Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Jumaat, 22 Februari 2013

Sejarah & Pelancongan: Semua catatan Perak Darul Ridzuan



Hari ini saya cuma nak kongsikan link-link untuk segala cerita yang saya kongsikan dalam tittle Sejarah & Pelancongan dan Negeriku yang saya fokuskan kepada Negeri Perak Darul Ridzuan. Almaklumlah kalau bukan anak jati Negeri Perak sendiri yang nak kongsi sapa lagi yer tak. Ini sebagai satu sumbangan kecil yang dapat saya sekeluarga lakukan untuk Negeri Perak tercinta :).

Dah macam compilation album je kan heheh. Boleh la.... Hehhe. Bukan apa, kadang-kadnag saya terlupa apa yang sudah apa yang belum dikongsikan jadi mungkin ini akan memudahkan nanti harap-harapnya :).



Perkongsian pertama saya adalah tentang tanah tempat saya dibesarkan dan sehingga sekarang saya balik tinggal di sini iaitu Bukit Merah. Satu kawasan yang agak terpencil dan tidak membangun walaupun dikurniakan Allah dengan keindahan alam. Entah dimana silapnya hanya sedikit sahaja yang dapat dibangunkan oleh pihak pemaju (Emkay). Taman Tema Air Bukit Merah Laketown antara tarikan yang ada disini. Pada pendapat saya banyak lagi yang mampu dilakukan oleh pihak yang berwajib atau jika ada inisiatif daripada Ahli Jawatan Kuasa Kampung sendiri. Antaranya yang saya cadangkan jadikan kawasan tepian Tasik Bukit Merah sebagai satu kawasan riadah yang cantik dihiasi dengan bungaan dan tempat anak-anak bermain. Sediakan tempat membuang sampah, limpahan lampu yang menerangi kawasan sekitar, sediakan tandas awam yang dijaga bersih dan rumput-rumput diperkemaskan akan membuatkan lebih ramai yang akan datang ke sini. Pihak Ahli Jawatan Kuasa Kampung sendiri boleh menyediakan satu kawasan yang menempatkan bot-bot kecil buat penggemar yang berkeinginan melawat tasik yang luas dan terdapat beberapa buah pulau kecil. Bot-bot ini juga boleh dijadikan tarikan pada sesiapa yang berkeinginan memancing di Tasik atau jalinkan kerjasama dengan pihak Laketown Water Themepark untuk membawa penumpang ke sana.


Selain daripada menjadi tarikan pelancong, Insyaallah cara ini dapat memberi kelebihan kepada kampung sendiri kerana penawaran tenaga kerja dapat diberikan kepada penduduk setempat. Kenakan sedikit charge untuk bot-bot dan wang yang terkumpul gunakan untuk menaiktaraf kampung menjadi sebuah kampung yang serba lengkap atau anjurkan majlis keraian tanpa mengharapkan bantuan luar Insyaallah. Atau boleh juga dijadikan sumbangan pada penduduk-penduduk yang memerlukan.


Ramai orang tertarik untuk menjamu selera di tepian tasik. Oleh itu adalah menjadi satu kelebihan jika pihak yang berkenaan dirikan satu medan selera yang mennganjur ke Tasik Bukit Merah untuk tujuan ini. Tawarkan kepada peniaga yang berminat terutama dikalangan penduduk setempat dengan sertakan syarat agar mereka menjaga kebersihan sekitar dan tasik. Jika ada yang engkar batalkan sewaan dan berikan pada yang betul-betul bertanggungjawab sahaja. Pihak sekolah juga boleh mengambil kesempatan untuk mengajar anak-anak kecil berniaga dengan meneydiakan satu lokasi yang membolehkan mereka belajar berniaga. Ini adalah untuk bekalan masa depan mereka sendiri kelak.



