Dewan Parlimen dah bubar. Senarai calon dah masing-masing mula keluarkan untuk perhatian umum. Ada yang dah kita tahu confirm, ada yang masih ura-ura dan ada yang belum jelas siapa. Sebagai rakyat biasa just wait and see sambil berdoa agar yang tercalon kat kawasan kita tu adalah orang-orang yang benar-benar ikhlas bekerja untuk memajukan 'kawasannya'.
Amboiiii ada hati nak campur urusan politik pulak ker saya ni hahahah. Lawak-lawak...
Sebenarnya saya ni lebih kepada pemerhati dan pemikir (chewahhhh cam betul je bagi pangkat kat diri sendiri, layak ke hehe). Memerhati sikap dan perbuatan yang para calon dan yang pegang (pemenang le tu) 'kawasan' memasing. Tapi tak jauh le memerhati. Takat kawasan sendiri je hihi. Memikir adakah apa yang dilakukan seperti yang dikatakan. Dan memikir adakah 'kawasan' maju dibawah pentadbiran si terpilih.
Saya ni maleh ar nak cita pro mana-mana pihak. Lagi baik cita saya pro Produk 2 Puteri heheh. Lagi berbaloi untuk masa depan. Saya pun bukan ambik pot sangat sebenarnya bab-bab ni. Cuma yang penting bagi saya adalah kawasan/negara maju (kalau tak besar pun nampak perubahannya), saya leh cari makan dengan mudah dan anak-anak akan hidup dengan harmoni tanpa ada masalah. Dapat belajar dan teruskan hidup dengan sebaik mungkin. Itu je yang cukup penting pada saya. Tapi sebagai 'pemerhati dan pemikir' bila dah ada anak dan tanggungjawab ni terasa pulak nak bersuara walaupun saya sedar suara saya ni kecik le sesangat. Tak der sapa le yang nak dengar sangat heheh. Sebenarnya yang saya nak sentuh sangat adalah pasal keikhlasan semua yang bertanding untuk benar-benar jalankan tanggungjawab memasing untuk warga daerah atau kawasan memasing yang telah memenangkan calon-calon berkenaan. Macam le saya tahu hati budi orang kan. Memandai je nak bercakap.
Saya amat berharap agar calon-calon yang dinamakan untuk bertanding tak kira kat mana tolong le jalankan amanah 'kami' (ramai ni... Penduduk semua tau) ni sebaik mungkin. Tak kisah le bawah BN ke, Pas ke, PKR ke atau apa sekalipun yang penting nawaitunya untuk bangunkan kawasan masing-masing. Jangan le takat bagi manifesto je kat 'kami' ni tapi bila dah selesai mengundi 'hilang terus' dari kawasan yang dimenangi. Kami ni pilih 'anda' sebagai wakil kami supaya apa yang kami hasratkan terutama untuk miliki kawasan yang 'membangun' akan terlaksana. Kami tak minta bangunan tinggi yang puluhan juta. Kami tak minta sesuatu yang tak setara. Cuma apa yang kami hasratkan agar sesuatu yang simple tapi dapat dinikmati oleh semua. Bukan susah pun...
Takat pasangkan lampu jalan menerangi jalan raya tuju ke kampung kami, baiki jalan yang rosak dan indahkan kawasan dengan lanskap yang cantik terutama kat Tasik Bukit Merah tu pun ok. Kalau boleh bina le kawasan reakreasi yang lengkap dengan tandas, tempat permainan dan sebagainya supaya penduduk tempatan atau pengunjung luar boleh nikmatinya bersama. Nikmat Allah dah beri cuma perlu kerja sikit je lagi. Syukur kat kawasan saya ada Perpustakaan Awam, ada Pusat Komputer, ada Pusat CTC untuk kaum ibu tambah ilmu dan lelain. Apa yang betul dan dah terbina, kami ucapkan ribuan terima kasih. Cuma kami minta sedikit lagi ruang untuk cantikkan kawasan kami supaya tak malu dipandang orang-orang luar. Di daerah/kawasan lain pun mungkin ada keperluan masing-masing. Kami amat berharap lepas je menang, tolong adakan perbincangan dengan masyarakat setempat supaya jelas apa yang diperlukan oleh penduduk untuk pembangunan kawasan masing-masing. Jangan cuma berbincang antara kalangan sahaja kerana kadang-kadang apa yang perlu tidak berapa jelas. Kadang-kadang terlupa kerana asyik. Apa yang saya cakap ni pun mungkin ada yang tertinggal. Setiap orang ada harapan dan keperluan masing-masing cuma sebolehnya keperluan untuk masayarakat setempat tolonglah diutamakan.
