Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Jumaat, 9 November 2012

Sejarah & Pelancongan: Lenggong, Perak



Lenggong adalah sebuah bandar di bahagian utara Perak, Malaysia yang terletak 100 kilometer dari utara Ipoh. Bandar ini juga berhampiran dengan Gerik, Empangan Temenggor, Lawin, Kota Tampan, Banding dan lain-lain. Bandar Lenggong boleh dikunjungi melalui jalan utama yang menghubungkannya dengan bandar berdekatan. Jalan ke Lenggong kebanyakannya diselitupi oleh ladang sawit dan hutan rimba. Terdapat juga kegiatan peternakan seperti rusa, lembu dan kambing yang diusahakan secara kecil-kecilan dan ladang, samada milik persendirian, swasta atau kerajaan.

Jalan ke Lenggong

Lembah Lenggong merupakan tapak arkeologikal di mana wujudnya bukti-bukti penempatan manusia semenjak zaman Paleolitik telah ditemui. Tapak-tapak arkeologikal penting termasuk Kota Tampan, Bukit Jawa di Kampung Gelok dan Kampung Temelong. Penemuan arkeologikal paling terkenal di Lenggong adalah Orang Perak (Perak Man), rangka peninggalan berusia 11,000 tahun yang ditemui pada 1990.

Peralatan batu berusia 100,000 tahun telah digali dekat Kampung Geluk dan Kampung Temelong. Di sana telah telah ditemui bukti bahawa Gua Harimau merupakan tapak penghasilan peralatan gangsa semasa Zaman Gangsa. Terdapat juga Muzium Arkeologi Lenggong di Kota Tampan di mana artifak yang digali dari kawasan sekitar dipamerkan. Muzium itu terletak dalam lingkungan satu ladang kelapa sawit di jalan dari Kuala Kangsar ke Gerik (atau Grik).


Pada 2 Julai 2012, UNESCO telah mewartakan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong sebagai salah satu dari Tapak Warisan Dunia UNESCO. Warta pemasyhuran telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO.

Menurut cerita-cerita mulut, kononnya pada zaman dahulu ada seorang Semang hendak menebang sepokok kayu yang besar.  Mengikut ceritanya pokok itu sebesar empat atau lima pemelok. Oleh kerana pangkal pokok itu keadaannya berbanir, jadi susahlah hendak menebangnya.  Si Semang tadi berusaha pula membuat pelenggar (iaitu suatu tempat bertanjak untuk menebang pokok).



Dengan bersusah payah ia menebang, akhirnya tumbanglah pokok itu. Tetapi malangnya pokok yang ditebang oleh Semang itu menimpa sepokok kayu yang lain yang terkecil sedikit daripadanya.  Pokok yang kecil itu patah dan menyebabkan pokok yang ditebang itu terlanggong di atasnya.  Batang kayu yang terlanggong itu, tinggallah di situ hingga beberapa lamanya.  Akhirnya tempat itu dinamakan "Langgong".  Lama kelamaan nama "Langgong" itu berubah mengikut pelat sebutan menjadi "Lenggong", kekal nama itu hingga sekarang ini.

Ada pula yang menceritakan, orang yang mula-mula meneroka hutan rimba dan mendiami di daerah Lenggong ini ialah seorang Semang juga yang bernama "Lenggong", jadi nama Lenggong yang ada pada hari ini ialah mengikut nama orang Semang yang tersebut itu.

Suatu cerita lagi, konon asalnya terbit nama Lenggong ialah kerana keadaan tempatnya seolah-olah terdinding atau terlengkong oleh bukit-bukit dan banjaran gunung.  Jadi tempat tersebut dikenal dengan nama "Lengkong".  Akhirnya berubah pula sebutan "Lengkong" itu menjadi "Lenggong".


Orang Perak

Rangka manusia paling tua ditemui di Malaysia terdapat dalam negeri Perak di Semenanjung Malaysia. Lokasinya yang tepat adalah di Gunung Gua Runtuh, sebuah gua tempat persemandian terakhirnya yang terletak di Bukit Kepala Gajah di Lembah Lenggong di Ulu Perak. Rangka tersebut merupakan seorang lelaki dengan satu ketinggian kira-kira 157 cm, yang berusia sekitar 50-an. Ia ditemui pada 1991 dan rangka tersebut telah dikenal tarikh sebagai berusia sekitar 11,000 tahun. Pada tahun 2004, satu lagi rangka telah dijumpai di Teluk Gua Kelawar di Lenggong, Perak oleh satu pasukan ahli arkeologi dari Universiti Sains Malaysia (USM). Kali ini ia adalah adalah 'Wanita Perak' dengan ketinggian 148 cm dan dipercayai berusia 40an.


