Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Selasa, 5 Jun 2012

Perak: Sejarah Negeri Perak ...Part II


Assalamualaikum.


Saya nak sambung balik sejarah Negeri Perak. Dah bacakan Sejarah Negeri Perak part I kan. Di sini ada lagi sambungannya. Jadi saya harapkan tiada rasa bosan yer kala membaca cerita-cerita sejarah ni. Sekadar perkongsian ilmu dari saya... Juga buat tinggalan untuk rujukan anak-anak kelak Insyaallah :)

Sambung balik...

Bendera negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi tiga warna berjalur putih, kuning dan hitam. Ketiga-tiga jalur ini sama lebarnya. Warna putih melambangkan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Warna kuning melambangkan kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan. Warna hitam melambangkan kebesaran Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan.


Lambang Negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi Jata Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Jata ini dilingkungi dengan bulan sabit yang mengandungi bunga padi. Jata melambangkan Kedaulatan Raja Pemerintah. Bulan Sabit menandakan Agama Islam sebagai agama rasmi. Bunga padi menggambarkan sumber perusahaan rakyat dan kesuburan negeri.

*********************************************


Campurtangan Inggeris di Perak 

Percampuran dasar Inggeris terhadap Negeri-negeri Melayu di akhir kurun ke 19 telah mendorongkan pihak British untuk mengubah sikap berdagang dan campurtangan dalam urusan politik dan pertadbiran - iaitu penjajahan secara langsung atau tidak langsung terhadap kesemua Negeri Melayu di Semenanjung.

Gambo pete lame perak ni kiriman sahabat fb Yanz. Yang ni originalnye dilukih oleh oghang-oghang British. Kebanyakan penempatan dalam peta ini mengikut laluan sungai... Udah sinonimnya... Pihak British ni dulu gemo beno nuko-nuko name tempat ngikut bahase deme... Cer kome nengok... Macam mane ropenye pule bile deme ngeja dalam bahasa inggeris name-name tempat di Perak... Dapat kome kenal pasti name-name tempat tu?


Seperti helang kelaparan mereka hanya menunggu peluang dan ketika yang sesuai untuk menyambar terus kemakmuran Negeri Perak. Inggeris yang telah lama mengkaji sistem pentadbiran, struktur, sosial, ekonomi dan politik bumiputera di Negeri-Negeri Selat dan di negara-negara yang dijajahnya telah berjaya menyingkap segala aspek kehidupan masyarakat Melayu dan menggunakan kelemahan-kelemahan yang terdapat untuk menguasai terus Negeri Perak dengan memperalatkan institusi-institusi traditional. Peluang ini tercapai apabila berlaku perselisihan merebut takhta kerajaan semasa Sultan Ali Al-Mukamal Inayat Shah, Sultan Perak ke 24 mangkat di Sayong pada tahun 1871.


Raja Muda Abdullah yang bersemayam di Batak Rabit sepatutnya mudik ke Sayong untuk ditabalkan sebagai Sultan tetapi beliau enggan berbuat demikian. Ini telah mengakibatkan jenazah Almarhum tidak dapat dimakamkan selama sebulan, dan bagi menyelesaikan masaalah ini Raja Bendahara Ismail telah ditabalkan sebagai Sultan.


Maka berlakulah perselisihan yang berlarutan diantara Raja Abdullah dengan Sultan Ismail. Di samping ini terdapat pula pergaduhan besar dan sikap bermusuhan diantara dua kongsi gelap pelombong-pelombong Cina, Ghee Hin dan Hai San disekitar Kelian Puah dan Kelian Baharu dan berlarutan hingga ke negeri-negeri lain. Peperangan telah berlaku disepanjang tahun 1861- 1862 dan 1871-1874.


Pergaduhan-pergaduhan dan perselisihan merebut takhta kerajaan ini telah di pergunakan sepenuhnya oleh pihak Inggeris untuk mencampuri urusan dalam Negeri Perak supaya kepentingan mereka tidak terjejas dan kekayaan Negeri Perak dapat dieksplotasikan sepenuhnya bagi menampung keperluan ekonomi negara ibunda mereka.


