Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Sabtu, 30 Jun 2012

Announcement!! Tawaran Hebat dari 23 June - 1 July 2012





TAWARAN HEBAT!!

SOS CHAR KUEYTEOW 2 PUTERI

HANYA RM5.00 SEBOTOL (350g)








TAWARAN HEBAT!!

CILI BOH ASLI 2 PUTERI

Beli 2 PERCUMA 1  (satu hanya RM2.00 sahaja)




TAWARAN sah di Booth RM Ninetysixbillion Enterprise, Carrefour Seberang Jaya, Pulau Pinang dari 24 Jun 2012 hingga 1 Julai 2012 sahaja.



Semua dijemput beramai-ramai ke Booth RM Ninetysixbillion Enterprise...:) Terima kasih.






Cucur Udang 2 Puteri


Kat rumah masak udang nyer tak ler terletak cam ni heheh. Jimat kos sikit...

Petang ni saya hidangkan cucur udang je untuk Mr Hb dan anak-anak. Malas dah nak pikir pada dish untuk makan petang ni. Sementelah kuah kacang yang dimasak untuk makan bersama Nasi Impit semalam masih ada so sesuai ler sesangat digandingkan dengan cucur udang pulak. Sebenarnya memang selalunya kalau buah kuah kacang saya akan buat lebih, then simpan dalam freezer. Kalau nak guna keluarkan dah panaskan semula je.


Nak buat cucur udang ni bukannya sudah sangat pun. Main potong je segala bagai apa yang ada kat dapur tu hehe. Saya ni selalunya main letak je apa yang terlintas kat kepala ni. Bukannya apa, asal mula saya buat ni tak der cikgu sebenarnya. Masa tu perut lapar sangat so capai apa yang terlintas kat kepala je. Itu yang sampai sekarang masih macam ni. Main letak ikut suka hati je sesedap rasa. Itu yang  pelbagai rupa yang ada kat dalam cucur udang tu. Tapi paling penting rasanya ok so buat per nak susah-susah hati cari resepi lain hehe.


Ni saja jer nak kongsikan dengan kowang. Mana ler tahu sesuai untuk digunapakai resepi ni dapat gak saya panjangkan pahala heheh. Aaamiin. Lagipun tinggalan untuk anak cucu nanti. Chewahhh pandang kedepan betoi heheh. Resepi ni tak der sukatan yer. Main ikut sesedap rasa tapi Insyaallah menjadi..


CUCUR UDANG 2 PUTERI


By: asamgaram2puteri


Bahan-bahan
  • Udang - bersihkan. Saya suka buang kulitnya dan potong keci-kecil
  • Ubi kentang - potong dadu kecil
  • Daun sup - hiris 
  • Daun kucai - hiris memanjang
  • Tauge
  • Carrot - potong nipis
  • Bawang besar - hiris nipis
  • Sedikit serbuk kunyit - kalau nak letak ler tak letak pun ok
  • Garam secukup rasa
  • Sesudu kecil Cili Boh Asli 2 Puteri
  • Sesudu kecil soda bicarbonate - ikut suka nak letak ke tak. Biasanya untuk makan sendiri saya tak letak pun
  • Air secukupnya
  • Minyak masak

Caranya

1. Masukkan semua bahan kecuali tepung ke dalam bekas. Kacau bagi rata sikit. Maksud saya bagi garam dan soda tu tak ler berkumpul kat satu tempat jer.

2. Masukkan tepung dan kacau secara kaupbalik. Jangan terlebih kacau nanti bila sejuk cucur udang ni jadi liat pulak. Agak-agak yer airnya jangan lembik sangat adunan tu. Insyaallah tahu ler nanti banyak mana nak sesuaikan airnya.

3. Panaskan minyak masak. Apinya sederhana tau. Pastikan jumlahnya agak-agak terendam ler adunan tu nanti.

4. Ambil sikit minyak masak yang tengah panas tadi dan masukkan dalam adunan cucur udang. Kacau bagi rata.

5. Goreng sedikit-sedikit seperti biasa. Ikut suka nak guna apa pun senduk ker apa. Saya guna sudu jer. Kalau nak garing kulit cucur udang tu kuatkan sikit apinya lepas dah separuh masak.


Petua:
1. Untuk lembutkan adunan masukkan minyak masak yang sedang panas ke dalam adunan tepung tadi.

2. Untuk rangupkan kuih masukkan ai sejuk dari peti sejuk. Selalunya saya buat preparation belah malam. Kemudian simpan dalam peti sejuk. Masak keesokan paginya.

3. Tepung tu jangan kacau kuat-kuat yer. Kaup balik je nanti kalau sejuk sikit liat dah tak sedap makan.

4.  Kalau nak rangupkan cucur udang tu masa goreng bagi nipis sikit. Kalau nak macam biasa just letak pun macam biasa ler. Saya guna sudu makan jer untuk sudukan adunan ke dalam minyak.


Jumaat, 29 Jun 2012

Nasi Impit


Assalamaualkum.


Pagi ni kami sekeluarga makan makanan yang paling mudah dibuat tapi paling mendebarkan, Nasi Impit/Himpit (yang mana satu yer namanya yang betul??). Nak tahu kenapa saya kata mendebarkan? Sebabnya.. Selagi tak potong selagi tu ler saya risau takut nasi yang diimpit tu tak kuat. Silap-silap dah tunggu semalaman, esok masa potong hancus. Langsung apa yang dirancang hancur terbarai. Huuu tak sanggup.


Nasi impit ni enak dimakan bersama kuah lodeh dan diberi nama lontong. Bersama kuah sup diberi nama soto. Soto versi utara paling best bagi saya. Nanti kalau senang saya kongsikan resepinya. Bersama kuah kacang dan rendang. Kiranya dengan satu ni leh dipelbagaikan dengan lain-lain dish.. Nama dia pun otomatik bertukar. Itu ler keistimewaannya. Tapi saya kalau buat pada hari biasa selalunya dengan kuah kacang je. Malas ah nak banyak-banyak kerja heheh.


Nak masak nasi impit ni bukannya susah sangat pun. Macam masak nasi biasa. Cuma dilebihkan airnya sikit. Tak ler sampai macam nak buat porridge tu tapi lebih le bagi lembik. Pastu ditekan-tekan sampai ianya terhimpit heheh. Kay lah jom tengok resepinya.



NASI IMPIT

By: Asamgaram2puteri

Bahan-bahan
  • 1 cawan beras
  • 3 cawan air - guna cawan yang sama masa sukat beras tadi
  • Secubit garam
  • Sedikit minyak masak

Caranya

1. Basuh beras seperti biasa dan toskan.

2. Sukat air menggunakan cawan yang sama yang digunakan untuk ambil sukatan beras tadi dan tambah garam. Masak seperti biasa sehingga nasi kering.

3. Sapukan minyak pada loyang yang nak digunakan. Sapu rata-rata.

4. Bila nasi dah kering tutup api dan terus angkat dari periuk. Guna pelenyek pisang untuk lenyek nasi bagi jadi halus.


5. Lepas tu tuang dalam loyang tadi dan tekan bagi rata. Kena tekan padat-padat tau supaya ianya melekat padat antara satu sama lain. Jangan ada rongga dalamnya.

6. Tuangkan sikit minyak ke atas permukaan nasi yang dihimpit tadi. Ianya supaya permukaan tu tak keras dan pecah-pecah. Tutup permukaan nasi dengan plastik. Biarkan semalaman. Dah betul-betul sejuk baru potong.


Petua:
Orang dulu-dulu lepas ratakan padat-padat dalam dulang diarang akan tindih pulak dengan batu giling. Kalau tak salah ler nenek bercerita dodulu. Ha.. Kot nak lebih cantik buat ler.

Lontong

Soto

Chocolate Fudge Topping 2


Ha.. yang ni pulak resepi kedua Chocolate Fudge Topping untuk dituangkan atas kek coklat yang telah disejukkan. Resepi yang ni pun ok gak. Cuma kaedahnya lain sikit dari yang pertama. Yang ni guna kaedah double-boil walaupun dia cuma guna serbuk koko. Agaknya itu sebab ler saya tak gemar yang ni hehehe.