Perkakasan Batu

Satu kawasan pengeluaran peralatan batu yang tidak diganggu di mana peralatan kerikil dihasilkan dengan menggunakan alat seperti andas dan tukul batu telah digali di tapak arkeologikal Kota Tampan. Bengkel ini bertarikh semenjak 75,000 tahun dahulu.


Masakan


Pekasam, iaitu ikan yang diperap bersama garam dan beras bakar, dan biasanya diperam dalam tempayan selama dua minggu merupakan makanan eksotik yang menjadi identiti Lenggong. Makanan tradisi ini dihasilkan daripada ikan air tawar seperti Loma, Sepat dan Tilapia. Tempat perusahaan ikan pekasam di Lenggong termasuklah di sekitar kawasan Tasik Raban, Kampung Pengkalan Ikan, Kampung Cherakoh, Kampung Luat dan Kampung Beng. Pengusaha pekasam ini dibimbing oleh pihak Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan. Pekasam Lenggong telah dipasarkan ke seluruh negara dan mempunyai nilai komersial yang tinggi. Pembukaan Pusat Pengembangan Teknologi Perikanan Lenggong telah menambah baik dan mengkoordinasi perusahaan pekasam secara lebih efisien.


Lokasi Menarik di Lenggong

1) Muzium Arkeologi Lenggong


Muzium Arkeologi Lenggong atau dikenali sebagai Muzium Arkeologi Kota Tampan terletak di sebuah kawasan bekas ladang Kelapa Sawit di Kampung Kota Tampan, Mukim Temelong, Lenggong dan berada dalam Daerah Hulu Perak iaitu 8 km ke selatan dari Pekan Lenggong dan 2 km dari jalan raya Kuala Kangsar – Grik. Keluasan keseluruhan kawasan Muzium ini di anggarkan seluas 8.16 ekar dan yang telah dibangunkan seluas 2 ekar dengan 2 blok bangunan yang mempunyai 2 Galeri Pameran, Pejabat, Bilik Audio Visual, Bilik Mesyuarat dan Bilik Penyelidikan.

Lokasi pembangunan Muzium ini dibina berdasarkan kepada signifiken tapak arkeologi zaman Paleolitik yang wujud 74,000 tahun B.P. dan merupakan penemuan tapak terawal bermula di Kota Tampan iaitu tapak Muzium kini setelah mendapati Lembah Lenggong adalah sebuah Daerah yang banyak menyumbang data kepada pengetahuan prasejarah negara dari 1,000 hingga 300,000 tahun dahulu berdasarkan interpretasi budaya material dan teknologi zaman Paleolitik masyarakat kuno. Pameran tetap terletak di: a. Balai Galeri Arkeologi Lenggong. b. Galeri Kota Tampan. Pameran sementara pula merupakan penemuan terbaru Arkeologi dari masa ke semasa.

Hari & Masa Lawatan
Isnin – Ahad : 9.00 pagi – 5.00 ptg
Jumaat : 9.00 pagi – 12.00 tengahari, 3.00 ptg. – 5.00 ptg
Bayaran Masuk
Percuma

2) Ladang Rusa


Terdapat enam padang ragut rusa di Lenggong dan salah satunya kepunyaan Jabatan Veterinar yang terletak di Sumpitan dan bersedia dilawati oleh pengunjung. Secara keseluruhan terdapat 89 individu yang terlibat dalam penternakan rusa di Lenggong melibatkan keluasan 150 hektar. Pencapaian pengeluaran pada 2009 adalah sebanyak 1,789 ekor.

3) Hutan Lipur Lata Kekabu


Hutan lipur ini berkeluasan 10 hektar dan dihubungi dengan jalan raya yang baik terletak lebih kurang 25km dari bandar Kuala Kangsar atau 9km dari pekan Lenggong. Kawasan hutan aslinya yang cantik dengan udara yang nyaman, kaya dengan berbagai pokok seperti Meranti, Kempas, Jelutong, Keruing dan lain-lain lagi. Dengan melalui lorong pejalan kaki yang dibina sepanjang kawasan perkelahan, pengunjung dapat mengenali pokok-pokok ini melalui label yang disediakan.

