Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
Memaparkan catatan dengan label Kuih Muih. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kuih Muih. Papar semua catatan

Khamis, 10 Oktober 2013

Laksa Penang 2 Puteri



Dah lama saya perhatikan pokok bunga kantan saya yang dah berbunga lagi tu. Dalam hati ni asyik merancang jer nak masak apa pula kali ni menggunakan bunga kantan tu. Asam pedas dah buat dah dulu. So kali ni nak lain sikit ler. Kebetulan saya tak der apa-apa projek dua hari ni selain daripada duduk kat rumah. So offer la kat Mr Hb kalau-kalau dia teringin nak makan apa.


Antara hidangan yang saya offer kat dia yang berbasekan bunga kantan adalah asam pedas (sekali lagi dalam masa terdekat isk), masak lemak dan laksa penang (laksa versi lain dia tak makan). Mulanya dia cakap apa pun ok tapi last-last dia nak makan Laksa Penang ler pulak. Heheh ok jer sebab kebetulan bunga kantan tu ada dua so sesuai sangat ler.

Ikan mata besar

Ikan tongkol

Ni tak kenal saja jer lagi. Nak kena babap ler jawabnya heheheh

So kitarang pun pergi ler ke pasar malam unuk beli ikan fresh selain daripada daun kesum dan lain-lain barang yang nak guna dalam laksa tu. Mahal sungguh ikan sekarang. Setakat 1 kg (7 ekor) ikan mata besar/ikan Uji Rashid dan 1 ekor ikan tongkol, tokeh tu caj RM22.00. Isk... Tapi nak sedap punya pasal ok jer la. Nak buat macam mana rega dah macam tu kot...


Pagi-pagi saya buat ler preperation untuk kuah laksa tu. Laksanya dah saya rendam semalaman. So cepat ler sikit kerja nanti. Sambil buat Pulut Lemak bersama Inti Kelapa yang saya kongsi semalam, saya siapkan sama laksa ni. Sib baik Mr Hb pun tak der projek apa-apa so boleh ler dia tolong kat dapur. Lega ler sikit.


Nak buat Laksa Penang ni tak susah mana pun tapi lecehnya nak siapkan ikan tu. Sib baik Mr Hb minta tokeh yang jual ikan tu siang dulu ikannya. So balik cuci jer lagi. Pastu nak perisi tulangnya. Isk yang ni rasa malas sangat. Tapi lepas tu senang... Campur semua dalam periuk masak jer. Tapi oleh kerana Mr Hb ada... Lagi mudah. Buat sama-sama. Prosesnya pun jadi tambah cepat. Sukanya... Proses masak pun dia yang buat sebab saya masak laksa yang dah direndam tu dengan masak cucur udang yang nak dimakan bersama laksa tu nanti. Jadi bila kuahnya dah siap. Dah boleh terus makan.Tak der la tunggu lama-lama.


LAKSA PENANG 2 PUTERI

By: Asamgaram2puteri


Bahan Kuah Laksa
  • 1kg ikan mata besar/ikan sardin/ikan termenung - bersihkan
  • 1 ekor ikan tongkol - bersihkan
  • 500g udang -  buang kulit tapi jangan buang. Bersihkan
  • 2 sudu besar Cili Boh Asli 2 Puteri
  • 2 kuntum bunga kantan - belah 2
  • 2 batang serai - diketuk
  • 20 keping asam keping - lebih pun ok kalau rasa kurang masam nanti
  • Seikat daun kesum - buang batang kerasnya
  • Garam, gula dan serbuk perasa
  • Air untuk merebus - agak-agak lebih atas sikit daripada bahan-bahan tadi
  • 2 sudu besar Sos Char Kueyteow 2 Puteri

Caranya 
1. Rebus ikan bersama udang, kulit dan kepala udang dan juga 10 keping asam keping sehingga mendidih. Angkat dan asingkan isi ikan daripada tulangnya. Air rebusan bersama asam keping ketepikan dahulu. Ambil sedikit untuk proses kisar nanti.

2. Kisar isi ikan bersama udang tadi sehingga halus. Tuang dalam air rebusan yang dalam periuk tadi. Kisar juga tulang ikan bersama kulit dan kepala udang. Tapis dan ambil airnya sahaja. Campur dengan air rebusan tadi.

3. Masukkan bahan-bahan lain dan masak sehingga mendidih. Rasa yer bagi secukup rasa... Asam garamnya. Tutup api.


Bahan Laksa
  • 1 bungkus laksa kering - rendam semalaman
  • Air secukupnya
  • Sedikit garam
Caranya
1. Basuh laksa yang direndam tadi.

2. Panaskan air sehingga mendidih. Masukkan garam diikuti dengan laksa tadi. Masak sehingga ianya kembang dan lembut. Tutup api.

3. Buang air rebusan tadi dan basuh dibawah air mengalir supaya dapat buang kanji yang terlekat pada laksa tadi dan supaya ianya tak melekat nanti. Siap.


Bahan Cucur Udang
  • 10 ekor udang
  • 5 sudu besar tepung gandum
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Secubit garam
  • Sedikit pewarna kuning- jika suka
  • Air
Caranya
1. Campur semua bahan kecuali udang dan buat bancuhan adunan yang tak terlalu pekat dan tak terlalu cair.

2. Panaskan kuali. Guna senduk besi dan panaskan terlebih dahulu. Bila dah panas tuangkan sesudu besar adunan tepung atas senduk tadi. Letakkan seekor udang. Tuang sedikit adunan tepung di atas udang supaya udang tak tanggal masa masak nanti dan goreng.

3. Dalam beberapa saat cungkil keluar aduanan di atas senduk beasi tadi. Biarkan sebentar dan ulang proses yang sama sehingga habis adunan. Cucur tadi, agak-agak dah masak boleh angkat.