Jom tengok resepi dan caranya...


CHOCOLATE FUDGE TOPPING 2



Bahan-bahan
  •  1/2 cawan susu manis
  • 1/2 cawan serbuk koko
  • 1 sudu besar mentega/margarine/minyak
  • 2 sudu besar air panas

Caranya

1.   Satukan semua bahan dan masak guna kaedah double-boil. Kacau selalu sehingga sebati.

2. Curahkan ke atas kek dan ratakan.


Khamis, 28 Jun 2012

Chocolate Fudge Topping 1


Ni resepi Chocolate Fudge Topping yang pertama yang saya nak kongsikan. So kowang boleh pilih yer mana satu yang berkenan di hati untuk diguna pakai. Resepi ni selalu saya buat untuk dituangkan kat atas kek coklat saya seperti Kek Coklat Tanpa Telur tu. Bila dah tuang pastu biarkan dia keras sikit.. Fuhhh masa tu ler nampak kek tu berkilat. Cantik sungguh dipandang. Hias pulak dengan buttercream sikit. Indah je dipandang heheh. Perasan ler pulak kita.

Sila ler yer...


CHOCOLATE FUDGE TOPPING 1


Bahan-bahan
  • 1/2 tin susu manis
  • 1/4 cawan serbuk koko
  • 2 sudu besar minyak jagung/minyak masak/mentega
  • 1 sudu kecil essen vanilla

Caranya

1. Masak susu, koko dan minayk atas api perlahan sehingga sebati.

2. Masukkan essen vanilla. Kacau sebentar dan tutup api.

3. Biarkan suam dahulu baru tuang perlahan-lahan atas kek yang telah sejuk. Ratakan.

Rabu, 27 Jun 2012

Sukatan Dalam Masakan



Sukatan dalam masakan.... Isk ni kalau masak silap ler sukatannya memang naya you. Nak nak masa buat kuih muih tu. Maunya ke tong sampah jadinya kalau silap ikut sukatan yang diberikan. Itu sebab saya ni kalau buat kuih muih memang telek berkali-kali resepi supaya sukatan tu confirm betul. Jangan tersalah sikit pun. Sampai sekarang walau dah berkali-kali buat sesuatu kuih tu tetap nak tengok resepi. Takut sangat tersalah sukatannya.


Tadi masa buat blog walking, saya ternampak satu column yang ada keterangan berkenaan sukatan yang menarik hati saya. Blog milik zaida-sunshine. Jadi saya kira nak kongsikan kat sini juga apa yang dia kongsikan bersama diblognya. Minta dihalalkan dan terima kasih sangat atas apa yang dia kongsikan. Sebenarnya Sukatan yang diberikan memang dah saya dapat lama dulu pemberian sahabat FB. Itu yang saya jadikan rujukan kalau nak buat kuih muih. Tapi yang paling saya tertarik adalah Sukatan Cara Kuno yang dia kongsikan. Itu yang tak pernah saya jumpa. Jadi next time kalau nak membaking sila ler rujuk kat sini untuk sukatan yer :)


Sukatan

Sukatan untuk bahan-bahan dari cup/cawan ke gram/liter. Sebagai panduan.

Tepung
  • 1/4 cup = 30gm
  • 1/2 cup = 60gm
  • 1 cup = 125gm
  • 6 3/4 cups = 1kg (1000gm)

Gula atau Mentega
  • 1/4 cup = 60gm
  • 1/2 cup = 125gm
  • 1 cup = 250gm

Cecair
  • 1/4 cup = 50ml
  • 1/2 cup = 125ml
  • 3/4 cup = 180ml
  • 1 cup = 250ml
  • 4 cups (1 quart) = 1 Liter

Sukatan cawan ke gram (oz)

  • 1 cup plain flour = 125g ( 4 0z)
  • 1 cup self raising= 125g ( 4 oz)
  • 1 cup castor sugar = 250g ( 80z)
  • 1 cup brown sugar = 185g ( 4 oz)
  • 1 cup icing sugar = 125g ( 4 oz)
  • 1 cup sultana= 125g ( 4 oz)
  • 1 cup coco = 125g ( 4 0z)
  • 1 cup walnut = 125g ( 4 oz)