Di bahagian hulu sungai terdapat air terjun yang lebih kurang 50 meter tinggi di kawasan yang menjadi kawasan takungan air bagi air minuman penduduk kampung kawasan berhampiran.
Kawasan ini sesuai dikunjungi untuk bersiar-siar, berehat dan berkelah di hujung minggu. Kemudahan tapak khemah dan dewan serbaguna, surau serta bilik mandi disediakan untuk kemudahan pengunjung yang ingin tinggal lebih lama di sini atau untuk menjalankan pelbagai bentuk aktiviti pendidikan, rekreasi dan riadah. Hutan Rimba Lata Kekabu diselenggara oleh Pihak Jabatan Hutan.

4) Tasik Raban


Tasik Raban merupakan sebahagian daripada Tasik Chenderoh yang terhasil daripada pembinaan empangan janakuasa elektrik Chenderoh yang terletak di Sauk. Diberi nama Tasik Raban bersempena nama Kampung Raban yang berdekatan. Tasik Raban menjadi sumber hasil pertanian penduduk selain daripada aktiviti memancing, rekreasi dan sukan air yang lain. Pemandangan di Tasik Raban pada waktu pagi dan menjelang senja cukup indah dan mendamaikan.

5) Reakriasi Gua Tok Giring


Taman Rekreasi Gua Tok Giring yang terletak di Kampung Pecah Batu dibangunkan oleh Majlis Daerah Lenggong pada tahun 2009. Keistimewaan gua ini adalah lokasinya yang sangat strategik dan mendamaikan. Terdapat tinggalan loji pemecah batu di kawasan ini. Disamping itu, jika anda berdiri di muka gua, anda boleh merasai hembusan angin seperti pendingin hawa. Angin ini berpunca daripada atas formasi bukit melalui batuan ke muka gua. Terdapat laluan menuju ke atas bukit ini di mana boleh dijumpai bunga Rafflesia dan juga Paku Haji. Antara kemudahan yang tersedia di kawasan ini ialah taman permainan kanak-kanak, alatan rekreasi, tandas dan kedai makan. Taman ini terletak di bawah selenggaraan JKK Kampung Lenggong.

6) Jabatan Raja Muda Nazrin



Majlis perasmian disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbudin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah. Turut hadir pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah. Jambatan Raja Muda Nazrin sepanjang 742 meter. Merupakan jambatan terpanjang daripada sembilan jambatan yang dibina di Negeri Perak.

7)  Gua Puteri


Gua Puteri terletak dalam kompleks batu kapur Bukit Kepala Gajah. Gua ini berada pada kedudukan latitud 5’07.56 utara dan longitud 100′ 58.89′ timur, dengan ketinggian 94 meter di atas aras laut. Gua ini mendedahkan struktur formasi gua yang menarik. Terdapat pelbagai bentuk stalaktit dan stalagmit yang pernah direkodkan seperti bentuk peta Malaysia, katak, orang bersanding, kepala gajah, kelambu dan sebagainya sehingga timbul cerita kononnya akibat terkena sumpahan Sang Kelembai. Sebenarnya ia adalah proses semulajadi stalaktit dan stalagmit mengikut peluang dan ruang yang ada semasa pembentukkannya.

Gua Puteri merupakan terowong semulajadi di dalam formasi Bukit Kepala Gajah. Lukisan gua oleh puak Negrito dijumpai disini tetapi bukannya pra-sejarah kerana berusia kira-kira 100 tahun. Tiada sebarang penemuan arkeologi ditemui disini tetapi gua ini terkenal dengan lagendanya. Dua stalagmit disini dipercayai merupakan puteri dan putera penjaga gua. Orang tempatan mengatakan jika stalagmit ini dipanjat, mereka akan jatuh sakit. Sehingga kini, pelbagai formasi batu boleh dijumpai di dalam gua puteri antaranya pasangan pengantin yang dipercayai disumpah menjadi batu oleh Sang Kelembai dan juga katak. Gua ini antara gua yang paling kerap dikunjungi oleh pelancong di Lenggong. Gua ini boleh dikunjungi dengan mudah melalui platform yang disediakan oleh Jabatan Warisan Negara.

Selain gua Puteri terdapat beberapa lagi gua yang boleh dikunjungi antaranya
8) Bukit Sapi (Debu Volkanik Toba)


Keseluruhan bahagian lembah di Lenggong terutamanya di bawah 72 meter di atas aras laut, dipenuhi dengan material yang berwarna keputihan, yang dikenali sebagai batu atau tanah putih oleh masyarakat di sini. Sebenarnya ia ialah debu volkanik yang dikatakan berasal daripada letusan Toba, di Sumatera, Indonesia, yang berusia sekitar 75,000 tahun dahulu. Rekod kajian debu Toba mendedahkan taburannya sehingga ke lautan Hindi. Kehadiran debu Toba di semenanjung Malaysia telah direkodkan di beberapa lokasi seperti lembah Sungai Perak oleh Scrivenor, di barat Pahang oleh Richardson, di Selangor oleh Stauffer dan di Baling, Kedah oleh Debaveye. Foo dalam tahun 1990 telah mengkelaskan debu volkanik di Kuala Kangsar sebagai lapisan debu volkanik Cegar Galah yang bersifar riolit.