4. Nak makan nanti potong kecil-kecil bersegi.


Bahan Sampingan Lain/Garnishing
  • Timun - potong nipis memanjang
  • Daun salad - potong kecil memanjang
  • Bawang besar - potong bulat nipis sikit
  • Telur rebus- potong 4
  • Bunga kantan - hiris halus
  • Cili padi - hiris kecil-kecil
  • Limau kasturi - belah 2
  • Cili merah - potong nipis

So kalau nak makan tu masukkan dulu laksanya. Diikuti dengan kuah, cucur udang, daun salad, timun, cili merah, bawang besar, cili padi, bunga kantan, telur rebus dan limau kasturi. Perghhhh maunya bertambah nanti.... Jemput makan (masak sendiri aaaa hehehh).



Jumaat, 12 April 2013

Izaz's Roti Cheese Power Business


Kali ni saya nak kongsikan satu resepi hasil buah tangan si kecil, Izaz Rashyeeda Hairol dengan sahabat semua. Anak-anak saya ni dua-dua jenis payah makan. Terlalu cerewet sebenarnya. Tapi bab-bab reka-reka jenis menu diarang ni memang teror tapi dalam lingkungan jenis makanan yang diarang sentuh je la. Yang lain-lain selagi tak diminta tak payah le jamu, tak disentuhnya diarang sedap macam mana pun.


Izaz ni paling payah makan. Sedari kecil macam tu le. Tapi badan tak le slim macam kakak, Afif Khadyeeja Hairol. Mungkin jenis badan sedap dipeluk so tak makan pun tak nampak kekurangannya. Nak kata makan benda merapu pun tak sangat sebab saya tak galakkan diarang makan junk food. Sesekali tu ada le excuse tapi sebulan sekali pun payah le. Cuma Afif tak le dapat dipantau sangat sebab disekolah mana le tahukan. Tapi saya percaya tak selalu gak dia makan yang merapu ni sebab dia tak tahan pernah demam bila makan terlebih. Mungkin sebab tak biasa heheh.


Izaz ni bab-bab reka-reka dan hias makan dia memang nombor 1. So walaupun dah tak baking membaking ni tetap dalam stok kena ada hiasan kek tu... Macam manik 100 thaousand la, chocolate urai la. Tak per la janji dia asak minda untuk creatif tak gitu.


Ha... Hari ni saya nak kongsi salah satu daripada menu gubahan dia yang antara dia suka. Siap bagi nama sendiri tau. Izaz's Roti Cheese Power Business! Kat mana yang power business dia tah le heheheh. Memula dengar hairan gak bila dia minta bukakkan roti untuk buat Izaz's Roti Cheese Power Business ni. Dek kerana nak tahu, tengok je la. Bila dah siap oooo baru le tahu apa kebendanya heheheh. Jom tengok yer hidangan ciptaan si kecil 4 tahun ni.... ;)


IZAZ'S ROTI CHEESE POWER BUSINESS
By: Izaz Rashyeeda Hairol, Asamgaram2puteri

Bahan-bahan





Ambil sekeping je yer roti ni. Tak kisah le roti perang ke, roti putih ke janji sekeping yer untuk satu hidangan.


 Ambil sekeping cheese juga.


Caranya


1. Letakkan sekeping cheese di atas kepingan roti tadi.


2. Lipat seperti di atas atau gulungkan sahaja. Dah siap Izaz's Roti Cheese Power Business :)


Heheheh... Ok tak resepi dia? Yang ni resepi untuk satu hidangan. Kot nak lebih kena buat lebih la yer heheh. Selamat menjamu selera ya :)


Isnin, 18 Mac 2013

Popiah Goreng Berinti Burger Maggie 2 Puteri


Semalam blur sikit. Pepagi lagi dah blur sebab tak der idea nak masak apa untuk sarapan. Dah seminggu tak masak sarapan sebab bangun je terus kena kerja so breakfast main aci beli je. Tapi semalam dah cool sikit sebelum start sibuk kembali ari ni. Tu pasal yang jadi blur heheh.


Pikir punya pikir, sementelah pulak anak minta maggie goreng untuk breakfast diarang terus saya rendam maggie 2 bungkus. Satu untuk diarang breakfast (masak kena asing sebab diarang tak makan pedas langsung) dan satu lagi untuk saya mula bereksperiment hihih. Nasib le Mr HB nak kena makan menu eksperiment saya lagi pagi ni hihihi.


Selalunya saya kalau goreng maggie tak pernah rendam dulu tapi hari ni sebab nak ambil untuk buat Popiah Goreng Berinti Burger Maggie 2 Puteri saya kena rendam jab. Sementara menunggu maggie  kembang, saya rendam gak daging burger untuk bagi cepat lembut. Membeku dalam fridge tu, itu yang kena bagi lembut balik sebab nak hancurkannya. Masa nak hancurkan daging tu baru saya tahu yang kandungan lemak dalam daging burger tu fuhhh berketul-ketul. Patut le saya kalau buat burger walau tak masukkan minyak tetap berlinang minyak yang keluor. Rupanya 'kaya' dengan lemak daging tu. Jadi kowang kot nak sihat lebih jangan dok bakar daging burger dengan apa-apa jenis minyak atau margerine dah tau. Biar dia keluar minyak dari lemak dia sendiri. Memang le keras sikit tapi nak sihat ma....


Lepas buang serba sikit lemak yang ado (yang mampu je la sebab banyak) saya siapkan bahan-bahan lain. Pastu goreng balik sikit untuk enakkan adunan inti tu. Alah campur tu, campur ni, campur Sos Char Kueyteow 2 Puteri ngan Cili Boh Asli 2 Puteri ok gak rasanya. Eh lupa nak cakap masa rendam maggie tu kena letak sikit rencahnya atau garam supaya kang maggie yang kita makan tak terasa kosong kosong kosong.... Hihihi. Ada le perisa sikit kat maggie tu.

