Kuliah Madinah: Rahsia Kejayaan Abdur Rahman Auf
oleh Mohd Fadli Yusof pada pada 21hb Jun 2011 pukul 9.44 pagi
Selama ini rata-rata kita tahu Abdur Rahman bin Auf berjaya membuatkan monopoli Yahudi di Madinah gulung tikar. Tentulah ada sesuatu mekanisma berkesan yang dilaksanakan oleh Abdur Rahman bin Auf.
Berikut adalah perkara yang berkaitan dengan kejayaan Abdur Rahman bin Auf.
Pertama: Taqwa
Taqwa sebenarnya diperlukan dalam apa keadaan sekalipun sama ada ketika gawat atau ketika tenang. Kerana taqwa sebagai penjamin atau penentu kepada kesejahteraan hidup.
Dalam keadaan kesulitan, taqwa menjadi modal utama sebagai sebab bagi Allah SWT memudahkan laluan jalan keluar. Orang bertaqwa sentiasa mendapat pertolongan Allah SWT, terlepas dari kesulitan, orang bertaqwa, Allah SWT bantu pula dengan mempermudahkan jalan kejayaan.
Selain Rasulullah ﷺ dan para sahabat yang lain Abdur Rahman bin Auf itu sendiri tergolong di kalangan orang bertaqwa. Ertinya pengendalian ekonomi dalam keadaan penuh berkat, usahanya dipermudahkan oleh Allah SWT.
Kedua: Perpaduan (patriotik)
Umat Islam yang pada waktu itu masih minoriti. Abdur Rahman bin Auf masih belum hilang penat lelah berhijrah, ketika beliau memulakan pembukaan pasar Ansar. Semangat patriotik mereka sangat mendalam demi kepentingan survival umat Islam.
Patriotik kita mengikut keadaan, sebab itu kita gagal, ketika mewah semua orang suka pakai barang import, ketika gawat baru hendak beralih kepada buatan tempatan. Ketika mewah tiada siapa yang bercakap mengenai patriotisme.
Mereka tidak mahu wang mereka keluar dari peredaran dari kalangan umat Islam. Lebih-lebih lagi mereka takut keuntungan yang diperolehi oleh Yahudi bakal digunakan untuk membeli pedang atau alat senjata. Dan pedang itu kembali digunakan untuk memerangi mereka.
Ketiga: Pemurah
Selain di kalangan kaya dan berkemampuan, Abdur Rahman bin Auf sendiri sangat pemurah. Lebihan dari modal pusingan serta keuntungan yang diperolehi, diagihkan sebagai derma terutama kepada fakir miskin. Melalui cara itu kuasa beli umat Islam tidak merosot.
Tentulah tidak munasabah wang dari Abdur Rahman bin Auf dibelanjakan kepada Yahudi. Selama ini orang miskin terpaksa berhutang dengan peniaga Yahudi. Dengan kemurahan dan sifat dermawan Abdur Rahman bin Auf itu, masyarakat Islam tidak lagi berhutang dan terlibat riba' dari Yahudi. Mereka memiliki wang dari Abdur Rahman bin Auf sendiri dan wang itu juga kembali ke tangan beliau melalui pembelian tunai dari masyarakat.
Manakala Abdur Rahman bin Auf yang punya kemampuan modal, membeli langsung dari Yahudi. Pada peringkat itu pihak Yahudi gembira kerana memperolehi keuntungan segera. Tetapi di sudut yang lain itu satu kemenangan bagi Abdur Rahman bin Auf kerana membebaskan cengkaman Yahudi terhadap masyarakat Islam melalui hutang.
Perniagaan pasar Ansar terus hidup dan berkembang. Manakala perniagaan golongan Yahudi semakin kehilangan pelanggan. Dalam waktu yang sama Abdur Rahman bin Auf melengkapkan keperluan umat Islam dari semasa ke semasa.
Keempat: Sistem Mudharabah
Sebenarnya ketika itu belum lagi wujud sebarang nama kepada sistem yang berlaku. Menurut sejarah Abdur Rahman bin Auf mengeluarkan modal untuk beberapa orang (ada yang mencatatkan sepuluh orang yang pertama). Sepuluh orang ini membuat perniagaan yang di penghujung hari tersebut juga Abdur Rahman bin Auf mengutip keuntungannya. Maksudnya keuntungan dikutip tiap-tiap hari tanpa menganggu modal asas.
Sebahagian keuntungan dikembalikan kepada setiap peniaga. Keuntungan yang dikumpul oleh Abdur Rahman bin Auf digunakan untuk tiga agihan iaitu:
a. Sedekah
b. Modal kepada peniaga baru (modal tidak dikira hutang yang peniaga tidak perlu membayar balik. Abdur Rahman bin Auf sebagai pemodal, peniaga sebagai pengusaha. Keuntungan diperolehi bersama).
c. Beliau membuat pembelian terus dari pasar Yahudi (import).
Kedapatan juga ahli sejarah mengatakan bahawa Abdur Rahman bin Auf mengawal harga. Sehingga adakalanya di saat terdesak atau musim meleset terus diturunkan harga atau sampai ke peringkat mengisytiharkan wakaf kepada baitulmal.
Kita kini, di saat kegawatan, rakyat semakin dicengkam dengan kenaikan harga barang.
Kelima: Pecah monopoli
Sekali lagi disebut di sini bahawa ketika itu tidak wujud istilah "pecah monopoli". Namun apa yang berlaku ialah tiada orang yang boleh berlaku tamak kerana dari semasa ke semasa bilangan peniaga semakin bertambah. Apabila modal terkumpul Abdur Rahman bin Auf menawarkannya kepada peniaga baru.