Perkongsian kedua adalah tentang Taiping Bandar Warisan. Satu kawasan yang pertama membangun dalam sejarah Tanah Melayu sewaktu Jajahan Inggeris. Pengangkutan dan stesyen keretapi pertama, pelabuhan pertama, Pejabat Pos dan Telegraf pertama, hospital pertama yang dilengkapi kemudahan x-ray yang juga pertama adalah antara catatan sejarahnya. Namun, ianya agak lesu sejak tahun 1980an hingga tahun 2000 (anggaran melalui pengamatan saya sahaja kerana saya membesar dizaman itu). Tiada lagi kemasukan pelabur yang mahu membangunkan bandaraya ini terutama dalam skala besar. Syukur, sejak akhir-akhir ini baru wujud kemasukkan pelabur yang membantu merancakkan semula ekonomi bandaraya tua ini.


Alangkah bagusnya jika pihak yang bertanggungjawab bersama-sama pihak swasta berkerjasama dalam memulihara semula bangunan baru atau lama dan persekitaran Bandaraya Taiping ini. Wajibkan kepada pemilik-pemilik bangunan untuk mengindahkan bangunan kedai milik mereka dengan mengecat baru bangunan mereka setiap 7 - 10 tahun sekali. Beri tawaran pengurangan cukai pada tahun itu agar mereka tertarik untuk bekerjasama. Banyakkan lampu jalan dan lampu-lampu hiasan. Dengan itu Insyaallah Taiping akan semakin berseri dan akan lebih ramai yang tertarik untuk berkunjung.


Begitu juga dengan kawasan Taman Tasik Taiping, kawasan yang diindahkan oleh pihak Dewan Bandaraya Taiping ini cuma perlu diindahkan lagi dengan lampu-lampu hiasan yang menarik selain daripada lampu limpah yang menerangi kawasan taman untuk yang gemar beriadah diwaktu malam. Bukit Larut yang merupakan pusat peranginan pertama di Tanah Melayu hanya perlu dimajukan dengan sedikit lagi tarikan seperti penyediaan hotel yang selesa dipuncaknya. Sediakan hotel yang berciri rumah kampung Perak sebagai satu tarikan. Beri tawaran pada pasangan yang ingin berbulan madu sebagai satu pakej romantik. Semoga pihak berwajib jadikan Taiping sebagai satu tarikan pelancongan sejarah Utama di Negeri Perak ini sejajar dengan namanya Bandar Warisan pertama Malaysia.


Entri yang ketiga iaitu tentang sejarah Port Weld/Kuala Sepetang dan Matang, Perak yang merupakan pusat pelabuhan pertama di Tanah Melayu selain daripada terbinanya landasan keretapi juga yang pertama. Artikel yang keempat dan kelima adalah berkenaan sejarah Bagan Serai pekan lama yang juga uzur yang memerlukan pembangunan yang lebih lagi dan Parit Buntar yang menjadi pusat pentadbiran Majlis Daerah Kerian, Perak.

Catatan yang berikutnya adalah berkaitan Negeri Perak secara keseluruhannya. Sejarahnya yang panjang dicatatkan di bawah 2 bahagian iaitu, Sejarah Negeri Perak (part 1) dan Sejarah Negeri Perak (Part 2). Kisah campurtangan Inggeris di Perak, nasionalisme yang bangkit demi menebus maruah bangsa Melayu serta kisah ehwal semasa Negeri Perak dicatatkan didalamnya. Kemudian saya beralih kepada cerita tentang Negeri Perak - Daerah, Sungai dan Lagunya. Lagu Kebesaran Negeri Perak ini kali pertama dimain dan diperdengarkan di Istana Permaisuri di London ketika petabalan Permaisuri Victoria pada tahun 1888. Irama lagu ini kemudiannya diangkat menjadi irama lagu Kebangsaan Negara Kita... Negaraku.