Ke barisan... Sedia! Line up before masuk kuali

Sib baik cepat gak sejuknya adunan inti tu sebab kang kalau panas-panas nak membungkus rosak pulak kulit popiah tu nanti. Tapi nak bagi cepat sejuknya, saya tuang adunan inti yang sikit tu dalam dulang dan ratakan bagi jadi lapisan nipis. Biarkan bawah kipas hihihi. Nak makan breakfast kena le creatif sikit sebab buat kerja last minit. Kang tak pasal-pasal jadi hidangan tengah hari pulak heheheh.


Buat Popiah Goreng Berinti Burger Maggie 2 Puteri ni makan masa yang agak lama gak sebab proses macam-macam. Memang tak sabar nak rasa hihi. Ok tak nama yang saya bagi hehehe. Panjang berjela tapi nampak cam best je yer tak. Kan orang sekarang lagi panjang nama menu tu lagi rasa mahal jadinya kan kan ;D. Orang dulu-dulu suka yang simple dan pendek-pendek tapi orang sekarang suka yang panjang-panjang. Sekarang lagi panjang nama lagi mahal harga yang boleh diletakkan walau sebenarnya biasa je heheh. So menu saya ni ikut arus le gak heheheh.


Ok jom tengok resepi olahan saya ni....


POPIAH GORENG BERINTI BURGER MAGGIE 2 PUTERI

By: Asamgaram2puteri

Bahan-bahan
  • Kulit popiah- defrostkan pada suhu bilik
  • 1 peket maggie - rendam sehingga lembut
  • 2 keping daging burger - lembutkan dan hancurkan
  • 1/2 biji bawang besar - didadu halus
  • 1 ulas bawng putih - cincang halus
  • 1 sudu teh Cili Boh Asli 2 Puteri
  • 2 sudu besar Sos Char Kueyteow 2 Puteri
  • 1/2 sudu teh lada sulah
  • 1 sudu teh serbuk oregano - ikut suka kalau nak masukkan yang lain
  • 2 inci lobak merah - sagat halus
  • 1/2 biji ubi sengkuang saiz kecil - sagat halus
  • Sedikit garam atau perasa
 Caranya
1. 1 peket maggie direndam sehingga lembut. Masukkan sedikit garam atau serbuk perasa ke dalam air rendaman. Apabila lembut, toskan dan ketepikan sebentar.  

2. Daging burger dihancurkan dan diketepikan. Jika baru dikeluarkan daripada peti sejuk beku, rendam seketika di dalam air sehingga lembut. Baru dihancurkan.

3. Dalam kuali, tumis bawang besar dan bawang putih sehingga layu. Kemudian masukkan Cili Boh Asli 2 Puteri. Tumis sehingga garing.

4. Masukkan Sos Char Kueyteow 2 Puteri, sedikit lada sulah dan serbuk oregano. Sebatikan.

5. Masukkan daging burger, maggie yang telah direndam tadi, lobak merah dan sengkuang. Gaul sebati dan perasakan dengan garam atau serbuk perasa. Goreng sehingga bahan inti tadi agak kering (90% kering). Setelah itu tutup api dan sejukkan sebentar.

6. Bentangkan kulit popiah dan sendukkan sedikit bahan inti yang telah sejuk. Gulung mengikut saiz yang disukai. Buat sehingga habis semua.

7. Goreng sebentar popiah tadi sehingga berwarna kuning keemasan. Angkat dan wallah dah siap untuk dijamu kepada keluarga.


Popiah Goreng Berinti Burger Maggie 2 Puteri ni boleh dimakan begitu sahaja ataupun bersama apa-apa jenis sos yang kita suka. Kali ni saya dapat tulis sukatan sebab first time buat terus ambil sukatan jadi mudah le sikit. Kalau yang selalu-selalu tu memang payah sikit sebab tangan ni dah terbiasa tak dibendung dengan sukatan jadi selalu je kalau nak ambil sukatan bila buat harus tak tepat. Yang ni saya eksperiment jadi sebelum mula lagi saya dah budget sukatannya. Sib baik menjadi dan Mr Hb pun makan banyak heheheh.


Kalau nak buat kulitnya dari adunan lain pun ok tapi pagi ni udah lambat sikit siapnya jadi takat gulung cam bantal peluk pun ok tu. Mula le terbayang enaknya memeluk bantal hujung-hujung minggu nih heheh.


Kot sudi sila le cuba resepi baru saya ni yer ;D

Kalau nak buat balutan bentuk Samosa pun ok. Ikut creativiti yer :)


Selasa, 29 Januari 2013

Jemput-jemput Pisang / Cucur Kodok.. Ong kedek kedek hahahah


Semalam saya ada ceritakan yang hari Ahad tu hari saya ada buat reunion dengan sorang sahabat lama masa sekolah rendah dulu. Yup dengan Azian Omar. Dia salah sorang yang agak rapat dengan saya dulu kat Sekolah Kebangsaan Bukit Merah. Orangnya kecik je kalau nak banding dengan saya yang agak menggalah ni dulu. Dulu la.... Sekarang kembang semangkuk pulak dah tak menggalah dah hahahhah.


Rasanya dah 23 tahun tak jumpa. Lepas saya berpindah ke Sekolah Menengah Gunung Rapat lepas dapat tawaran terus lost contact. Sib baik ada Facebook dapat le jalin ukwah balik. Dulu kalau balik kampung pulak start memerap kat umah tu yang terlost contact tu.


Kalau tak schedule nak jumpa dengan sorang lagi sahabat lama, Cikgu Roziah Mat Sawai tapi tu le dia kena pergi kenduri le pulak. Nak jumpa hari lain pulak dia meeting. Tak pe la may be next time Insyaallah.


Tak sangka dalam lama tak bersua muka pun sekilas pandang dah boleh kenal. Hihhih rupanya tak le berubah sangat yer walau dah tetua bangka ni rupa kita. Tapi tak tahu le pulak kalau berjumpa balik masa umur 50an sebab masa tu kedut mau dah beribu kat muka ni hikhik... Bersembang dan bergossip sikit (sekit je tau sebab kami orang baik heheh) sambil maka-makan tak sedar dah lebih sejam lepak kat Tesco Taiping tu. Anak-anak post masuk tempat main tu yang lagi tak sedarkan diri tu. Sib baik Mr Hb memasing tak songgeh bawa diri masing-masing lega banyak le jugak hihihi.