Syukur kerajaan sediakan hari bertemu pelanggan. Kami rakyat tempatan amat mengalu-ngalukan tindakan kerajaan ini. Lorong yang diberikan ini kami cuba manafaatkan untuk mengutarakan permasalahan kami agar keperluan kami dapat dibantu serba sedikit. Permasalahan kami dapat ditolong apa yang mampu. Namun, apa yang kami harapkan agar ianya tepat seperti yang dijadualkan. Andai tidak mampu mengadakan pertemuan setiap minggu, jadualkan setiap dua minggu atau sebulan sekali asalkan ianya telus terlaksana. Ini, kadang kala berjam-jam penduduk tempatan menanti untuk bertemu dengan wakil rakyat mereka namun akhirnya masing-masing pulang hampa kerana pertemuan itu dibatalkan atas masalah-masalah yang dikatakan tidak dapat diatasi. Kalau sesekali mungkin boleh difahami, namun jika setiap minggu bagaimana?
Terima kasih atas pemberian BRIM dan pelbagai lagi inisiatif yang pihak kerajaan berikan untuk membantu kami dalam menjalani kehidupan seharian. Sekurang-kurangnya beban kami terasa berkurangan walau sekejap cuma. Terima kasih juga atas kemajuan yang dikecapi.
Namun sebagai wakil pilihan kami, kami harapkan bukan sahaja yang datang terus dari Kerajaan Pusat. Kami turut harapkan wakil pilihan kami dapat menghubungkan permasalahan penduduk setempat dengan Kerajaan Negeri dan Pusat agar ianya selaras dan dapat dipernuhi keperluan yang sewajarnya. Sesekali tunjukkan muka bersama khalayak supaya kami kenal dan terasa gembira wakil pilihan kami sanggup bersama kami dalam susah dan senang. Sanggup menjalankan aktiviti bersama. Mungkin banyak penganjuran program dijalankan seperti Pertandingan Futsal dan sebagainya akan tetapi apa yang lebih mendekatkan wakil pilihan kami dengan kami, masyarakat tempatan adalah majlis yang bertaraf rakyat seperti hari sukaneka kawasan atau paling mudah pun majlis-majlis kenduri.
Tahniah buat calon-calon yang terpilih. Tahniah buat wakil yang menang kerana yang menang itulah yang dipercayai sanggup menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas untuk kawasan masing-masing. Tolong jadi nadi kami yang menggerakkan kawasan penempatan kami menjadi semakin baik, tolong jadi mata yang melihat kekurangan kami yang ada dan tolong jadi mulut kami untuk menyampaikan hasrat kepada pihak yang berwajib agar setiap permasalahan dan harapan kami menjadi nyata. Terima kasih atas kesudian untuk mewakili kami penduduk marhein di tanah air tercinta.
Buat pemengang kerusi Parlimen, buat pemegang tampuk kerajaan, buat pemengang Jabatan-jabatan atau agensi-agensi kerajaan... Kami harapkan datuk-datuk dan YB-YB semua dapat memberikan yang terbaik pada kami rakyat Malaysia. Buat satu garis panduan yang jelas yang meliputi semua lapisan masyarakat. Pandu jabatan atau agensi masing-masing ke arah kerja yang lebih bersih, cekap dan paling penting amanah supaya tanggungjawab yang dijalankan adalah lebih ikhlas dan terbaik.
Saya tertarikh dengan lafaz sumpah yang dilakukan oleh jentera BN Kelantan dalam berusaha untuk mendapatkan kemenangan dalam pilihanraya kali ini. Lafaz yang buatkan kita sebagai rakyat lebih yakin akan ketelusan masing-masing untuk berjaya. Adalah menjadi impian saya agar lafaz ini diucap oleh semua wakil-wakil rakyat yang bertanding untuk lebih bekerja untuk pembangunan kawasan masing-masing. Juga menjadi impian saya supaya semua kakitangan kerajaan untuk turut sama melafazkan sumpah ini agar masing-masing lebih jujur dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing. Mungkin ada yang marah membaca apa yang saya coretkan berkenaan ini. Namun, jika benar-benar kita hasratkan Malaysia menjadi satu negara yang hebat tak salah kalau kita lafazkannya.
Tahniah sekali lagi pada calon yang terpilih. Tahniah terlebih dahulu buat wakil rakyat yang menang. Kami doakan datuk-datuk dan YB-YB memberikan yang terbaik untuk Kejayaan Malaysia!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan