Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Selasa, 29 Mei 2012

Sejarah & Pelancongan : Parit Buntar Perak


Assalamualaikum,

Dah bersarapan semua? Makan apa tadi? Kami sekeluarga tak sempat breakfast tadi sebab tergocoh-gocoh ke Parit Buntar. Ada appointment. Janji pukul 9.00 pagi so nak siap anak le bagai sampai tak sempat bersarapan. Punya le tahan lapar. Sib baik tak keluar bunyi-bunyian dalam perut hahah. Kot dia bergurindam harus naya heheh. Jam 11.20 pagi baru selesai berdiscuss. Adoi makkk...


Sebut Pasal Parit Buntar.... Meh saya ceritakan serba sedikit pasal daerah ni. Nak tahu tak sejarah dan kelebihannya????


Parit Buntar terletak di utara negeri Perak, bersempadan dengan Bandar Baharu, Kedah dan Nibong Tebal, Pulau Pinang. Parit Buntar terletak berhampiran dengan Bagan Serai, Kuala Kurau, Tanjung Piandang dan Bagan Tiang.


Daerah Kerian Perak merupakan sebuah daerah yang terkenal dengan jolokan Jelapang Padi Negeri Perak. Parit Buntar merupakan pusat pentadbiran Majlis Daerah Kerian (MDK). Oleh itu setiap penduduk di Daerah Kerian ini akan bertumpu ke Parit Buntar utuk sebarang urusan yang melibatkan agensi kerajaan.


Suatu masa dahulu, Parit Buntar juga tidak terkecuali daripada dijajah oleh kuasa asing. Sekitar 1800, Parit Buntar pernah dijajah oleh kuasa British. Nama Parit Buntar diambil sempena dengan nama seorang pemimpin masyarakat yang terkenal pada suatu masa dahulu iaitu Tok Buntar. Allahyarham bersama dengan pengikutnya pada masa itu telah membina parit dari Sungai Kerian untuk dialirkan ke sawah-sawah padi. Pada waktu itu orang ramai menggelar parit tersebut dengan panggilan Parit Tok Buntar. Lama-kelamaan nama tersebut kemudiannya hanya disebut dengan panggilan Parit Buntar sehinggalah sekarang.



Parit Buntar terletak di sebelah Utara Negeri Perak dan bersempadan dengan dua buah negeri iaitu Bandar Baharu, Kedah dan juga Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan Pulau Pinang. Selain terkenal sebagai daerah yang subur dengan hasil buminya, ia juga turut terkenal dengan keindahan alam semula jadinya. Berkeluasan kira-kira 90,000km persegi, Daerah Kerian mempunyai tanah rata dan subur serta dua daripada mukim yang terdapat di daerah ini merupakan kawasan yang berbukit iaitu Gunung Semanggol dan Beriah.


Parit Buntar yang menjadi pusat pentadbiran bagi Daerah Kerian merupakan sebuah penempatan yang semakin membangun. Jika dahulu, Parit Buntar hanyalah sebuah pekan kecil, namun lama-kelamaan, ia telah berkembang sehinggalah menjadi sebuah bandar yang teratur serta membangun. Segala kemudahan lengkap tersedia di Bandar Parit Buntar.


Parit Buntar terdiri daripada gabungan bandar lama dan bandar baru. Pentadbiran Majlis Daerah Kerian di Parit Buntar ini mempunyai lapan buah mukim di bawahnya. Antaranya ialah Parit Buntar, Tanjung Piandang, Kuala Kurau, Bagan Tiang, Bagan Serai, Gunung Semanggol, Beriah dan juga Selinsing.




Mercu tanda bagi Bandar Parit Buntar adalah Menara Jam yang terletak di Pekan Lama Parit Buntar. Ia adalah lambang kemajuan dan kemakmuran penduduk Parit Buntar. Menara jam ini dibina pada awal tahun 1961 dan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia Pertama iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 24 Ogos 1961. Menara ini didirikan oleh Lim Chong Chee PB.


Parit Buntar dihubungkan dengan Bandar Baharu melalui jambatan yang melintasi Sungai Kerian. Sungai ini juga mencatat sejarah apabila sekitar pertengahan tahun 1970an tragedi feri karam telah menyebabkan ramai yang terkorban.


Pinggiran Sungai Kerian yang terletak di Pekan Lama Parit Buntar adalah sebuah taman rekreasi yang sering menjadi kunjungan penduduk di sekitar Parit Buntar dan orang luar. Indah dan dekorasinya menarik. Itu huraian ringkas yang dapat menjelaskan keistimewaan Pinggiran Sungai Kerian. Selain untuk beriadah bersama keluarga, ada juga yang datang untuk memancing. Bagi para belia dan kaki pancing, ramai yang akan berkunjung ke Pinggiran Sungai Kerian pada waktu pagi dan petang.