 

Mass

Mass/weight

  • 30g = 1 oz
  • 60g = 2 oz
  • 90g = 3 oz
  • 120g = 4 oz
  • 150g = 5 oz
  • 180g = 6 oz
  • 210g = 7 oz
  • 240g = 8 oz
  • 250g = 81/3 oz
  • 270g = 9 oz
  • 300g = 20 oz
  • 330g = 11 oz
  • 360g = 12 oz
  • 390g = 13 oz
  • 420g = 14oz
  • 450g = 5oz
  • 480g = 16 oz

  • (1 lb)500g = 1 lb 2/3 oz
  • 600g = 1 lb 4oz
  • 720g = 1 lb 8 oz
  • 840g = 1 lb 12oz
  • 960g = 2 lb
  • 1kg = 2 lb 1 1/3 oz
  • 1.2kg = 2 lb 8 oz (2 1/2 lb)
  • 1.5kg = 3 lb 2 oz (3 1/8 lb)
  • 2kg 4lb = 2 2/3 oz


Sukatan Cara Kuno

SEKIRANYA sedang berada di luar rumah kerana piknik atau berkhemah di mana-mana dan hendak mengadun atau menghidangkan makanan, tetapi tidak ada cawan untuk menyukat atau alat timbang (takkan nak hangkut timbang masa piknik hihihi),  boleh buat anggaran menggunakan sukatan berikut:

  • 1/2 cawan buah-buahan segar = 7 gumpalan kecil kapas
  • 1 cawan buah-buahan yang dipotong = 1 penumbuk tangan
  • 25 gram keju = 1 ibu jari
  • 1 cawan aiskrim = sebiji bola lisut
  • 2 sudu makan mentega kacang = 1 biji bola pingpong
  • 1 sudu teh mentega kacang = 1 ketak jari
  • 1 cawan salad sayur-sayuran = 1 penumbuk tangan
  • 1 cawan kentang rebus, nasi atau pasta rebus = 1 bola tenis atau 1 senduk (scoop) aiskrim
  • 1/2 cawan nasi = 1 cawan kertas kek
  • 1 sudu teh mentega = 1/2 ibu jari
  • 75 gram isi ayam yang dimasak = satu paha ayam
  • 2 sudu makan cecair = cecair yang ditakung dalam tapak tangan
  • 25 gram kentang goreng = satu genggam tangan



Sumber: zaida-sunshine

Chocolate Ganache


Ganache berasal dari perkataan Perancis yang bermaksud 'cusion'. Ganache ada pelbagai fungsi seperti penambah perasa kepada puding atau kek, untuk hiasan dan menyalut kek.


Ganache yang asas menggunakan dua bahan iaitu krim pekat/krim putar (dairy whipping cream) dan coklat masakan. Bagamanapun anda boleh menambah mentega dan esen vanilla dalam adunan ganache. Krim pekat boleh digantikan dengan air, susu cair (evaporated milk), susu segar(fresh milk) atau susu UHT. Tetapi penggunaan bahan gantian ini menjejaskan kualiti ganache dari segi kekilatan dan teksturnya. Oleh itu hotel-hotel dan bakery, mereka lebih suka menggunakan krim pekat/krim putar kerana hasilnya lebih baik.

Jika mahu topping yang cair bolehlah gunakan setelah beberapa jam disejukkan. Jika mahu topping yang lebih tebal, sejukkan semalamam pada suhu bilik. Keesokkannya barulah boleh digunakan. Satu perkara perlu diingatkan coklat tidak boleh dicairkan dengan haba yang terlalu panas kerana akan menyebabkan keluarnya minyak pada permukaan coklat. Ini akan menjejaskan tekstur ganache.

Ingat, jangan memasukkan ganache yang baru dicairkan terus kedalam peti sejuk. Ganache perlu disejukkan perlahan-lahan untuk membantu molekul-molekul dalam coklat dan krim itu menjadi sebati dengan baik.