Negeri Perak terkenal dengan keindahan semulajadi dan anjuran Banjaran Titiwangsa yang menganjur hampir keseluruh negeri. Dengan tajuk Terokai Alam Semulajadi Di Perak. Keindahan yang dicari ada di sini.... Sememangnya benar seperti yang dinyatakan. Gunung ganang, gua, sungai dan keindahan alam ciptaan Allah SWT memang memukau mata yang memandang dan sesuai untuk dijadikan tarikan pelancong dalam dan luar negara yang sukakan keindahan semulajadi ini. Semoga pihak berkuasa terus lakukan penguatkuasaan dalam memelihara alam sekitar kita supaya dapat dijadikan bekalan untuk anak-anak kita dimasa akan datang selain dijadikan tarikan kepada pelancong ke sini.

Destinasi Pelancongan Di Perak adalah satu koleksi tempat-tempat pelancongan yang boleh dilawati di Negeri Perak ini. Air terjun, pulau, gunung, gua, tasik dan pelbagai lagi merupakan antara tarikan semulajadi yang ada selain daripada taman reakriasi, taman tema dan muzium. Adalah diharapkan pihak kerajaan Negeri dapat memulihara semula bangunan-bangunan lama yang ada sebagai satu lagi tarikan pelancongan di Perak ini. Pada masa ini hanya sedikit yang terpulihara untuk dijadikan tarikan.

Batu Kurau

Entri yang berikutnya adalah tentang daerah Batu Kurau, satu pekan kecil yang masih perlu dibangunkan yang terkenal dengan Seni Silat Gayung Fatani dan antara daerah pengeluar durian yang enak di Negeri Perak. Kuala Gula - Santuari Burung dan Kuala Kurau pula adalah satu lagi kawasan yang terkenal dengan keindahan semulajadinya yang memerlukan satu pelaburan yang besar untuk dijadikan tarikan pelancong. Ianya merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Paya Laut Matang yang terdiri daripada hutan bakau dan kawasan pantai berlumpur. Kawasan ini penting sebagai kawasan mencari makan untuk burung-burung berhijrah dan tempat bertelur untuk burung residen.

Kuala Gula sebenarnya telah terkenal di peringkat tempatan dan antarabangsa terutamanya kepada pemerhati burung kerana ianya penting dengan kewujudan burung air/berhijrah. Ramai pelawat tempatan dan antarabangsa seperti Amerika Syarikat, Australia, Eropah, Jepun dan negara lain datang ke Kuala Gula untuk melihat burung-burung ini. Setiap tahun, pelbagai spesies burung singgah di Kuala Gula dalam laluan migrasinya. Terdapat beberapa laluan migrasi di dunia dan Malaysia terletak dalam laluan East Asian-Australasian Flyway. Jadi pihak berkuasa tempatan cuma perlu mengemas dan membangunakan sedikit sahaja lagi kemudahan-kemudahan sebagai satu tarikan pelancong. Indahkan kawasan-kawasan sepanjang jalan ke sana sebagai satu tarikan mata bagi menggambarkan keindahan lokasi berkenaan.

Daerah yang berikutnya adalah Daerah Selama yang dibawah pentadibiran Majlis Daerah Larut Matang & Selama.  Kawasan yang menyediakan Projek Pelancongan Desa Selama atau Selama Homestay boleh diperindahkan lagi dengan lain-lain tarikan kerana pada ketika ini apa yang ditawarkan adalah limited dan agak uzur.


Dari Daerah Selama saya terbang menuju ke Bandar DiRaja, Kuala Kangsar pula. Daerah tempat pentadbiran DYMM Sultan Perak bersama Permaisuri baginda ini kita membuat kesimpulan bahawa Kuala Kangsar dan kawasan di sekelilingnya adalah tempat tua, sudah berabad-abad lamanya didiami orang berdasarkan keistimewaannya. Namun, banyak lagi yang boleh dilakukan oleh pihak pentadbir ke atas bandar DiRaja ini agar ianya segah namanya. Sama seperti di Bandaraya Taiping, indahkan bangunan-bangunan dengan cat, lampu-lampu hiasan yang menarik terutama disepanjang perjalanan ke Istana akan menarikkan lagi lebih ramai pelancong ke sini. Sebolehnya perbanyakkan ciri-ciri yang memperlihatkan ianya sebagai satu Bandar DiRaja bak dari segi binaan bangunanya atau hiasannya. Di kawasan Istana juga sediakan lampu limpah dikawasan-kawasan yang tertentu supaya ianya indah dan gah dipandang diwaktu malam baik dari jauh mahupun dekat. Gemilangkan kawasan istana dan sekitarnya.


