Jumaat, 12 Oktober 2012

Sejarah dan Pelancongan: Bukit Gantang, Perak


Ni saya nak cerita lak pasal Bukit Gantang, yang mana satu lagi kawasan yang glamer dengan Raja Buahnya kat Perak ni. Eh dah sebut Raja Buah harusnya ler buah durian yang saya maksudkan. Kawasan ni memang banyak ler pokok durian yang best isinya. Durian dan Bukit Gantang memang saling berkaitan. Tak caye??? Tanya saya hihihi. Ni ler kampung keluarga saya. Mak bapak saya tinggal kat belah kawasan ni ler. Saya je yang tercampak jauh kat Bukit Merah ni.


Moh kite sebelum tu kenai dulu kat mane letaknyer Bukit Gantang ni.



Bukit Gantang merupakan mukim dalam daerah Taiping, negeri Perak Darul Ridzuan. Mukim Bukit Gantang terletak di bawah pentadbiran Daerah Larut, Matang dan Selama. Mukim ini terletak bersempadanan dengan Mukim Kg. Buaya, Daerah Kuala Kangsar yang memisahkannya dengan sebuah bukit yang dikenali sebagai Bukit Berapit. Terletak pada koordinat 4° 47' 0" Utara, 100° 46' 0" Timur. Kampung Bukit Gantang berhampiran Lebuhraya Utara-Selatan, berdekatan dengan Changkat Jering, Kampung Cheh, Matang, Padang Rengas, Kuala Sepetang dan lain-lain.


Nama gantang diambil daripada nama bukit, ditemui sejenis alat yang dinamakan gantang. Gantang ialah sejenis alat untuk mengukur jumlah beras atau padi. Bentuknya seperti bentuk tong susu tepung Nestle yang bersaiz 2 kilo. Saiz yang lebih kecil ialah cupak (Just untuk pengetahuan orang-orang muder macam saya heheh - 4 cupak bersamaan 1 gantang).

Contoh penyukat gantang dan penyukat cupak

Kawasan ini merupakan kawasan pertanian khususnya padi sawah , getah, kelapa sawit dan buah-buahan. Bukit Gantang mendapat julukan 'Tropical Fruit Village'. Hampir keseluruhan penduduknya terdiri daripada orang Melayu.


Satu ketika dahulu, Bukit Gantang pernah dijadikan sebagai sebuah pusat pentadbiran Jajahan Larut oleh Long Jaafar setelah dilantik sebagai Ketua daerah Larut melalui perlantikan oleh ayahandanya Syed Alang Alauddin ibni Sultan Mudzaffar Syah III, Maharaja Benua Islam Siam Kedah pada tahun 1856. Syed Alang Alauddin juga bergelar Panglima Bukit Gantang. Long Jaafar telah mendirikan sebuah kubu pertahanan di Pekan Bukit Gantang bagi menangkis serangan dari thai dan Kedah semasa zaman pertengahan dahulu. Kota ini juga telah menyaksikan peperangan antara Thai dan Kedah terhadap Kerajaan Negeri Perak dan menyaksikan pertahanan utara negeri Perak jatuh kepada Thai dan Kedah yang mengakibatkan angkatan perang Perak terpaksa berundur ke Kuala Kangsar sebelum perjanjian damai antara Thai dan Perak ditandatangani.

Allahyarham Dato' Panglima Bukit Gantang (kanan) adalah pejuang kemerdekaan negara yang setaraf dan sehebat Almarhum Tunku Abdul Rahman (kiri). Dia merupakan anak Melayu Perak yang julung-julung kali lulus dalam jurusan undang-undang daripada University of London dan Inner Temple pada tahun 1930.

Peperangan ini berlaku adalah disebabkan keengganan Kerajaan Perak menghantar Bunga Emas kepada Siam yang menyaksikan bahawa Kerajaan Perak berada dibawah naungan Siam. Walaubagaimanapun, Kerajaan Perak tidak mengiktirafkan. Sultan Kedah telah diarahkan oleh Kerajaan Siam untuk menyerang Kerajaan Perak kerana pada ketika itu Kerajaan Kedah berada dibawah jajahan Siam. Terdahulu dalam tahun 1767, Kerajaan Siam Ayutthaya telah ditawan oleh Sukhuthai dari Lannathai yang beragama Buddha. Dan selepas kejatuhan Kerajaan Islam Patani ke tangan Siam.


Semasa dibawah era pemerintahan Long Jaafar, Bukit Gantang telah dibangunkan dengan pelbagai kemudahan awam seperti bangunan - bangunan kedai, pejabat - pejabat orang besar jajahan, Stesen Keretapi Bukit Gantang dan laluan jalanraya yang menghubungkan Bukit Gantang dengan Sg. Limau yang pada ketika itu dijadikan sebagai pelabuhan utama Jajahan Larut. Pada masa itu, pendapatan utama bagi Jajahan Larut adalah perlombongan bijih timah yang diusahakan di Taiping yang kebanyakkannnya diusahakan oleh imigran Cina Manchu Islam dari kumpulan Hai San dan Ghee Hin yang beragama Buddha dari Pulau Pinang melalui perjanjian dan konsesi yang dianugerahkan kepada mereka oleh Long Jaafar.
Stesen Keretapi yang pertama dibuat di Tanah Melayu adalah antara Taiping - Port Weld pada tahun 1885.