Dengan kepintaran siasah dan ilmu penjajahan yang telah berkurun dipelajari, Inggeris telah berjaya memerangkap Raja Abdullah dan beberapa orang Orang Besar-Besar Perak untuk berunding di Pulau Pangkor. Wakil-wakil kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San juga turut hadir bagi membalas jasa Inggeris yang telah banyak berbudi kepada mereka. Maka pada 20 Februari 1874 berlakulah satu detik sejarah yang tidak akan dilupakan oleh orang-orang Melayu Perak dan seluruh Semenanjung Tanah Melayu dengan termeterinya satu perjanjian yang di namakan Perjanjian Pangkor.


Perjanjian Pangor 1874

Kejayaan Inggeris dalam babak pertama dalam siri penjajahan mereka di Tanah Melayu ini telah menjatuhkan mertabat kuasa mutlak Raja Melayu terhadap tanah air mereka sendiri dengan hanya menjadi Sultan sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja. Urusan pentadbiran dan ekonomi dalam negeri terserah bulat-bulat kepada budibicara Residen Inggeris yang secara langsung dipertanggungjawabkan oleh Gabenor Negeri Selat untuk melaksanakan rancangan pembangunan raksaksa - Sistem Residen.

Sir Andrew Clarke


Raja Abdullah

Perjanjian Pangkor dan perlaksanaan sistem Residen ini pada dasarnya telah dapat meredakan seketika persengketaan diantara golongan-golongan yang bersengketa dalam Negeri Perak. Dengan bersenjatakan Perjanjian Pangkor yang pada anggapan Inggeris akan dipatuhi oleh semua pihak dan tidak akan di tentang oleh orang-orang Melayu yang selama ini dianggap mudah di pergaul-gaulkan, J.W.W.Birch, Residen Inggeris yang pertama telah memulakan tugasnya tanpa menaruh sebarang buruk sangka atau perasaan curiga.


Orang Besar-Besar Perak dan Sultan Abdullah sendiri akhirnya menyedari akan kesilapan mereka menandatangani Perjanjian Pangkor yang secara langsung mengetepikan hak tradisi mereka dalam urusan kutipan cukai dan menguasai hasil mahsul dalam jajahan masing-masing telah menghadapi jalan buntu bagi menghadapi kekuatan kuasa penjajah Inggeris ini. Akhirnya mereka telah mengambil jalan singkat dengan membunuh J.W.W. Birch dan pengiring-pengiringnya di Pasir Salak pada 2 November 1875.


Berikutan daripada peistiwa berdarah ini Inggeris telah melancarkan perang besar-besaran terhadap orang-orang Melayu Perak dengan tujuan untuk menangkap pembunuh J.W.W. Birch. Pasukan-pasukan polis, tentera dan tentera laut Inggeris dibawah pimpinan Kapten Speedy telah mengepung perairan Perak. Rumah-rumah orang-orang Melayu yang disyaki telah dibakar, kota pertahanan orang-orang Melayu di Batak Rabit telah diserang habis-habisan dan akhirnya ditawan.


Inggeris terus mara disepanjang Sungai Perak dan membunuh tanpa belas kasihan. Sungguh pun kekurangan senjata dan tektik peperangan oarng-orang Melayu Perak masih mampu melawan serangan Inggeris seperti yang dilakukan di Kota Lama. Peperangan Perak ini telah berlanjutan hingga ke tahun 1876 dan akhirnya kesemua yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan J.W.W. birch ditangkap dan dibicarakan peperangan ini ditamatkan.


Nasionalisme di negeri Perak

Maka tercatatlah dalam sejarah bangsa Melayu dan Negeri Perak nama-nama saperti Dato' Maharaja Lela, Dato' Sagor, Si Puntum, Pandak Endut, Che' Gondah, Ngah Ahmad, Laksamana Tun Mohamad Amin, Syahbandar, Che' Ngah Ibrahim dan lain-lain lagi disamping Sultan Abdullah sendiri sebagai penebus maruah bangsa Melayu dalam mempertahankan kedaulatan tanah air dan hak mutlak Kesultanan Melayu.


Ramai diantara mereka yang dihukum gantung dan dibuang negeri diasingkan di Pulau Seychelles di Lautan Hindi tetapi perjuangan mereka akan terus menjadi aspirasi generasi kini.


Peristiwa tersebut telah memberikan pengajaran yang berguna kepada Inggeris dalam merancanakan rancangan penjajahan mereka yang selanjutnya. Raja Yusuf telah diangkat sebagai Sultan Perak yang ke 27 (1877-1887) bergelar Sultan Yusuf Sharifuddin Muzzaffar Shah dan Raja Idris yang menghakimkan perbicaraan kes pembunuhan J.W.W.Birch telah diangkat menjadi Raja Muda.


Sistem pertadbiran negeri telah diperkemaskan lagi dan dipersesuaikan dengan dasar Inggeris. Pembesar-pembesar negeri yang tidak sesuai telah dipencenkan dan yang berkebolehan serta masih taat kepada pemerintah telah dijadikan pegawai bergaji tetap dan mesti bekerja untuk Inggeris atas nama titah perintah Sultan. 

Pohon-pohon Mempelam yang dilupakan 
(Puisi mengenang Dato Seri Maharaja Lela, Dato Sagor dan Pandak Indut )


Selepas 133 tahun trajedi berlalu
di antara puluhan pokok besar itu
pohon-pohon mempelam dilupakan
terpinggir dalam sunyi lipatan sejarah
lambang kemuncak sejarah perjuangan
Melayu menentang penjajah

Sejarah agung yang dikenang
Pembunuhan bukti perjuangan
demi cinta bangsa, agama dan tanah air. pohon-pohon mempelam jadi saksi
mengantung hembusan nafas terakhir pejuang

Pada usianya mencecah hampir ratusan tahun
ramai yang tidak mempedulikan
pohon-pohon mempelam jadi lambang
pengorbanan pejuang-pejuang bangsaku

Sumber: kapasitor.net/ms/puisi/post/3051-pohon-pohon-mempelam-yang-dilupakan
21/12/2008




Ehwal Semasa Negeri Perak 

Pembangunan ekonomi telah dilipat gandakan dengan pembukaan lombong-lombong baru yang lebih moden dan ladang-ladang getah dan ini telah menyebabkan munculnya bandar-bandar baru disekitar kawasan perekonomian. Bagi menghubungkan rangkaian bandar-bandar baru seperti Taiping dan Ipoh, jalan-jalan raya dan perkhidmatan keretapi telah diwujudkan.


Bandar-bandar traditional Melayu telah ditinggalkan kesepian kerana segala kepentingan ekonomi dan urusan perniagaan telah tertumpu di sekitar kawasan yang baru dibangunkan oleh Inggeris. Maka terasinglah orang Melayu dan tinggallah mereka kesepian dengan corak penghidupan lama mereka dikawasan pertanian, di kuala-kuala sungai dan bandar tradisional warisan mereka.




Penduduk-penduduk Perak telah berkembang pesat dengan penghijrahan beramai-ramai buruh-buruh kaum Cina dan India untuk mengusahakan sektor perlombongan bijih dan ladang getah. Maka daripada sinilah wujudnya masyarakat majmuk yang dapat dikenali daripada identiti kegiatan ekonomi masing-masing.


Negeri Perak sungguh beruntung kerana golongan-golongan Kerabat Di Raja seperti Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah, Sultan Iskandar Shah dan Raja Sir Chulan masih lantang bersuara dan memperjuangkan nasib rakyat yang di kekang penjajah.


Dalam menghadapi aliran perkembangan politik moden di pertengahan tahun 1940an hinggalah Tanah Melayu mengalami bahana Perang Dunia ke2, seterusnya detik-detik kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, sejarah Negeri Perak berkait rapat dengan sejarah Tanah Melayu pada umumnya. Dalam hal ini negeri Perak telah melahirkan ramai tokoh-tokoh dan pejuang kemerdekaan yang masih harum namanya menjadi kebanggaan generasi sekarang. Sehingga kini payungan di raja Kesultanan Perak masih utuh menaungi kemakmuran negeri dan menjadi lambang kedaulatan dan kekuatan Negeri Perak Darul Ridzuan.

 

Sejarah Susunan Protokol Istana Perak

Sejarah Susunan

Adalah menjadi sebahagian amalan protokol dimana susunan keutamaan memainkan peranan penting dalam menjadikan sesuatu majlis itu berjalan lancar dan sesuai dalam keadaan yang dikehendaki, termasuklah dalam urusan rasmi kerajaan dan istana. Amalan menyusun sesuatu istiadat atau upacara perlu menitikberatkan perkara-perkara berikut:-

1) Susunan ketibaan dan kepulangan dalam sesuatu majlis.


2) Panggilan hormat dan susunan kata-kata aluan dalam ucapan dan surat-menyurat.


3) Susunan tempat duduk di dalam sesuatu majlis.


4) Cara duduk dan cara berpakaian.


5) Susunan dan aturcara dalam buku cenderamata


6) Pemasangan bendera yang teratur mengikut susunan.



Busana Diraja Perak

Seluar Acheh sutera bertenun benang emas, berkain samping diikat di pinggang dengan tali pinggang dan pending, berbaju leher cekak musang diserikan dengan selendang panjang dilampaikan di bahu kanan dan hujung selendang yang sebelah lagi disangkutkan di lengan kiri merupakan persalinan terkenal Puteri Perak.
Bermula dari penghijrahan Sultan Muzaffar Shah, putera sulung Sultan Mahmud maka terbentuk sebuah kerajaan di tepian Sungai Perak. Maka wujud sistem pengganti dalam institusi kesultanan, bermula dengan Raja Di Hilir, Raja Bendahara, Raja Muda dan Paduka Seri Sultan. Institusi kesultanan ini melahirkan pakaian istiadat gemilang warna warni mengikut kedudukan dan martabat golongan istana.


Pakaian diraja ini dibuat dari songket bunga tabur sedondon. Lelaki memakai Baju Melayu Cekak Musang, tengkolok, bengkung dan ikatan samping Perak. Wanita memakai pakaian Puteri Perak berseluar panjang songket jong sarat. Lelaki berbaju Melayu Cekak Musang, kain samping ikatan Perak, berbengkung dan kepala berhias Justar Sering hiasan kepala yang dipakai di hari perkahwinan. Wanita memakai pakaian Puteri Perak berseluar Acheh dan berselendang songket penuh




Tengkolok DYMM Paduka Seri Sultan Perak dibuat daripada songket putih bersulamkan benang perak yang diberi nama Ayam Patah Kepak.Tengkolok ini adalah pakaian hulu khusus bagi DYMM Sultan Perak.Di negeri Perak,pewaris takhtanya mempunyai warna destar yang berlainan mengikut pangkat.Warna putih khas untuk Sultan Perak,warna kuning untuk DYTM Raja Muda dan warna hitam untuk DYAM Raja Di Hilir.


 


Kedudukan seseorang tetamu jemputan yang tidak mengikut susunan keutamaan akan mewujudkan suasana kesipuan disepanjang majlis dan lebih jauh lagi seseorang akan bertindak keluar dari majlis sebagai satu protes.

 

Berdasarkan fakta sejarah Institusi Kesultanan Negeri Perak telah mengamalkan berbagai istiadat seperti istiadat menabalkan seorang raja, upacara mengadap, lantikan orang besar negeri dan lain-lain. Tanpa di sedari telah wujud bentuk susunan keutamaan yang tidak bertulis diamalkan oleh pihak istana.

Keluarga besar Diraja Perak.

Taraf Kedudukan Bersama (1960)

1) Duli Yang Maha Mulia Sultan 


2) Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan 


3) Yang Teramat Mulia Raja Muda 


4) Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar atau Che Puan Besar 


5) Yang Amat Mulia Raja DiHilir 


6) Yang Amat Mulia Raja Puan Muda atau Che Puan Muda 


7) Yang Amat Berhormat Menteri Besar 


8) Balu-balu Almahum 


9) Raja-Raja Bergelar 


10) Tuan Hakim 


11) Tuan Speaker 


12) Orang-Orang Besar Empat 


13) Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Termasuk 3 Anggota Yang Rasmi 


14) Orang-Orang Besar Delapan 


15) Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri 


16) Dato' Yang Kehormat 


17) Ahli-Ahli Dewan Negara (SENATE)


18) Ahli-Ahli Dewan Rakyat 


19) Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam 


20) Pemilik-pemilik Pingat-Pingat P.M.N dan J.M.N


21) Pemilik-Pemilik Pingat-Pingat Negeri Mengikut Mutu Pingat 


22) Jaksa Pendamai 


23) Pemilik-Pemilik Pingat-Pingat Yang Lain 


24) Ketua Pegawai Polis 


25) Pemerintah Tentera 


26) Persuruhjaya Tanah dan Galian, Pegawai-Pegawai Jajahan dan Ketua-Ketua Pejabat 


27) Kadi Besar 


28) Mufti 


29) Ahli-Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam 


30) Ahli-Ahli Dewan Perak 


31) Ahli-Ahli Majlis Ugama Dan Adat Melayu Perak 

32) Toh-Toh Muda 


33) Orang-Orang Besar Enam Belas 



Peringatan :-

 
1) Didalam tingkatan jajahan, Orang Besar Jajahan mengambil tempat yang kanan selepas daripada Pegawai-Pegawai Jajahan 


2) Selepas Menteri Besar ingga Orang Besar 32, diantara setiap jawatan ditempatkan isteri masing-masing




Personal Royal Collections

Gambar-gambar dibawah ini adalah koleksi dan hak milik peribadi ahli kerabat di raja. Sesetengah koleksi tersebut telah menjangkau usia melebihi 3,000 tahun.


 

Keris Buaya Putih Rajawali
 

Keris ini pula bernama Keris Naga Soro dan ianya adalah kembar kepada Keris Buaya Putih Rajawali. Berusia sama iaitu 3,000 tahun dan mempunyai ukiran naga yang diperbuat daripada emas. Mempunyai lok 11.



 

Kalung Permata
 

Kalung permata dari simpanan Di Raja. Di percayai dari kurun ke 15 (Sultan Perak pertama).



 

Keris Indera Pawa Janggi
 

Keris Indera Pawa Janggi, dipercayai berusia lebih daripada 5,000 tahun dan jenis keris picit. Ia juga mempunyai tulisan Sanskrit tertera di atas matanya.



 

Alat Nafiri
 

Alat Nafiri ini adalah sebahagian daripada alat kebesaran Nobat DiRaja. Gambar di atas adalah Nafiri daripada Kesultanan Melaka yang dibawa ke Perak oleh Sultan Muzzaffar Shah pada tahun 1528 sewaktu baginda ditabalkan menjadi Sultan Perak pertama. Buat masa ini dalam simpanan Waris Negeri Perak.

 


Peti Barang Kemas Perak
 

Peti Barang Kemas yang diperbuat daripada perak dan adalah dipercayai ianya diperbuat pada zaman pemerintahan Sultan Muzzaffar Shah 1 dalam abad ke 15. Disimpan oleh Waris Negeri.





Kegemilangan Perak

Sejarah Perak mencapai zaman kegemilangannya dibawah sistem kesultanan. Sejak pemerintahan Sultan Muzaffar Shah 1 pada 1528, baginda telah membuka lembaran baru sejarah negeri Perak. Penemuan bijih timah oleh Long Jaafar di Larut pada 1824, turut mempercepatkan proses pembangunan di Perak. Ia juga menarik penghijrahan beramai-ramai masyarakat dari negara China. Akhirnya rentetan daripada itu berlakunya perebutan perebutan kuasa di kalangan pembesar-pembesar Melayu bagi menguasai kawasan-kawasan melombong bijih timah.