Sukatan biasa digunakan membuat ganache ialah:
  • 300 gm krim pekat/putar (heavy cream)
  • 500 gm coklat masakan(cincang halus)
  • 30 gm mentega

Kaedah asas membuat ganache.
1) Cincang coklat masakan kecil-kecil.
2) Panaskan krim hingga mendidih. Angkat.
3) Masukkan coklat dalam krim dan kacau hingga coklat cair.
4) Biarkan ia sejuk beberapa jam sebelum digunakan.


Atau pun... Yang biasa saya gunapakai resepi ni


  • 150g  heavy cream
  • 150g coklat masakan - cincang kecil
  • 50g mentega

1. Masak cream hingga panas tapi awas jangan sampai mendidih.

2. Terus tuang  ke dalam mangkuk berisi coklat yang telah dicincang tadi. Kacau hingga chocolate cair.

3. Masukkan mentega dan terus kacau hingga sebati. Siap untuk digunakan.


Selasa, 26 Jun 2012

Ais Krim Pelangi... Wooooo Tak Yah Beli Dah


Bismillahirrahmanirrahim.


Hari ni saya nak kongsi resepi ais krim pulak. Selalunya buat ais krim versi coklat je tapi kali ni nak ubah versi pelangi pulak. Lama gak ler dah tak buatnya sebab esbox tu selalu sarat je dengan lauk pauk yang nak masak seminggu. Memang selalunya saya buat stok seminggu-seminggu. Mudah sikit nak reka kalau nak masak nanti.


Kebetulan kali ni dah kosong esboxnya so boleh ler buatkan ais krim buat anak-anak tersayang. Bagi yang kita buat sendiri lagi rasa best berbanding yang beli. Sebabnya anak-anak berlumba nak makan hasil air tangan kita. Sapa tak syokkan??? :)


Jom tengok resepinya yang saya belajar daripada rakan dalam peshbook ehek*.  Tak ingat sapa jadi jangan marah aaa...


AIS KRIM PELANGI

By: Asamgaram2puteri
Sumber Asal: Sahabat Facebook

Bahan-bahan
  • 1 biji telur - jika suka. Tapi saya suka heheh
  • 2 sudu besar ovelett
  • 1/2 tin susu pekat - ikut manis mana yang disukai. Pada saya yang ni dah cukup
  • 1/2 tin susu segar/susu cair - biasanya saya guna susu cair je terjamin ada dalam stok
  • 1 tin air suam - gunakan tin penyukat yang sama yer dengan susu-susu tadi
  • 1 sudu kecil perisa yang digemari
  • Pewarna yang digemari

Caranya

1.   Campurkan kesemua bahan yang ada dan putar sehingga betul-betul kembang. Biasanya step ni saya campur dalam mangkuk dulu bagi rata baru putar sikit-sikit guna blender. Sebabnya kang kalau masuk semua dia akan kembang dan terkeluar pulak dari balang pengisar tu. Putar hingga teksturnya betul-betul halus dan berkrim.

2. Bahagiakan kepada beberapa bahagian dan tambah pewarna dan perisa yang digemari.

3. Tuang dalam bekas berselang seli sehingga selesai. Untuk adunan ni selalunya saya dapat dalam 500g lebih rasanya. Kena guna 2 bekas besar.

4. Simpan dalam peti sejuk beku semalaman. Selalunya ia akan membeku keesokan hainya Insyaallah.


* PETUA:
1) Nak cantik lagi?? Bila dah beku sendukkan dalam pengisar dan kisar ler dalam 2-3 kali lagi sehingga betul-betul halus teksturnya. Biasanya yang ni saya buat kalau jenis plain je.

2) Untuk menghasilkan ais krim coklat, masukkan setiup milo ke dalam resepi.


Dan... Wallah dah siap pun. Hidangkan bersama coklat hersey, badam kisar, kacang kisar, coklat rice, krim putar atau apa-apa sajalah gerenti sedap :)



Buttercream Asas


Sekali lagi saya nak kongsikan resepi Buttercream Asas yang biasa saya buat. Tu hari saya kongsikan bersama resepi Blended Orange Cake. Ni saya copy balik supaya mudah untuk dicari nanti kalau nak buat buttercream.