Pada 2007, USM telah memetakan taburan debu Toba ini di Lembah Lenggong yang didapati mencapai ketebalan 7-10 meter, bertaburan sekitar 70km persegi. Berdasarkan bukti arkeologi, penemuan debu Toba berasosiasi dengan artifak Kota Tampan menunjukkan kemungkinan bencana ini mengkibatkan kepupusan pra-sejarah Kota Tampan.

9) Aktiviti lain: Jungle Tracking, Caving, Menyusuri Sungai Perak, Reakreasi, Pelbagai Aktiviti di Tasek.


Penginapan

Homestay Kampung Beng


Kampung Beng yang terletak di Mukim Durian Pipit, adalah sebuah perkampungan tradisional terletak di pinggir Tasik Chenderoh. Perkampungan ini berada di pinggir Hutan Simpan Piah dan pergunungan Piah serta di pertengahan Banjaran Titiwangsa yang terdapat Hutan Simpan Bintang Hijau.

Populasi penduduk di Kampung Beng adalah seramai 896 orang dengan 195 buah rumah di atas keluasan 3.9188 hektar. Terdapat enam perkampungan kecil yang membentuk Kampung Beng iaitu Kampung Durian Lubuk, Beng Dalam, Kampung Dusun, Kampung Sekolah, Kampung Durau dan Batu Ring. Jarak kampung ini dari Ipoh adalah kira-kira 60 kilometer, manakala dari Kuala Kangsar 35 kilometer serta mengambil masa selama 35 minit untuk sampai ke sini. Keindahan dan keunikan Homestay (rumah inap) Kampung Beng menjadikan penginapan desa ini popular di kalangan penerbit filem untuk dijadikan lokasi penggambaran.

Selain itu pengunjung juga boleh menginap di Resort Tasik Raban atau  Rumah Rehat Lenggong.




Panduan ke Lenggong
  1. Melalui Lebuhraya PLUS, sila keluar di "Exit 143 : Kuala Kangsar"
  2. Selepas Tol, sila menghala terus ke Gerik melepasi Lubuk Merbau dan Sauk. Lenggong terletak dalam perjalanan ke Gerik, kira-kira 48 km daripada Tol Kuala Kangsar.
  3. Perjalanan akan melalui Jambatan Raja Muda Nazrin Shah
  4. Teruskan perjalanan sehingga menjumpai papan tanda Lenggong yang terletak lebih kurang 9km dari lampu isyarat selepas Jambatan Raja Muda Nazrin Shah

Melakukan perjalanan dengan menaiki bas dari:
i) Kuala Lumpur
  • Bas Ekspress Transnasional Dari Terminal Jalan Duta, 2 trip setiap hari, 9 pagi dan 11.00 malam. Perjalanan mengambil masa 3 jam setengah melalui Lebuhraya Utara Selatan.
ii) Ipoh
  • Dari Stesen Bas Medan Kidd, Perak Roadways melakukan perjalanan bas dengan kekerapan 1 jam sekali melalui jalan lama Ipoh – Sg. Siput - K.Kangsar – Lenggong. Tempoh perjalanan kira-kira 1 jam setengah.
iii) Kuala Kangsar
  • Dari Stesen Bas Kuala Kangsar, Red & Yellow Omni Bus melakukan perjalanan bas dengan kekerapan 45 minit sekali dengan tempoh perjalanan kira-kira 1 jam.

3 ulasan:

  1. tau tak latar belakang atau sejarah lenggong.macam gua2, makam,sejarah tasik raban..jika ada boleh tak emailkn pada saya chekhai2020@yahoo.com

    BalasPadam
    Balasan
    1. maaf dik, takat ni apa yang dikongsikan tu je yang tahunya. Insyaallah kalau ada lagi info akan saya tambah kat sini. Kalau ada kengkawan yang tahu leh kongsi bersama kami kat sini kalau sudi :)

      Padam
  2. salam. boleh saya tahu dari mana maklumat ni diperolehi? sumber dari buku ke?ada x?

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...