Masa jumpa tu sempat le dia bagi hadiah untuk anak-anak dare saya dua orang tu botol air tupperware sorang satu. Isk apa lagi suka diarang bukan main. Afif dah bawa ke sekolah pun. Izaz pun mulanya moyok gak nak bawa tapi saya tak bagi. Tapi lepas pujuk lega le sikit hihihi. Pisang pun banyak gak le mak dia kirimkan untuk saya. Hihih agak-agak mak dia ingat tak lagi sejarah budak nakal yang kakinya sangkut pada paku masa mandi kat anak sungai belakang umah dia dulu. Teruk ooo kena. Nampak tulang betis ar. Tapi yang bestnya tak nangis pun. Rasa sakit pun idak. Sib leh kontrol macho bila tengok koyakan tu. First time le tengok isi dalaman kita yang ala-ala berbiji-biji (kan ke cantuman sel-sel). Tapi lepas Allahyarhamah nenek marah baru le meraung dan baru terasa sakit. Tapi tak per baru 9 tahun per... Takat meraung sikit apa nak malu cerita hahahahah. Kena le lebih 20 jahitan dah tidur kat spital 2-3 hari. Keluar spital terus pergi sekolah sambut hari kanak-kanak hahahah... Sakit pun sekolah tetap nak pergi. Agaknya tu yang Afif pun macam tu kot, turun saya hahahah. Perasan kan??? Tapi sampai sekarang walau dah lama berlalu, betis kaki kiri tu tak le sapa pun sentuh terasa ngilu lagi. Dengar kata mak dia yang ambil isi betis yang tertinggal kat paku tu. Buat apa tah le. Tanam ke apa lupa nak tanya. Kakak dia pulak dengar cita pengsan berkali-kali hihihi. Penangan budak nakal ni le tu hahahha.


Pisang memang favorite anak-anak so walaupun banyak dekat separuh gak ar diarang dah makan dalam masa 2 hari. Montel-montel pulak tu pisangnya. Memang asyik makan. Mr Hb pulak pantang nampak pisang yang montel terus minta dibuatkan Cucur Kodok/Jemput-jemput Pisang. Ambil le sikit sebab kang ambil banyak kang ada yang muncung sebab tak puas makan. Tapi tu le sikit pun jadinya banyak sebab montel-montel pisangnya. Tak sangka si kecil Izaz pun suka. Siap pesan buat lagi esok. Insyaallah.... Tapi camner juadah ni leh dapat nama Cucur Kodok yer. Jemput-jemput tu ok le sebab kita nak kena menjemput sikit-skit masuk dalam kuali. Tapi Cucur Kodok macam geli je tapi sedap rasanya hahahah.

Camner ek nak buat bulat yang cun macam ni????

Teringat dulu kalau buat jemput-jemput harus keras macam batu. Tapi lepas kejadian kat rumah mak sedara saya, Norfadzilah K.S Mohamed kat Ipoh nun Alhamdulillah lepas-lepas tu terus menjadi. Sempat le termalu kat diarang. Waktu keras dulu tak le dia ajar cam mana cara yang sebetulnya tapi saya yang nekad lepas kest tu nak kena practise buat. Sib baik sekali try je lepas tu dah menjadi. Rupanya bancuhan tu kena cairkan sikit. Jangan letak tepung banyak sangat. Sukatan air pun tak banyak mana sebab pisang yang dah dilenyek tu kan ker macam berair sikit. Tapi macam biasa le saya ni tak pandai menyukat. Kang kalau nak cuba kang harus tak jadi punya. Tapi sampai sekarang tangan ni masih tak pandai nak buat bagi cantik je bulatnya macam hasil tangan Allahyarhamah nenek. Keras sangat kot tu yang tak jadi-jadi.


Jemput-jemput pisang ni nak sedapnya garing kat belah luar tapi agak-agak berongga kat belah dalamnya. Yang tu memang sedap. Hidang pulak dengan kopi O kawww memang masyuk ar. Hitam lawan hitam heheheh.


JEMPUT-JEMPUT PISANG/CUCUR KODOK

By: Asamgaram2puteri

Bahan-bahan
  • Pisang - buang kulit dan lenyekkan
  • Sedikit air - agak-agak 1/3 dari sukatan pisang tu
  • Gula
  • Garam
  • Tepung gandun - lebih kurang 1/3 gak dari jumlah pisang lenyek tu
  • Tepung beras - agak-agak dalam 2 sudu besar le untuk banyak sukatan ni
  • Sesudu kecil soda bicarbonate
  • Minyak untuk menggoreng

Caranya
1. Masukkan air, garam dan gula dalam bekas yang berisi pisang lenyek tadi tu. Sebatikan.

2. Masukkan tepung dan kacau secara kaup balik sebab kang kalau terlebih kacau tepung jadi liat. Kalau nampak cair sangat boleh tambah tepung sikit lagi tapi kalau terpekat pulak boleh tambah sikit lagi airnya.

3. Goreng dalam minyak panas secara terendam atas api yang last pusing (kecik sikit). Jangan letakkan terlalu banyak yer. Bagi ruang sikit dalam kuali tu supaya naiknya bulat sikit. Bila nampak dah gelap dah boleh angkat dan tuang atas tisu dapur tu yer untuk toskan minyaknya yang banyak tu.


