dikunjungi untuk tujuan itu. Selain daripada memancing, aktiviti ATV All-Terrain Vehicle), aktiviti makan-makan di restoran yang berkonsepkan gazebo, pakej motivasi dan aktiviti lasak seperti flying fox.
         





Antara anak kelahiran Batu Kurau yang berjaya menepa nama mereka adalah Saudara Jailani Abu Hassan (Jai), salah seorang pelukis Malaysia yang tersohor; Saudara Aloy, salah seorang kartunis popular tanah air dan Usu Azha Haji Hamzah, penulis, bekas editor dibeberapa majalah dan insan disebalik tabir beberapa buah drama.

Saudara Jailani Abu Hassan bersama karyanya yang dipamerkan di New York pada tahun 2011
  
 

4 ulasan:

  1. Saya anak kelahiran batu kurau.. saya amat rindukan batu kurau yg sudah saya tinggalkan selama 25thn saya dah xbalik sana.. hubungi saya jika saudara/saudari yg masih disana..012-3711308

    BalasPadam
  2. Saya anak kelahiran kampung pantai besar...saya amat rindukan sungai yang sejuk jernih dan keenakan buah duriannya ... juga pekan selasa batu kurau...keaslian pekan sampai sekarang terpelihara....keramahan dan keceriaan masyarakat batu kurau mmg tidak dpt saya lupakan....Azhar Hj Mohd Ghazali

    BalasPadam
  3. Bagaimana hendak ke Air Hitam & berapa jarak batu kurau ke air hitam. Boleh dapatkan senarai harga & tempat penginapan beserta dgn no. Tel dikwsn air hitam @ batu kurau serta tempat-tempat yg selalu & sesuai dikunjungi.

    BalasPadam
  4. Bagaimana hendak ke Air Hitam & berapa jarak batu kurau ke air hitam. Boleh dapatkan senarai harga & tempat penginapan beserta dgn no. Tel dikwsn air hitam @ batu kurau serta tempat-tempat yg selalu & sesuai dikunjungi.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...