Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Jumaat, 1 Februari 2013

Selamat Menyambut Hari Wilayah pada sahabat di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya!!


Sedar tak sedar dah masuk bulan ke dua di tahun 2013 yer. 1 Febuari... Isk isk cepat sungguh masa berlalu. Rasanya masih baru lagi dan saya sekeluarga masih tengah cuba sesuaikan life yang berubah sejak Afif menjejakkan kaki ke sekolah rendah ni. Buka per, dulu senang je nak buat appointment ke nak ke pergi mana-mana ke... Tak susah. Tapi sekarang kena pikir panjang untuk sebarang urusan. Paling sukar kalau saya yang kena ke mana-mana. Kalau sekejap syukurlah tapi kalau lama... Isk camner. Mr Hb yang kena jadi driver. 


Tapi sekarang kami cuba sesuaikan masa semua kerja sebelah petang. Tapi selalunya kena hadap le dengan muncung yang makin panjang hampir setengah depa sebab tak boleh ke sekolah agama pulak. Hehehh kalau dah jenis suka sekolah pun payah gak yer heheh. Tapi syukurlah. Moga-moga dia jadi anak yang berjaya dunia akhirat. Aaamiin.


Selamat Hari Wilayah semua!!!! Amboiiii mengomel dulu baru nak wish yer... Hahahahah.... Ok le tu sesekali mukadimahnya lain sikit yer tak. Hahahha. Sabo je la. Syok yer mike dapat cuti. Siap leh sambung 3 hari terus beb. Jeles ai hahahah. Jangan nanti lepas 3 hari ada yang masih tak masuk kerja udah le yer. Garu kepala big boss hahaha.


Apa projek dah cuti-cuti ni? Balik kampung ke atau bawa family pergi jejalan? Hah????? Tak der apa-apa projek? Ok kot tak der apa-apa rancangan moh bersama saya tambah ilmu pengetahuan sikit. Ye la dah sambut Hari Wilayah tu kena le tahu ceritanya sikit sebanyak kan.. Kalau orang-orang yang jauh dan tak dapat bercuti seperti saya pun harus nak tahu gak kan. Apsal yang best sangat mike-mike kat Wilayah tu dapat cuti bagai. Tak der ke pulak Hari Kampung untuk kami ni hahahha.



Hari Wilayah Persekutuan (juga disingkat sebagai Hari Wilayah sahaja) ialah cuti umum di Wilayah Persekutuan, Malaysia. Ia disambut di wilayah ini: Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pada 1 Februari setiap tahun. Tarikh ini bersempena pembentukan Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia dan Wilayah Persekutuan pertama pada 1974. Kuala Lumpur sebelum itu merupakan sebahagian daripada negeri Selangor. Pada 16 April 1984, Labuan yang dahulunya sebahagian daripada pentadbiran Sabah dibawa masuk kedalam Wilayah Persekutuan dan diletakkan di bawah pentadbiran Perbadanan Labuan. Pada 1 Februari 2001, Putrajaya ditubuhkan sebagai Wilayah Persekutuan ketiga dan diletakkan di bawah pentadbiran Perbadanan Putrajaya. Putrajaya kemudiannya menjadi pusat pentadbiran yang baru bagi Malaysia.


Wilayah Persekutuan (Jawi: ولايه ڤرسكوتوان) ialah wilayah yang ditadbir secara langsung oleh kerajaan Persekutuan Malaysia dan ditadbir di bawah perundangan Kementerian Wilayah Persekutuan. Tidak seperti negeri-negeri lain bagi Malaysia, Wilayah Persekutuan tidak diperintah oleh kerajaan negeri, sebaliknya terletak di bawah pentadbiran Persekutuan dan diperintah oleh Yang di-Pertuan Agong. Terdapat tiga bahagian dalam Wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Daripada ketiga-tiga bahagian ini, Kuala Lumpur merupakan ibu kota Persekutuan, Labuan merupakan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa (IBFC) manakala Putrajaya merupakan pusat pentadbiran Persekutuan.


Pembentukan Kabinet baru pada 27 Mac 2004 oleh Perdana Menteri Malaysia Kelima, Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi telah membawa kepada penubuhan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP). Tugas kementerian ini ialah memberi tumpuan khusus terhadap kemajuan Wilayah Persekutuan.


Pusat Pentadbiran Kerajaan Malaysia

Bendera Wilayah Persekutuan

Wilayah Persekutuan memiliki bendera rasminya yang sendiri. Bendera ini telah mula digunakan pada 23 Mei 2006. Sungguhpun begitu, bendera-bendera milik setiap wilayah masih dipakai guna.

Bendera Wilayah Persekutuan Malaysia

Menurut Cik Kodiang K.N yang diambil dari Kosmo, pada 20 Ogos 2006, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail telah berkenan mengisytiharkan bendera Wilayah Persekutuan dengan rasminya.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) telah memohon khidmat mereka bentuk bendera daripada Dekan Fakulti Seni lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara. Jadi inilah bendera yang mewakili ketiga-tiga Wilayah Persekutuan dalam Malaysia ni. Namun setiap wilayah persekutuan berkenaan masih lagi boleh menggunakan bendera masing-masing. Umpama bendera Malaysia dan bendera Negeri la gitu. Kat bawah ni pula bendera bagi setiap Wilayah Persekutuan berkenaan

Bendera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Bendera Wilayah Persekutuan Putrajaya

Bendera Wilayah Persekutuan Labuan

Kuala Lumpur


Kuala Lumpur (Tulisan Jawi: كوالا لومڤور, singkatan: KL) atau nama penuhnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ialah ibu negara dan bandar terbesar di Malaysia. Kawasan Wilayah Persekutuan ini yang meliputi tanah seluas 244 km2 (94 batu²), diduduki 1.63 juta orang mengikut banci tahun 2010. Kuala Lumpur tergolong dalam sebuah kawasan metropolitan besar yang turut meliputi sebahagian besar negeri Selangor, iaitu Lembah Klang, sebuah kelompokan bandar yang diduduki 7.2 juta orang dan juga kawasan metropolitan yang paling pesat membangun di negara dari segi bilangan penduduk dan ekonomi.

Kuala Lumpur merupakan tempat letaknya Parlimen Malaysia, dan juga pernah menjadi lokasi cabang eksekutif dan kehakiman kerajaan persekutuan yang kini bertapak di Putrajaya sejak tahun 1999. Namun begitu, terdapat beberapa cawangan kehakiman yang kekal di ibu kota ini. Kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong, iaitu Istana Negara, juga terletak di Kuala Lumpur. Bandar raya ini juga merupakan pusat kebudayaan dan ekonomi Malaysia kerana kedudukannya selaku ibu negara dan bandar raya primat. Kuala Lumpur ditarafkan sebagai bandaraya dunia alfa, dan juga satu-satunya bandar raya global di Malaysia, menurut Globalization and World Cities Study Group and Network (GaWC).



Kuala Lumpur suatu ketika dahulu...

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ialah salah satu daripada tiga buah Wilayah Persekutuan Malaysia, dan juga sebuah enklaf dalam negeri Selangor, di pantai barat tengah Semenanjung Malaysia.
Semenjak 1990an, bandar raya ini menjadi tuan rumah kepada berbilang acara sukan, politik dan kebudayaan, termasuk Sukan Komanwel 1998 dan Kejohanan Dunia Formula Satu. Selain itu, di Kuala Lumpur terdirinya menara berkembar tertinggi di dunia, iaitu Menara Berkembar Petronas.
Kuala Lumpur dihubungkan dengan dunia luar oleh dua buah lapangan terbang, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah yang kini hanya berkhidmat untuk penerbangan dalam negara.


Labuan


Wilayah Persekutuan Labuan merupakan Wilayah Persekutuan kedua Malaysia. Ia merangkumi keseluruhan pulau Labuan yang mempunyai keluasan 98 km2. Pulau Labuan terletak sekitar 10 km dari pantai Sabah, 2 1/2 jam penerbangan dari Kuala Lumpur, dan lima minit perjalanan bot ke Pulau Papan. Pulau Labuan telah diisytiharkan sebagai pusat kewangan luar pantai (offshore financial centre) pada 1990 dan pelabuhan bebas cukai sejak 1956. Labuan mempunyai pelabuhan yang dalam dan besar, yang merupakan punca asal namanya pelabuhan atau "Labuhan".


Pulau Labuan juga mempunyai air yang jernih dan pantai berpasir sepanjang persisiran pantai, menjadikannya destinasi perlancongan yang baik. Pulau Labuan juga mempunyai perairan yang baik untuk aktiviti menyelam dan mempunyai empat destinasi penyelaman skuba.


Putrajaya


Putrajaya atau nama penuhnya Wilayah Persekutuan Putrajaya ialah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia yang menggantikan Kuala Lumpur pada 1999. Putrajaya, bandar raya pintar dalam taman terletak 25 kilometer di selatan Kuala Lumpur merupakan sebuah bandaraya futuristik yang menempatkan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Ia adalah Wilayah Persekutuan ke-3 di Malaysia.

Dari sebuah tempat terpencil yang dikenali dengan nama Prang Besar, kawasan ini melonjak membangun dengan nama Putrajaya mulai 12 Oktober 1994. Berbanding dengan Kuala Lumpur, sebuah bandar tinggalan penjajah, Putrajaya dibangunkan oleh anak bangsa sendiri dengan bercirikan budaya tempatan. Mula dibina pada 16 April 1995, Putrajaya akan menggunakan aplikasi teknologi maklumat (IT). Dengan terbinanya Putrajaya, suatu hari nanti Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan menjadi Bandar gergasi standing dengan Tokyo dan Yokohama di Jepun.



Untuk mencapai matlamat ini, Wetland Putrajaya telah dibina untuk menyingkirkan sedimen dan membersihkan aliran permukaan yang tercemar sebelum ia memasuki tasik. Sesuai dengan lokasinya di tengah-tengah bandaraya, Wetland Putrajaya menjadi titik penting dalam membawa rakyat untuk bersama-sama mencapai matlamat dari segi rekreasi, pendidikan dan penyelidikan.

Lokasinya yang berada ditengah-tengah Koridor Raya Multimedia, Putrajaya seluas 4,931 hektar ini dibangunkan dengan kos RM20.5 bilion mengandungi Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Perumahan, Kemudahan komersial, kemudahan sosial dan kemudahan keagamaan. Pada 10 Mei 1999, Kompleks Pejabat Perdana Menteri mula beroperasi di Putrajaya. Putrajaya menjadi penanda aras kepada pembangunan dan pentadbiran sesebuah bandar baik di peringkat dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.
 
  
Sumber: Wikipedia
Kodiang K.N

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...