Saya sekeluarga suka Jemput-jemput yang banyak rasa pisangnya dan tak gebu macam Apam Pisang. Jadi yang saya kongsi ni memang rasa pior le pisangnya. Bila koyak nampak je rongga-rongga yang cun melecun tu hihih. Penggunaan campuran tepung beras dengan tepung gandum tu pulak sebab kalau guna tepung gandum je akan jadi lembik sikit kulit luarnya kalau sejuk tapi dengan percampuran tepung beras ianya kekal bulat sikit tak benyek dah nanti. Kalau pandai bagi bulat cam bola tu lagiiii cantik. Saya masih kena belajar babtu. Isi dalamnya pulak rasa cam lembut sangat best ar... Ala-ala cair dimulut gitew hahahha. Nak tahu tengok gambar sahabat ni lebih kurang camni le rupa ebntuknya ;) Try le yer kalau ada pisang kat umah tu....


Sabtu, 15 Disember 2012

Crepe yang Famous... Selain Durian Crepe


Hari ni nak sambung entri yang pasal Durian Crepe yang saya kirim dulu. Tu hari saya kongsi resepinya kat sini. Memang enak dan tak rugi buat. Isk kalau tak hingat pada badan yang semakin montel ni harus akan ada stoknya kat rumah ni. Tambah pulak bila lebihan fresh cream berlambak lagi kat dalam frezer tu. Rasanya satu kotak tu boleh buat 12 kali adunan crepe la. Kot berniaga memang tak rugi. Mudah dan untung hihihi. Tu le pasal ramai yang berniaga kot....


Saya tak sempat dah nak buat berniaga kecil-kecilan dah. Nak tumpu penuh pada perniagaan produk 2 Puteri  ni. Dulu rajin gak buat cabang biz 2 Puteri Home Made Bakeries tapi dek kerana kebizian yang amat terpaksa ketepikan seketika. Harap-harap lepas ni dapat le buat balik. Syok oo kalau ada tempahan. Rasa macam best sangat. Tapi bila dah stop ni pun kadang kala ada yang call tanya rasa sian pulak. Yer la terpaksa hampakan hajat orang kan. Orang call tanda dah suka kat apa yang kita buat. Tapi kita pulak dah tak der kakitangan memang kena lupakan le sekejap. Ehhh kakitangan tu ada dikkk tapi staf you. Ai tak mampu nak bagi gaji orang lagi dalam arena bakery nih.


Ok la... Back tu our main subject. Kat sini sebenarnya saya nak sambung pasal filling-filling lain yang boleh kita gantikan cik durian tu. So kalau tak musim boleh le kita teruskan mengcrepe ni. Hahah kalau musim pun dok makan Durian Crepe je tak ke muak jadinya hahah. Sesekali nak gak le buat lain-lain perisa yer tak.


Resepinya saya sambung dari perkongsian sis Siti Hafizah. Kan saya dah kata sis sorang ni tak kedekut ilmu. So boleh le kita pelbagaikan hasilan Crepe kita kan. Tq sesangat kat dia yang sudi berkongsi pada kita resepi ni...



Strawberry and Custard Cream Crepe

By: Siti Hafizah
Gambar: Cendanakasih

Bahan-bahan
  • Fresh Strawberry - cincang
  • Icing sugar -  tabur kat strawberry tu
  • 50g instant Custard Powder
  • 100ml fresh milk - yang sejuk dari peti ais yer

Caranya
1. Combine custard powder dengan fresh milk dan gaul sebati.

2. Masukkan fresh strawberry yang dicincang tadi. Gaul lagi. Kalau pekat sangat boleh campur sedikit fesh milk lagi.

** Kalau tak nak guna Cream Custard pun tak per. Just slice-slicekan je buah Strawberrynya



Sweet Corn Custard Cream Crepe

By: Siti Hafizah
Gambar: dewattiesdelight

Bahan-bahan
  • Sweet corn - yang kat dalam tin tu. Cincang dulu tau
  • 50g instant Custard Powder
  • 100ml fresh milk - yang sejuk dari peti ais yer

Caranya
1. Combine custard powder dengan fresh milk dan gaul sebati.

2. Masukkan sweet corn yang dicincang tadi. Gaul lagi. Kalau pekat sangat boleh campur sedikit air dari tin jagung manis tu.



Selain tu boleh gak try buat macam ni untuk Filling Custardnya yang saya ambil kat laman sahabat blogger, Wattie tu.


FILLING CUSTARD for crepe

By: dewattiesdelight
Gambar: Sabngomel

Bahan-bahan
  • 200 gm susu segar 
  • 2 kuning telur 
  • 30 gm gula halus 
** Kacau atas double boiler hingga pekat.
  • 250 gm whipping non dairy ~ putar kental
Caranya
1. Satukan kedua dua bahan kaedah kaup balik
2. Jadikan inti dalam kulit crepe yang dibuat tadi.
** Inti tu boleh juga digantikan dengan mangga, jagung krim dalam tin atau lain-lain buah segar atau inti filling



Dah siap melipat macam buat Durian Crepe tu simpan dulu dalam peti sejuk beberapa jam. Sedappp. Cubalah :)


Sabtu, 8 Disember 2012

Durian Crepe... Durian Crepe... Kalau nak sini ada


Alhamdulillah....!!!! Akhirnya hasrat nak makan Durian Crepe yang fofular sesangat kat sana sini akhirnya jadi kenyataan. Buat sendiri youuuu. Lagi le bangga teman hahahahha (gelak super exsen jangan jeles). Super excited nak cerita tak sempat nak rasa lagi dah sibuk saya update enteri pasal cik Durian Crepe yang femes nih. So jangan tanya lagi yer hahaha. Nanti lepas rasa saya cerita kat bawah sedap ke tidak...


Resepi nak buat cik Durian Crepe ada dua tiga versi macam yang saya ceritakan dulu. Tapi yang saya buat hari ni adalah hasil perkongsian sis Siti Hafizah, sahabat yang terkenal dengan suka berkongsi resepinya yang confirm menjadi. Moga Allah balas jasanya dengan kebaikan untuk dia sekeluarga... Aaamiin.


Bukan nak bodek yer. Ampunnn mak bukan orang yang macam tu. Saya ni jenis yang appreciate kalau orang buat baik. So kalau benar ada kebaikan tak salah kan saya nak berterima kasih.


Lagi pun teringat dulu baca yang cik Durian Crepe punya pasal siap ada yang tersinggung minggung. Tak  best ar kalau macam tu. Tapi tu le saya tak salahkan mana-mana pihak. Semua orang ada hak kan. Terpulang. Kalau ada yang sudi berkongsi Alhamdulillah sangat-sangat tapi kalau tak, tak per la. Mungkin bukan rezeki kita ndak belajar dengan orang itu atau rezeki kita Allah buat bukan melalui orang berkenaan. So releks ar. Kot ada rezeki Insyaallah lambat laun dapat kita merasanya. Tak gitu???/


Macam saya sekarang lah... 2 kali beli salah bahan akhirnya hari ni berjaya gak nak jamahnya cik Durian Crepe buatan sendiri ni. Alhamdulillah sekian kali berusaha Allah bagi gak rezeki untuk saya cuba merasa si femes of the year nih. Berkat sabar dan berusaha. Bila dah tanam niat, Insyaallah akan beroleh juga cepat atau lambat saja. Tapi janji kena usaha lah. Kot tak mimpi je la hahah.


Memula tu saya pastikan dulu resepinya. Tu yang lepas pilih-pilih saya ambil resepi sis Siti Hafizah tu. Mudah sikit sebab bahan tepung confirm ada kat dapur. Pastu belajar how to handle si Fresh Cream. Yang ni saya belajar kat laman sis Zack. Baca sambil tulis. Takut lupa hahahha. Saya ni mana le biasa berkawan dengan cik Fresh Cream so memang kena kenal hati budi dia dulu sebelum nak berkawan. Kang kalau tersalah dia kecik hati, saya yang naya hihihi. Sis Zack pulak siap tunjuk video cecara nak handle Cik Fresh Cream ni. Memang berguna sesangat. Syukur Alhamdulillah.... Tq dear moga Allah bless you too.


Bila ada kesempatan saya siapkan dulu si Fresh Creamnya. Maksud saya bila berkesempatan lalu depan kedai bakeri kat Taiping tu minta le Mr Hb singgah jab. Pergi beli. Kalau tak memang susah nak pujuk dia untuk sesaja pergi. Tambah-tambah takat satu barang. Nak pergi kedai bakeri pun dah susah sebab dek kebizian sekarang saya dah store semua alatan membaking. Dah beli simpan dulu dalah frezer. Tunggu sampai ada durian pulak. Kalau nak beli terus tak tahu bila saya ada time nak masak. Takut rosak pulak.  Lupa pulak nak cita saya guna jenama Vivo Topping Ace walaupun ramai yang saran guna Gold Label sebab sedap lagi katanya. Untuk orang baru yang jarang guna macam saya ni takat yang murah udah le. Kang membazir pulak walau bezanya cuma 2-3 ringgit je.


Alhamdulillah kebetulan semalam mak bagi durian sebiji. Hasil pokok Pak Cik Ali adik mak yang tinggal berjiran dengan diarang. Dan kebetulan pulak kitarang tak der aktiviti kat luar hari ni kecuali Mr Hb yang nak kena masak Cili Boh. So sementara Mr Hb tak der molek sangat saya mencubanya. Kalau ada Mr Hb malu sikit nak cuba apa-apa takut tak menjadi hihihi. Tu sebab saya tak jamah lagi. Nak tunggu Mr Hb balik dari kilang.


Jom kita tengok resepinya kayyyy...


DURIAN CREPE

By: Siti Hafizah, Sahabat Facebook
Gambar: Facebook.com

Bahan Crepe
  • 50g tepung gandum/tepung kek - saya guna tepung gandum je
  • 1 sudu besar tepung ubi
  • 1 biji telur - kacau sedikit
  • 2 sudu besar gula castor
  • 3 sudu teh butter - cairkan
  • 160ml air/fresh milk - saya guna fresh milk
  • 40ml susu cair
  • 1 sudu teh essence vanilla
  • Pewarna - saya guna pink, hijau dan coklat

Cara buat adunan Crepe
1. Semua tepung diayak. Campur dengan gula.


2. Susu cair dicampur dengan fresh milk dan tuang dalam campuran tepung tadi. Sebatikan dengan whisker.


3. Masukkan telur yang dikacau sebentar tadi. Kacau bagi sebati.

4. Tuang sedikit vanilla essence dan yang terakhir butter cair. Kacau hingga sebati. Kena laju le sikit.

5. Tapis dan bahagikan kepada beberapa bahagian yang kita nak. Warnakan. Saranan saya cukup le 3 kaler. Jangan lebih sebab adunan tu tak le banyak sangat. Kemudian simpan dalam peti sejuk semalaman atau paling kurang pun 2-3 jam.



Cara masak Crepe
1. Panaskan fry pan atas api kecik, tuangkan sedikit minyak dan ratakan. Minyak ni sekali je guna yang next adunan tak payah dah.

2. Tuang sesenduk kecik adunan, ratakan bagi bentuk bulat. Pastikan jangan terlalu nipis atau terlalu tebal.

3. Biar masak seketika terus angkat. Permukaan atas nampak berkilat cantik. Tak payah alih dah tau.


Bahan Inti
  • 150ml non diary fresh cream
  • Isi durian
Caranya
1. Pukul fresh cream laju hingga kental.


Cara nak bungkus Durian Crepe
1. Crepe diletakkan permukaan yang kasar yag kena api dibelah atas menghadap kita. Bahagian yang cantik berkilat tadi sebelah bawah kena pinggan yer.
2. Sudukan sedikit fresh cream yang kental tu. Agak-agak le yer. Letak kat middle.
3. Sudukan pula isi durian. Letakkan kat atas fresh cream.
4. Kalau suka sudukan sikit lagi fresh cream kat atas durian kot tak tak payah pun tak per.
5. Lipat ke dalam crepe tadi. Bagi bertemu semuanya membalut inti tadi.
6. Letakkan atas cawan kertas dan buat sampai habis.
7. Simpan beberapa jam dalam chiller terlebih dahulu sebelum makan. Makan sejuk-sejuk sedap...


Itu resepinya. Tapi saya mula-mula sediakan bahan Crepenya dulu. Lepas simpan dalam chiller agak-agak dalam 1 1/2 jam saya siapkan dulu adunan fresh cream. Memang kencang jantung nak handle fresh cream sebab tak biasa tapi dek kerana teringin sangat saya beranikan diri hihi. Sebelum saya pukul fresh cream, segala tool seperti pemukul telur dan periuk saya simpan dulu dalam chiller. Kata sis Zack, tool sejuk akan bantu cepatkan kerja nak pukul fresh cream tu. Memang betul pun.

Sebelum bukak kotak fresh cream tu goncang dulu. Pas bukak terus pukul. Kalau ada mesin mixer oklah tapi saya tak der so dengan kederat tangan yang tak berapa nak kuat ni saya putar satu hala sampai kembang. Risau gak tapi setelah beberapa ketika nampak adunan dah nak pekat. Lega sikit. Lengoh le jugak tangan ni. Siap tukar kiri kanan beberapa kali hahah. Nak buat camner akak tak mampu dikkk hihihi. Lak tu masa tengah berhempas pulas pukul fresh cream tu anak pulak nak tambah nasi kena le stop jab sendukkan untuk dia. Amboiii mentang-metang hari ni ibu masak sardin. Laju je sendukkan nasi hahahha. Takut kang rosak lak fresh cream ibu hahah. Sib baik ok. Satu nak pesan, nak guna fresh cream untuk Durian Crepe ni tak banyak. Sukatan 150ml tu boleh dapat 2 kali adunan crepe. Berganda. Bakinya kena simpan terus dalam frezer balik le kay. Aduhai... Saya ni agak-agak berapa lama le dia nak bermastautin kat frezer tu. Nak masak guna fresh cream tu bukan rajin. Nak mengcrepe selalu... Mau tombam lagi teman.


Lepas siap fresh cream tu dipukul hingga menggebu saya simpan dalam chiller sebentar sebab nak masak adunan crepe pulak. Tapi nak masak crepe cepat je sebab nipis. Tapi saya dapat dalam 10 keping je. Besar kecik saiznya hahahah sebab first time mengcrepe ni. Mula tu try pusing-pusing pan tapi jadi tak cantik so kali kedua saya ratakan dengan bontot senduk hihihi. Boooleh la sendiri nak makan. Tapi next time kalau nak buat atau kalau korang nak try buat besar sikit senang nak bungkus nanti. Kalau kecik comel payah. Nak pulak kalau kita ni suka inti banyak. Memang comot le jawabnya hahaha.


Lepas siap mengcrepe baru saya sediakan isi durian. Yang ni saya buat last sebab kang kalau tak jadi sediakan fresh cream dan crepe tak le rugi durian tu hahahha. Terukkan saya tapi mak baru nak belajar tu yang selagi tak berjaya tak berani tu hahah. Dah siap semua terus bungkus satu-satu sampai siap. Lepas tu baru simpan dalam chiller. Rasa saya lah, sebaiknya buat 2 adunan crepe untuk satu adunan fresh cream ataupun separuhkan fresh cream yang nak dipukul sebab yang saya buat ni ada berbaki.


Sib baik le sis Ana Suzana sudi tunjuk langkah-langkah nak balut crepe nih


Sebenarnya Crepe ni leh gak digukan dengan lelain inti tapi tapi saya tak buat lagi. Try yang ni dulu. Inti yang digunakan antaranya Cream Custard yang digu kan dengan starwberry, sweet corn dan lelain. Insyaallah next entri saya kongsikan resepinya kay.


Ha.. Sekarang saya tengah jamah Durian Crepe ni. Saya makan yang saiz kecik kaler Ijo. Sebelah tangan taip ni. Mematuk le jadinya hahhaha.... Emmmm sedap. Tak manis sangat. Rasa berkrim dan ada durian. Sedap dan tak paling penting selamat dari kena kutuk hahahha. Lega...Lega... Patut le glamer kau Cik Durian Crepe ;p Habis le diet cek...


Berpppp... Alamak bau durian aaa. Sowi hahahahha. Simpan dalam frezer satu nak try kalau keras lak hiihi.


Good news.... Mr Hb suka!!!! I likeeeee ;)

Khamis, 15 November 2012

Kuih Bakar Sagu Biji


Salam Tahun Baru semua (tahun Hijrah yer hihih). Cuti-cuti nih apa lagi memerojek kat dapur le dari pagi sampai petang. Dari breakfast Lempeng Kelapa dengan Durian. Lunch Ikan Goreng Salut Sambal 2 Puteri cicah Sambal Kicap BerSos Char Kueyteow 2 Puteri dengan Terung Bersambal 2 Puteri. Memang ler banyak kerjanya. Petang lak tunaikan Mr Hb punya request Bubur Kacang Berdurian. Sambil tu dah alang-alang ada Biji Sagu untuk buat Bubur Kacang tu, saya ambil kesempatan le untuk buat Kuih Bakar Sagu Biji. Resepi-resepi yang lain tu Insyaallah nanti saya kongsikan kay...


Ha... Kuih Bakar Sagu Biji.... Resepi best ni adalah perkongsian sahabat di My Resepi, Kak Fida. Memang best resepi ni sebab saya dah buat beberapa kali.


Orang baru di arena ni macam saya memang terharu ler sesangat bila berjaya but kuih bakar yang best ni. Resepi yang Kak Fida kongsikan ni memang menjadi dan sedapppp. Sebelum ni beli jer kat kedai kalau teringin nak makan kuih bakar. Tapi selalunya kalau kat kedai tu jenis biasa jer... Kuih bakar pandan atau kuih bakar lemak jer. Tapi yang ni lain dan best.... Kuih Bakar Sagu Biji.


Sejak kenal resepi nih baru le saya tahu sagu biji ni boleh dibuat kuih bakar hehehhe. Kalau tidak idak ler teman tahu yong....


Teringat masa kecik dulu tengok nenek buat kuih bakar sure guna api atas bawah. Guna dapur kayu. Atas loyang tu dilapiknya tin pastu letak dengan bara api dari sabut dan kayu. Lepas siap saya yang tak sabar nak makan sebab keraknya rangup sangat. Best betul makan panas-panas. Sekarang orang dah tak buat macam tu. Guna oven jer. Jadi orang baru macam saya dapat ler jugak belajar buat sebab dah mudah. Janji resepinya tepat macam resepi ni. Memang confirm menjadi beb...


KUIH BAKAR SAGU BIJI

By: Kak Fida, My Resepi
Hasil: 1 loyang 8"-9"


Bahan-bahan
  • 300g sagu biji
  • 200g mentega/margerin
  • 170g gula pasir/gula merah - saya guna gula pasir. Hasilnya warna kekuningan cantik
  • 3 biji telur
  • 150g tepung gandum - campur bersama
  • 1 sudu kecil baking powder - campur bersama
  • 1 susu kecil esen vanilla
  • 1/2 sudu kecil garam

Caranya

1. Rendam sagu biji dalam air penas mendidih selama 30 minit. Tapiskan. Rendam sebentar dalam air dingin selama 5 minit. Tapis.

2. Mentega, gula dan telur dikacau rata. Masukkan garam dan essen vanilla. Kacau lagi.

3. Masukkan campuran tepung dan baking powder tadi dan kacau lagi hingga sebati.

4. Masukkan pula sagu biji dan kacau sebati.

5. Tuang dalam acuan yang disapu mentega. Bakar selama 45 minit hingga 1 jam pada suhu 160C menggunakan api bawah. Lepas tu tambah 5-10 minit tapi tukar api atas sahaja untuk hasilkan kerak dibahagian atas kuih bakar tadi.


Dah siap. Mudah jer kan. Sedap tau hasilnya. Cubalah :)


Rabu, 10 Oktober 2012

Lempeng Kelapa / Tempek kata orang Utara


Lempeng kelapa satu hidangan separa berat memang sesuai sesangat untuk breakfast. Kan per kandungan kelapa parut kat dalam adunan tu buatkan kalorinya tinggi sikit. Tapi nak masak tak perlu minyak banyak kalau guna kuali biasa. Kalau guna pan yang tak lekat tu lagi baik. Memang akan bebas minyak le jawabnya.


Biasanya lempeng ni orang makan bercicahkan kari ker apa. Kat rumah ni kalau ada leftover kari Insyaallah kalau tak dibuat Roti Jala, lempeng nih ler yang akan menyusul. Sedap. Tapi kadangkala kalau dah tak der idea nak masak menu apa pepagi pun ini juga yang terhasil. Sebabnya mudah sangat-sangat. Tapi kalau masa tu cicahnya gula merah je la heheh. Tapi jangan silap, sedap gak tau. Nak-nak pulak sekarang sibuk sikit sebab kena gandakan pengeluaran produk Sos Char Kueyteow 2 Puteri dengan Cili Boh Asli 2 Puteri untuk pasaran Tesco lagi le resepi simple ni yang dipilih. Lagi pun makan sikit rasa kenyang tu lama. Dapat le lewatkan makan tengah hari.


Bahan-bahannya pun mudah je jadi memang ini le penyelamat saya dikala otak hilang idea. Tapi yang pastinya kelapa parut kena ada le dalam simpanan sebab kan dah namanya lempeng kelapa hikhik... Kang kalau letak yang lain namanya dah tak lempeng kelapa tapi lempeng lelain la. So kalau agak-agak kabur kala nak masak tapi stok kelapa parut ada dalam peti sejuk... Ha... Cuba le resepi mudah ni.


Mana le saya tak kata mudah, masa mula-mula buat lempeng kelapa ni asalnya macam saya cakap tadi le kala tak der idea nak masak breakfast, tapi stok kelapa parutnya ada. Jadi tangan terus capai tepung, garam, kelapa parut dan air. Campur-campur terus masak. Bila dah makan baru jelas heheh ni le lempeng kelapa yang macam biasa nenek buat. Mudah rupanya. Gitu le ceritanya. Tapi macam biasa la yer... Resepi terus dari saya memang kerapnya tak der sukatan tau sebab main agak je. Sorry le ye kalau terasa sulit sikit nak try. Sebabnya memang saya ni jenis main taruk je. Kalau yang ada sukatan kalau tak saya agak-agak ikut pengalaman adalah yang saya dapat dari rakan-rakan tapi dah dicuba.


LEMPENG KELAPA / TEMPEK

By: Asamgaram2puteri

Bahan-bahan
  • Kelapa parut
  • Tepung gandum
  • Garam
  • Air

Caranya
1. Campurkan semua bahan dan sebatikan. Agak-agak lah yer sebab bancuhan ni pekat jadi air tu sikit je. Agak-agak boleh sebatikan dan le. Biasanya saya masukkan lebih kelapa berbanding tepung, baru best.

Agak-agak macam ni pun ok tapi biasanya saya buat agak pekat sedikit lagi. Gambar ni ihsan sweetyatt

2. Panaskan pan atas api sederhana kecil. Kalau pan tak lekat leh le tak guna minyak tapi kalau guna pan/kuali biasa sapu sikit minyak. Tuang agak-agak 2 sudu makan adunan dan ratakan bagi bulat nipis sikit.


3. Alih-alihkan bagi masak ke warna perang keemasan. Jab je dah siap.

Ni tak masak lagi... Perlu diterbalikkan lagi nih :) Bagi dia jadi keperangan kay

Macam saya cakap tadi, lempeng nih leh makan dengan apa-apa sos kecuali sos cili dan sos tomato ahak*. Jangan mare hehe. Cicah je kari ke, sambal tumis ke, kuah sardin ke apa. Semua masuk tapi jangan lak kuah manis. Cuba lah :)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...