Ni yang asas je tau. Yang ni mudah dan senang sikit nak lepa. Lagi pun dianya tak mudah cair. Itu yang buatkan saya pilih cara ni. Kot simpan kat suhu luar pun ok sementara nak tunggu tetamu datang kalau buat jamuan tu. Nak pulak kalau nak dibuatkan sebagai hantaran. Mana dengan perjalanan jauhnya, dengan berpantunnya dan segala bagai. Jadi yang ni ler yang terbaik. Tambah kalau simpan dalam peti sejuk bahagian chiller tu lagi la tahan.


Buttercream ni guna cream well. Berbanding dengan buttercream yang dibuat dari margarine yang lebih berminyak, yang ni lebih ok.  Makan pun tak ler berkilat sangat moncong tu nanti hehe. Sesuai ler sikit nak diimplementkan pada kek kita nanti.Ianya juga mudah untuk didecoratekan. Nak buat apa bentuk pun ok jer.



BUTTERCREAM

(untuk sebiji kek)
By: Nurulhiza Zakaria Barclay


Bahan-bahan

  • 250g butter/shortening (kalau nak icing putih dan lebih tahan panas, guna shortening. tapi, kalau nak lebih sedap, baik guna butterlah)
  • 125g krimwell/marvello/supertact (benda-benda ni cari kat kedai bahan kek....takde marvello, guna supertact, takde supertact, guna krimwell)
  • 125g gula aising  (kena ayak dulu supaya tak berketul-ketul dan campur sedikit air suam supaya rasa tak berpasir krim nanti)

Caranya 
  1. Pukul butter + krimwell hingga putih
  2. Ayak gula aising & masukkan ke dalam butter, pukul lagi hingga kembang & putih.
  3. Sesuaikan warna jika suka untuk hiasan kek

* Pukul dengan kelajuan minima akan memakan masa tetapi Insyaallah aisingnya akan lebih cantik & mudah dilepa
* Tak payah simpan dalam peti ais sebab tak mudah cair



Isnin, 25 Jun 2012

Sejarah dan Pelancongan: Batu Kurau Perak


Assalamualaikum..


Sebelum bercerita lebih lanjut moh kita tonton sedutan khas ni... Lepas tu cer teka which place pulak yang saya nak cerita kali ni....




Pernah pergi ke Batu Kurau? Ha... Sedutan tu tadi pasal Durian Batu Kurau yang confirm bermutu tinggi dan lazat dimakan. Rasanya memang power! Bagi peminat durian, kalau dengar yang durian tu datang dari Batu Kurau sure suka dan tak sabar nak beli kan??? Tapi hati-hati sebab ada peniaga yang letak nama Durian Batu Kurau untuk melariskan jualan mereka dengan grade D24 dan sebagainya. Sebenarnya durian Batu Kurau ni tak der sebarang gred dan bukan durian kawen. Durian Batu Kurau adalah durian kampung dan asli. Jom baca sambil layan lagu ni... Nyanyian Mr Os kite :)






Nak tahu Batu Kurau kat mana? Dah kenal dengan keluarannya kena tahu gak tempat asalnya kan... Sebenarnya Batu Kurau terletak di utara Taiping dan merupakan salah sebuah mukim di daerah Larut Matang yang terletak kira-kira 20 km dari Bandar Taiping . Batu kurau boleh dilawati dengan melalui Jalan Besar dari Kamunting ke Batu Kurau atau dari Selama melalui Jalan Redang Panjang atau Jalan Pondok Tanjung ke Batu Kurau.


Dari sudut sejarah, Batu Kurau telah dibuka sejak tahun 1850-an lagi, apabila pemimpin Batu Kurau yang pertama iaitu Tok Amar Wan Kasa Bin Raja Hulubalang Petani telah dilantik menjadi Penghulu pada tahun 1859-1867. Dalam hal ini didapati sejarah kewujudan mukim Batu Kurau adalah sezaman dengan sejarah pembukaan dan kemajuan bandar Taiping pada tahun 1850-1857 semasa Long Jaafar menjadi pembesar di jajahan Larut (Taiping). Dari itu tidak heranlah jika majoriti penduduknya bercakap dalam Bahasa Petani.


Menurut orang tua-tua, asal-usul nama Batu Kurau diambil sempena daripada seketul batu besar yang menyerupai ikan kurau terletak di tebing Sungai Kurau (berhampiran jambatan jalan raya Kampung Batu 14). Sungai ini berpunca daripada beberapa batang anak sungai dari Kampung Sempeneh, Anak Kurau, Changkat Lobak hingga ke Kampung Pondok Tanjung, seterusnya mengalir ke Bukit Merah dan masuk muara di Kuala Kurau, daerah Kerian.

Orang Kuat Batu Kurau Berlatar belakangkan Masjid Alkurawi
Toh Sajak berada barisan hadapan 2 dari kiri - Photo milik Mania '77
 
Penduduk di Batu Kurau kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu keturunan Petani yang mempunyai pertalian darah dengan penduduk wilayah Pattani, Selatan Thai. Sememangnya orang Petani suka memilih tempat yang strategik untuk membuka kampung sesuai dengan cara hidup mereka yang bercucuk tanam dan menternak haiwan. Mereka suka tinggal di kawasan kaki bukit yang mempunyai lata sungai yang jernih airnya serta kawasan tanah pamah yang berpaya untuk menanam padi. Kawasan kaki bukit memang sesuai untuk tanaman pokok buah-buahan seperti durian, langsat, manggis, cempedak dan sebagainya; sementara lata yang mengalir ke sungai-sungai dapat membekalkan air ke sawah padi. Justeru, kehidupan orang Petani yang begitu simbiosis dengan faktor alam semula jadi ini telah menjadi satu nostalgia sebagaimana dengan serangkap lagu lama orang Petani seperti di bawah :

"Ayun pak pek pak pong, Gulai asam pedas, Pakai baju tampung, Lenggang bagai duras, Duras buaya kampung, Hilir-hilir mudik, Mana kampung kita, Balik sana bukit!"


Justeru, walau di mana jua di negara ini, jika kita melihat pemandangan topografi seperti ini sudah pasti penduduknya adalah terdiri daripada orang-orang Petani. Sebagai contoh di negeri Perak orang Petani juga tinggal di Ijok, Selama, Bukit Gantang, Air kuning, Lenggong, Gerik dan Pengkalan Hulu; sementara di Kedah pula seperti di Baling dan juga Sik.


Bangunan Masjid Al-Kurauwi, Batu Kurau -  kerja wiring dilakukan oleh Mr Hb

Nama-nama tokoh besar yang lahir dari Batu Kurau ialah seperti Allahyarham Dato’ Seri Hj. Kamaruddin B. Mat Isa mantan Menteri Besar Perak yang kelima (1970-1974) yang berasal dari Kampung Batu 16. Selain itu, Allahyarham Tuan Hj. Muhammad Saman B. Muhammad yang lebih dikenali sebagai Hj. Mat Saman Kati (1922-1995) berasal dari Kampung Relau Berdiri, Batu 16; merupakan seorang ulama terkenal dan pernah dilantik sebagai Mufti negeri Perak dari tahun 1978-1986.

Pemandangan dari puncak Gunung Kurau

Batu Kurau mempunyai lebih dari seratus buah kampung! Antara kampung yang terdapat di Batu Kurau ini adalah Kampung Titi Kasai, Kampung Pondok Tanjung, Kampung Sungai Akar, Kampung Becah dan Kampung Pantai Besar Batu Kurau. Nak tulis semua tak de kemampuan heheh.


Antara sekolah yang terkenal di Batu Kurau ialah SMK Dato Kamaruddin, manakala sekolah yang lain terletak agak jauh antara satu sama lain. 


Kawasan perkelahan Air Terjun Kampung Sempeneh Cempaka Batu Kurau sudah terkenal bagi penduduk di Taiping dan sekitarnya. Anak kecil anda boleh mandi di kawasan air terjun yang cetek dan berpasir, manakala yang remaja pula boleh menguji keberanian dengan mandi di air dalam dan berbatu. Biasanya kanak-kanak kampung akan melompat dari jambatan besi ke air. Selain itu terdapat juga kawasan perkelahan Lata Air Hitam dan Jelai. Kesejukan dan kejernihan airnya pasti tidak boleh dilupakan oleh setiap pengunjung yang berkunjung. 