Bagi penduduk sekitar seperti di kawasan kampung-kampung turut menjadikan Parit Buntar sebagai lubuk mencari rezeki dan tempat untuk mencari barang-barang keperluan seperti pakaian dan sebagainya.  Dahulu, di tepi sungai ini terkenal dengan gerai makan yang dipanggil Terapung. Ketika itu Terapung menjadi tempat tumpuan utama masyarakat di Parit Buntar. Ketika dahulu, kedai jalan tepi sungai ini merupakan tempat utama untuk orang-orang Parit Buntar membeli baju-baju sukan yang berjenama dan juga barangan lain.


Terdapat beberapa kampung yang terletak berhampiran dengan Bandar Parit Buntar antaranya ialah Titi Serong, Kampung Parit Tok Ngah, Kampung Parit Haji Wahab,  Tanah Kebun dan beberapa buah kampung lagi. Kampung-kampung ini mempunyai sosioekonomi yang sama iaitu melalui sektor pertanian. Penduduk kampung di sekitar Parit Buntar menjadikan sawah padi sebagai sumber pendapatan utama mereka. Penanaman padi di sini dilakukan dua kali setahun. Malah jika kena pada musimnya, pemandangan sawah padi yang menghijau dan ada masanya kuning keemasan pasti membuatkan pengunjung merindui pemandangan di sini.


Sawah padi di Tanjung Piandang, Parit Buntar


Bagi yang membesar di bandar pastinya tidak pernah merasa pengalaman menikmati udara nyaman di pinggir sawah. Apatah lagi bermain lumpur apabila air dari parit dibiarkan memenuhi sawah padi bila tiba musim menanam ataupun menabur benih padi. Apa yang pasti pemandangan sawah padi ketika itu seolah-olah lautan yang terbentang luas. Bagi masyarakat di sekitar Parit Buntar, pemandangan sawah padi merupakan penyeri dan juga sumber pendapatan penduduk setempat.


Selain daripada itu, penduduk yang tinggal di Tanjung Piandang dan Bagan Tiang yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari Bandar Parit Buntar menjadi pelantar utama bagi pelaut. Proses jual beli juga dilakukan di sini. Kebanyakan penduduk di sini menjadi nelayan pesisir pantai dan laut dalam. Peralatan yang digunakan adalah seperti pancing, jala, pukat dan sampan bagi tangkapan yang dilakukan di pesisir pantai. Bagi nelayan laut dalam pula, penggunaan bot-bot besar adalah lebih utama selain penggunaan pukat pelbagai jenis sama ada kecil atau besar. Hasil tangkapan yang banyak selalunya dijual dan sedikit diperuntukkan untuk makan sendiri.


Selain daripada itu, penduduk di sekitar Parit Buntar juga menjadikan sungai sebagai punca rezeki selain sebagai hobi pada masa lapang. Antara sungai yang menjadi tumpuan penduduk ialah Sungai Kerian dan Sungai Kurau. Peralatan yang digunakan untuk menangkap ikan ialah pancing, bubu dan tukun.


Hubungan antara penduduk sekitar dengan Bandar Parit Buntar tentunya melalui  hubungan sosioekonomi. Selain daripada mereka datang ke Parit Buntar untuk membeli belah, ada juga penduduk sekitar yang bekerja di situ. Bandar Parit Buntar menempatkan pelbagai premis jualan, bangunan kerajaan, institusi perbankan, hospital dan sebagainya. Maka segala urusan tertumpu di bandar ini.







Pantai Ban Pecah yang terletak di kawasan Parit Buntar dan merupakan sebuah kawasan istirehat yang terkenal di kalangan penduduk setempat. Kehalusan pantai serta airnya yang biru menjadi daya tarikan utama kepada pengunjung. Pantai Ban Pecah yang berada di laluan Selat Melaka sangat popular di kalangan kaki pancing. Sebuah pelantar memancing telah dibina khas untuk mereka berteduh dari terik matahari. Bot-bot nelayan yang banyak berlabuh di sekitar Pantai Ban Pecah menandakan bahawa aktiviti menangkap ikan turut dijalankan di sini. Antara jenis-jenis ikan yang boleh di dapati di Pantai Ban Pecah ialah ikan ketuka, ikan belukang dan ikan sembilang.


Dahulu, jarak Pantai Ban Pecah dengan kawasan penempatan penduduk kampung amat jauh, iaitu lebih daripada 200 kilometer. Namun kononnya akibat terkena sumpahan, kawasan Pantai Ban Pecah menjadi semakin luas.






Menurut cerita penduduk sekitar di sini, terdapat sepasang anak yatim yang telah dijaga oleh bapa saudara mereka. Mereka mempunyai harta peninggalan keluarga yang banyak. Namun, kerana sikap tamak telah menguasai diri, bapa saudara mereka telah melanggar amanat yang telah dipertanggungjawabkan.
Merasakan diri mereka teraniayai, anak-anak yatim ini telah berdoa meminta pembalasan daripada Tuhan. Mereka juga bersumpah kawasan Pantai Ban Pecah akan menjadi luas mengikut banyaknya harta mereka yang telah digunakan. Tidak lama selepas itu, hakisan tanah telah berlaku di sekitar kawasan pantai dan menenggelamkan sawah-sawah padi serta berpuluh-puluh buah rumah penduduk kampung termasuk bapa saudara mereka.


Kini jarak antara Pantai Ban Pecah dengan kawasan penempatan penduduk tidak pun sampai 50 kilometer. Ketika berlakunya Tsunami pada 2006, Pantai Ban Pecah turut terjejas dan mengalami kemusnahan. Namun, kerosakan yang berlaku tidak sehebat kemusnahan di Pulau Pinang.




Salah sebuah sekolah yang terdapat di Parit Buntar ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Buntar yang kini dikenali dengan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Bukit Gantang yang telah dibina sekitar tahun 1969 bersempena dengan nama Dato’ Panglima Bukit Gantang Tuan Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Aziz iaitu Menteri Besar Perak yang pertama


Balai Polis Parit Buntar pula dibina sejak tahun 1929. Pada asalnya bangunan balai polis ini hanya dibina menggunakan papan sahaja. Lama-kelamaan, barulah bangunan yang ada sekarang didirikan. Pada 13 Mac 1980, pengubahsuaian daripada bangunan papan kepada batu bata dimulakan. Balai Polis Parit Buntar telah dirasmikan oleh Y.A.S Tuan George Boucher, KMN, Pesuruhjaya Kanan Polis II, Ketua Cawangan Khas Perak pada 11 Mei 1985 bersamaan 21 Syaaban 1405.


Hospital Besar Parit Buntar

Hospital Parit Buntar merupakan satu-satunya hospital yang terdapat dalam Daerah Kerian. Hospital ini menyediakan pelbagai jenis rawatan kepada pesakit dan ia mula beroperasi pada sekitar tahun 1930 lagi. Hospital ini banyak berjasa kepada penduduk sekitar Parit Buntar sejak sekian lama. Bangunan asal hospital ini merupakan bangunan Sekolah Methodist Parit Buntar.


Bagi penggemar Char Kueyteow boleh le singgah Gerai Char Kueyteow Along yang terletak di Kampung Kedah, Parit Buntar berdekatan dengan susur masuk ke pekan Parit Buntar. Diarang buka sekitar jam 6.00 petang. Sure berbaloi sebab memang terbaik di Parit Buntar dan kawasan sekitar. Nak makan otak-otak pun ada tapi ikut nasib lah yer sebab cepat habisnya.


Antara anak kelahiran Parit Buntar yang berjaya pada masa kini adalah Mohd Murali Abdullah yang merupakan Pengarah Terbaik Drama di Anugerah Skrin (ASK) 2010 dan 2008. Kisah perjalanan hidupnya dari awal boleh dibaca di sini. 


Selain daripada itu seorang lagi yang berjaya ialah Abu Hassan atau lebih dikenali sebagai Romzy. Beliau merupakan pemilik Romzy Studio yang menawarkan perkhidmatan menyewa peralatan dan pakaian pengantin. Butik pertamanya telah dibuka sejak tahun 1991 lagi di pekan Parit Buntar sering menjadi pilihan artis, VIP dan orang ramai. Memiliki cawangan di Kedah dan Perlis, Romzy Studio turut menerima tempahan pelanggan dari serata negeri di Pulau Pinang dan Kedah selain dari Perak dan Perlis.


Mufti Perak (kesayangan hamba), Dato' Seri (Dr) Haji Harussani Zakaria juga merupakan anak kelahiran Parit Buntar, Perak. Beliau dilahirkan pada 8 April 1939 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Kedah, Parit Buntar. Kini beliau menjadi Mufti yang amat disegani masyarakat terutama di Perak ni :)


Itulah serba sedikit pasal Parit Buntar yang dapat saya kongsikan bersama. Nak tahu lebih lanjut leh le rujuk di sini. Ni dah cuti sekolah ni boleh le bawa anak-anak jalan-jalan ke Parit Buntar dan  






3 ulasan:

  1. Dulu awal tahun 70an saya ada jugak dengar cerita Ban Pecah ni. Kawasan paling teruk di hakis ombak ialah Teluk Rubiah, betul ke? Selalu jugak keluarga saya dari Parit Hj. Manan, Kuala Kurau pi cari lokan guna pisau mengerat, Sekali bawak balik ada hampir seguni.Masa tu saya masih kecil tak pernah pi pun. Dok dengar cerita ombak kuat. Depa dok cerita pintu air simen yang masih ada depan sikit ke tengah daripada jeti itu ke dalam laut dah kira pintu air nombor tiga maknanya ada dua lagi pintu air dah tenggelam nun ditengah laut. Betul ke tidak Walahhualam.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mungkin juga cik sem poi. saya ni pun tak le tahu benar tempat tu sebab dah tetua ni baru ke belah sana beberapa kali tapi setakat lintas je. saya tinggal di Bukit Merah jauh le juga dari situ. Tapi bab pintu air mungkin ada lebih dari satu. mcm kat kampung saya ni ada banyak ada yang kata 12 tapi tok2 dulu kata lebih. berpuluh2. sekarang tinggal 2 je hihi. so kena tanya kat orang2 tua mungkin betul sbb tak tercatat dlm sejarah kita huhu

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...