Ngah Ibrahim and his sons

Apabila Syed Alang Alauddin mangkat dalam tahun 1862, Long Jaafar telah dilantik menjadi Maharaja Benua Islam Siam Nagara Kedah bergelar Sultan Jaafar Mudazam Syah. Baginda kemudiannya melantik Ngah Ibrahim untuk menggantikan tempatnya sebagai Raja Larut. Ngah Ibrahim telah memindahkan Pusat Pentadbiran Jajahan Larut dari Bukit Gantang ke Matang kerana berpendapat bahawa Bukit Gantang terletak agak jauh dari Taiping.

Masjid Jamek Bukit Gantang, Changkat Jering, Perak

Masjid An-Naim, Kampung Pauh, Bukit Gantang.

Ketika Pusat Pentadbiran Jajahan Larut di Matang, Ngah Ibrahim telah menjadikan Pelabuhan Kuala Sepetang sebagai pelabuhan laut baru bagi menggantikan Pelabuhan Sungai Limau. Walaubagaimanapun, pergolakan dan campurtangan penjajah Inggeris telah bermula semasa era pemerintahan Ngah Ibrahim yang menyaksikan beliau telah dihukum buang negeri kerana terlibat dengan komplot pembunuhan Residen British yang Pertama di Perak iaitu Sir James Birch. Pada ketika ini, Bukit Gantang hanya menjadi sebuah Pekan Kecil yang mempunyai tinggalan - tinggalan sejarah seperti Kota Bukit Gantang, Tapak Stesen Keretapi Bukit Gantang, Makam Long Jaafar dan ahli - ahli keluarganya, Pejabat Penghulu serta makam - makam lama.


Keistimewaan Bukit Gantang juga ialah pekan Changkat Jering yang kelak akan menjadi persimpangan dan pertemuan Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuh Raya Pantai Barat yang bakal dibina menghubungkan Kelang dan Taiping. Mengisytiharkan Bukit Gantang sebagai sebuah bandar sambil mengenal pasti suatu kawasan bandar baru akan memberikan nafas baru buat Bukit Gantang. Kawasan ini bolehlah dikomersilkan sebagai suatu bandar pelancongan dan/atau Agro Pelancongan.

Terowong Berkembar Berapit - Terowong terpanjang di Asia Tenggara




Terbaru, Malaysia mencipta nama dengan pembinaan terowong lebih canggih iaitu Terowong Berkembar Berapit di Taiping, Perak, sepanjang 3.3 km yang diiktiraf sebagai sebagai terowong kereta api terpanjang di Asia Tenggara. Apa yang menarik, terowong berkenaan berkonsepkan berkembar dengan satu landasan yang setiap satu mempunyai sembilan laluan silang antara terowong kiri dan kanan bagi tujuan keselamatan dan penyelenggaraan. Ia dibina dalam bentuk seperti ladam kuda berukuran tinggi 9 meter x 9 meter lebar.




Setiap kali tiba musim buah-buahan, tumpuan penggemar tempatan pasti lebih terarah kepada buah yang mendapat jolokan ‘raja buah’ iaitu durian.Bagaikan pesta, raja buah ini diserbu penggemarnya sehingga para peniaga terpaksa bersaing untuk memberikan harga terbaik kepada pelanggan mereka. Namun, apabila memperkatakan mengenai durian, para penggemar durian pasti bersetuju jika dikatakan durian dari Bukit Gantang memiliki keenakan yang tiada tolok bandingnya. Malah, hampir setiap tahun, pasti ada pihak yang akan menganjurkan pesta makan durian Bukit Gantang bagi menyajikan keenakan durian itu kepada penggemarnya. Pada tahun 2007, Pesta 'Jom Makan Durian 2007' pertama telah diadakan dengan dirasmikan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dan dihadiri oleh pelancong-pelancong dari dalam dan luar Negara. Walaupun durian Bukit Gantang kelihatan sama seperti durian lain daripada bentuk fizikalnya namun, isinya yang lebih manis dan lemak memberi kepuasan berganda apabila dinikmati. Ini kerana isinya yang tebal berwarna oren kekuningan dan hadir dengan aroma yang unik. Tekstur isinya lebih halus manakala rasanya cukup berlemak, tidak begitu manis dan ada rasa pahit di hujungnya.


Ni saya ambik kesempatan nak kongsi lagu Durian Part 2 nyanyian Mr Os. Lagu ni sambungan lagu Durian Dah Berbunga yang pernah saya kongsikan dulu. Lagu ni diambil dari album Durian 2 dan diterbitkan tahun 1992. Hihihi.... Just hiburan lepas penat membaca info tentang Bukit Gantang ni.





Itu ler serba sedikit info berkenaan Bukit Gantang sebuah kampung yang popular dengan Duriannya. Saya harapkan kowang jelas ler sikit pasal satu lagi kawasan yang boleh dijadikan tarikan pelancong kat Perak ni. Kay... Kot sudi nanti singgah ler yer. Moh mekome ke Peghak yeop... :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...