Permandangan di Telaga Tujuh, Repoh, Batu Kurau

Batu Kurau juga terkenal dengan keunikan Telaga Tujuh, yang asal usulnya dikatakan mempunyai tujuh buah telaga di sungai di situ. Menurut penduduk tempatan, Telaga Tujuh terhasil akibat daripada turunnya tujuh orang puteri dari kayangan. Tetapi kini, telaga tersebut tinggal tidak sampai tujuh buah kerana telah ditimbus oleh pasir sungai.


Di sini juga terdapat sebuah Pusat Dirasat Al Quran dan Tahfiz Batu Kurau yang dibina di atas sebidang tanah seluas satu ekar, yang terletak di Kampung Sempeneh Batu Kurau, Perak. Tanah dan sebahagian kos pembangunan Pusat Dirasat ini diwakafkan oleh Tuan Hj Mahmud Zuhdi Hj Din dan keluarga beliau pada awal tahun 2004. Tujuan pembinaannya adalah menempatkan pusat yang dapat melahirkan pelajar yang mahir membaca al Quran mengikut Qiraat yang betul, melahirkan pelajar yang dapat menghafaz al Quran dengan sempurna, melahirkan pelajar yang boleh memahami, mantafsir dan menghayati al Quran, melahirkan pelajar yang berakhlak, bertanggungjawab dan berwawasan dan melahirkan pelajar yang berkemampuan memimpin institusi pengajian alQuran. Ia juga membuka kelas pengajian untuk penduduk kampung belajar membaca al Quran.


Selain daripada itu terdapat juga Pusat Tahfiz Nurul Iman yang dirasmikan Majlis Pecah Tanahnya oleh Menteri Besar Perak, YB Dato' Seri Zamry Abd Kadir pada 23 Januari 2011.


Di sini juga terkenal denga Silat Gayung Fatani. Seni silat ini adalah ilmu Silat Melayu yang diturunkan oleh pengasasnya iaitu asaskan Syeikh Abdul Rahman Tahir kepada anaknya juga seorang guru agama iaitu Haji Ramli bin Abdul Rahman yang dikenali sebagai Tok Yah Ramli. Anak murid Haji Ramli Bin Abdul Rahman bernama Haji Abdullah Darus dan Haji Mat Isa (Awang Pendekar) telah membuka dan mengembangkan ilmu persilatan ini ke Batu Kurau, Perak dalam tahun 1948.



Selain daripada berniaga, masyarakat di sini juga kebanyakannya bekerja sebagai petani dan menternak binatang untuk tujuan komersial. Terdapat banyak dusun buah-buahan yang terkenal di sekitar kawasan ini dan mampu memberikan pendapatan yang lumayan kepada para pekebun. 


Bagi yang ingin berkunjung ke Batu Kurau, selain daripada kawasan perkelahan Air Terjun Kampung Sempeneh Cempaka Batu Kurau; terdapat satu lagi tempat yang boleh dikunjungi. Paling best adalah kepada kaki pancing. Kurau Stone Fishing & Highland Stay: D'Bukit Homestay adalah tempat yang boleh dikunjungi untuk tujuan itu. Selain daripada memancing, aktiviti ATV All-Terrain Vehicle), aktiviti makan-makan di restoran yang berkonsepkan gazebo, pakej motivasi dan aktiviti lasak seperti flying fox.
         





Antara anak kelahiran Batu Kurau yang berjaya menepa nama mereka adalah Saudara Jailani Abu Hassan (Jai), salah seorang pelukis Malaysia yang tersohor; Saudara Aloy, salah seorang kartunis popular tanah air dan Usu Azha Haji Hamzah, penulis, bekas editor dibeberapa majalah dan insan disebalik tabir beberapa buah drama.

Saudara Jailani Abu Hassan bersama karyanya yang dipamerkan di New York pada tahun 2011
  
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...