Disebabkan kerana bijih timah jugalah menyebabkan berlakunya empat kali Perang Larut iaitu Perang Larut 1 (1861) hingga Perang Larut 4 (1873) sebelum berlakunya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Selama 12 tahun telah berlaku 4 kali peperangan yang melibatkan pemimpin-pemimpin Melayu yang bertentangan dengan disokong oleh kongsi-kongsi gelap Cina yang berlawanan merebut kekayaan bijih timah.


Cinta Antara Dua Darjat

Seniwati Norizan dan Sultan Yusof (Perak) :
 

Kisah cinta paling klasik dikalangan artis tempatan dan golongan bangsawan barangkali ada kaitannya dengan bintang filem Melayu, Allahyarham Norizan dengan Almarhum Sultan Perak, Sultan Yusof pada tahun 50an.


Norizan disunting oleh Sultan Yusof bagi menyerikan istana baginda setelah terpesona dengan baik budi dan kejelitaan wanita berwajah Melayu klasik ini. Bagaimanapun, tidak pula dicatatkan berapa tahun Norizan bertahan sebagai permaisuri Perak sebelum pasangan diraja itu bercerai. Sebentuk cincin biru yang kini disimpan di Arkib Negara Malaysia adalah antara kenangan cinta Sultan Yusof kepada Norizan ketika kasih mereka bertaut.

 

Selepas berpisah dengan Sultan Perak, Norizan disunting menjadi isteri kepada seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Rumah tangga yang dibina itu juga tidak bertahan lama. Ketika bersama Norizan, P. Ramlee mencipta lagu Tidurlah Wahai Permaisuri. Norizan menghembuskan nafas terakhir pada 15 Mei 1992. 



Tidurlah
Wahai permaisuri
Tidurlah
Pejam mata wahai tidur nyawa

Kudendangkan
Kunyanyikan
Duhai puteri jelita
Jika kau tidur lena
Mimpikan bahagia
Di taman syurga loka
Kau dan aku berdua

Kudendangkan
Kunyanyikan
Duhai puteri jelita
Jika kau tidur lena
Mimpikan bahagia
Di taman syurga loka
Kau dan aku berdua

Kuberjanji wahai dewi suci
Kaulah permaisuri
Bersumpahlah dalam hatimu
Bahawa kau kekasihku
Bersumpahlah kamu
Bersumpahlah kamu
Permaisuri tidurlah
Permaisuri tidurlah



Harap-harap perkongsian saya ini memberi manafaat dan dapat memperkenalkan kepada semua orang akan kelebihan dan yang menarik tentang Perak dari pelbagai sudut :) Insyaallah lepas ni saya sentuh bab Pelancongan di Perak secara keseluruhannya pula. Terima kasih. Salam.


Sumber: http://mizteryjw.blogspot.com/2008/06/zaman-kesultanan-melayu-perak.html

4 ulasan:

  1. Assalaamualaikum, izinkan saya bertanya... Siapakah gerangan model berpakaian hitam di tengah gambar , ke-2 drpd yg tiga dalam gambar "puteri perak adat acheh" di blog ini?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumussalam... Maaf saya tak dapat jawab pertanyaan tu kerana gambar2 saya ambil dari laman blog yang saya rujuk. Ada dari sumber cerita ada yang gambar sahaja. Jika penggunaan gambar berkenaan mengundang ketidak selesaan anda saya mohon maaf. Apa yang pasti penggunaan sebarang gambar dalam laman ini sekadar mencantikkan dan menerangkan cerita. Saya tidak melakukan sebarang editing pada gambar jika terdapat sumber yang disertakan kerana menghormati hak pemilik asal.

      Padam
  2. tidak mengapa. gambar model tersebut tidak mengundang ketidakselesaan kepada saya. saya cuma tergerak untuk bertanya dan asyik teringat-ingat. kalau ada apa2 info dia siapa, bolehlah share. Terima kasih.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...