Daerah tempat tinggal bonda tercinta, Bukit Gantang terkenal dengan Raja Buahnya... Durian yang enak. Bukit Gantang mendapat julukan 'Tropical Fruit Village'. Hampir keseluruhan penduduknya terdiri daripada orang Melayu. Pada pandangan saya kawasan ini cukup sederhana dan indah dengan pokok-pokok kayu sepanjang perjalanan. Sememangnya mendamaikan. Tidak perlu bangunan-bangunan rumah kedai sepanjang perjalanannya tetapi ia cukup mempersonakan. Namun, mengisytiharkan Bukit Gantang sebagai sebuah bandar sambil mengenal pasti suatu kawasan bandar baru akan memberikan nafas baru buat Bukit Gantang. Kawasan ini bolehlah dikomersilkan sebagai suatu bandar pelancongan dan/atau Agro Pelancongan. Cuma di daerah Changkat Jering sahaja yang agak memerlukan satu rombakan pemuliharaan agar ianya kembali mejadi satu kawasan perniagaan yang indah dipandang.

Dari Bukit Gantang saya bawa pula sahabat ke Lenggong, Perak. Satu daerah yang jauh mengarah ke Negeri Kelantan. UNESCO telah mewartakan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong sebagai salah satu dari Tapak Warisan Dunia UNESCO. Warta pemasyhuran telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO. Rangka manusia paling tua ditemui di Malaysia terdapat dalam sini disamping tinggalan zaman purba lainnya. Selain itu terdapat juga ladang rusa dan tasik yang dapat memikat hati pelancong untuk beriadah atau memancing.


Kemudian saya bergerak ke Sungai Siput,dan  Daerah Manjung yang terkenal dengan Pualu Pangkor dan Lumutnya. Selepas itu saya bawa pula ke Bandaraya Ipoh, Ibu Negeri Perak Darul Ridzuan. Banyak bangunan-bangunan lama juga terdapat di sini. Antaranya Stesen Keretapi Ipoh juga dikenali sebagai Taj Mahal oleh masyarakat tempatan kerana rupa bentuknya yang seakan-akan Taj Mahal,
Komplek Kolam Renang Dewan Bandaraya Ipoh adalah antara yang terbesar dan termoden di Asia Tenggara yang dibina bertaraf Olimpik dan Methodist ACS sekolah yang ditubuhkan pada 31 Julai 1895 menjadikannya antara sekolah tertua di Ipoh.

Insyaallah dilain masa akan saya sentuh daerah atau kawasan lain pula. Mungkin ada antara cadangan saya yang mungkin menyentuh mana-mana pihak namun apa yang saya paparkan atau cadangkan adalah berdasarkan rasa sayang saya terhadap Negeri Perak yang dicintai ini. Hajat dihati ingin di tambah baik segala yang ada di Negeri Perak ini namun apakan daya 'aku insan yang lemah' heheheh.


1 ulasan:

  1. Lepas SRP saya bersantai dengan kawan-kawan ke Tasik Bukit Merah dengan hanya menaiki basikal sahaja melalui jalan tanah merah daripada terusan yang menganjur ke tasik. Jika JKKK yang menarajui kampung melihat kampung orang lain di luar sana dan ada kemahuan, sudah tentu penduduk kampung akan memperolehi pendapatan sampingan seperti mana penulis ingin sampaikan.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...