Dan peniaga itu sendiri sebenarnya mengamalkan sikap memburu pahala. Bagi mereka perniagaan itu bukan sahaja mendapat untung, tetapi juga sebagai satu perkhidmatan kepada masyarakat. Ertinya mereka sangat mementingkan tanggungjawab sosial. Apa yang lebih penting ialah kesejahteraan hidup bermasyarakat dan bernegara.
Keenam: Barakah Doa Rasulullah
Terdapat sesuatu peristiwa, ketika Rasulullah ﷺ sedang mepersiapkan tentera Islam untuk pergi berperang. Rasulullah berkata kepada mereka, “Bersedekahlah, sesungguhnya saya ingin mengirimkan satu pasukan tentera”.
Tanpa membuang masa, Abdur Rahman bingkas bangun, berlari pulang dan kemudiannya kembali memberikan harta kepada Rasulullah ﷺ. Separuh dari hartanya diberikan kepada Baginda, separuh lagi di simpan untuk perbelanjaannya. Apabila melihat tindakan Abdur Rahman, Rasulullah mendoakan beliau mendapat berkat dari harta yang disumbangkan.
Ketujuh: Jiwa Pengorbanan
Ketika Perang Tabuk, tentera Islam banyak kekurangan dari segi harta dan juga tunggangan yang menyebabkan Rasulullah terpaksa menolak permintaan umat Islam yang ingin turut sama berperang. Golongan yang pulang dalam keadaan kesedihan kerana tidak dapat turut serta berperang ini dipanggil al-Bakkain, iaitu golongan yang pulang menangis.
Memahami situasi tersebut, Abdur Rahman bin Auf telah menyerahkan segala hartanya demi membantu tentera Islam. Rasulullah agak terkejut dan berkata, “Apakah yang kamu tinggalkan untuk keluarga kamu, jika kamu menyerahkan segala hartamu?"
Dengan tenang Abdur Rahman menjawab, “Saya meninggalkan ganjaran pahala yang banyak buat mereka seperti dijanjikan oleh Allah.”
Semasa Perang Tabuk, Allah telah mengurniakan satu kemuliaan kepada beliau. Abdur Rahman telah menjadi Imam kepada Rasulullah ﷺ kerana ketika hendak mula solat Rasulullah ﷺ tiada di situ. Oleh itu, baginda berkejar menjadi makmum kepada Abdur Rahman.
Itulah antara faktor kejayaan Sayidina Abdur Rahman Auf, terbina kerana taqwa. Sebelum Islam, beliau juga seorang pedagang yang berjaya, tetapi setelah Islam, kepakarannya dalam dunia perniagaan digunakan untuk satu perniagaan berasaskan taqwa, berjaya dunia akhirat.
Sejarah mencatatkan, beliau adalah penduduk Islam Makkah yang paling awal berhijrah kerana Allah dan Rasul. Setibanya di Madinah, Rasulullah ﷺ mempersaudarakan beliau dengan golongan Ansar yang bernama Sa’ad bin ‘ar-Rabi’ al-Anshari. Sa’ad merupakan orang Madinah yang paling kaya ketika itu.
Sa’ad berkata kepada Abdur Rahman, “Saya mempunyai dua isteri dan dua kebun, pilih yang mana satu anda mahu. Saya akan memberikan anda salah seorang dari isteri saya dan kebun saya kepada anda.”
Abdur Rahman menolak seraya berkata, “Tunjukkan aku, di mana letaknya pasar.”
Sa’ad segera menunjukkan dimana terletaknya pasar, tanpa berlengah lagi Abdur Rahman memulakan perniagaan di pasar tersebut.
Perniagaannya mendapat untung, cukup baginya menyediakan mas kahwin. Lalu Abdur Rahman melangsungkan perkahwinannya dengan mas kahwin seberat sebiji kurma.
Kisah mereka diabadikan dalam Al Quran sebagai pedoman buat kita,
"Dan orang-orang yang terdahulu-yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar." (At-Taubah 9:100)
Walau berjaya dan kaya raya, tidak sekali-kali itu semua menafikan sifat zuhud seorang sahabat Nabi. Hatinya langsung tidak terpaut dengan dunia.
Ummul Mukminin Aisyah r.ha dimaklumkan bahawa kafilah itu kepunyaan Abdur Rahman bin Auf, lalu beliau berkata,
"Aku pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: Kulihat Abdur Rahman bin Auf masuk syurga dengan merangkak."
Sebahagian sahabat menyampaikan cerita Aisyah itu kepada Abdur Rahman lalu diapun menemui Aisyah dan berkata:
"Engkau telah mengingatkan aku suatu hadis yang tak pernah ku lupakannya. Dengan ini saksikanlah, bahawa seluruh kafilah ini dengan muatannya kukorbankan untuk fi sabilillah."
Dia juga pernah berkata: "Sungguh kulihat diriku, seandainya aku mengangkat batu nescaya ku temukan di bawahnya emas dan perak."
Dia sering menangis dan berkata:
"Sesungguhnya aku khuatir dipisahkan dari sahabat-sahabatku kerana kekayaan yang melimpah."
Dalam peristiwa lain, pernah suatu hari, ketika Abdur Rahman berpuasa, beliau telah disajikan dengan makanan. Beliau lantas berkata, “Mus’ab bin Umair telah terbunuh, dia lebih baik dariku. Jenazahnya ditutupi dengan sehelai kain kain kafan, apabila ditutup kaki nampaklah kepalanya dan apabila ditutup kepalanya, nampaklah kakinya."
Dia menambah lagi, “Allah telah bentangkan dunia kepadaku. Aku bimbang Allah telah menyegerakan pahala di dunia.” Lalu beliau menangis.
Justeru itu segala kekayaannya dilaburkan di jalan Allah. Sehingga pernah dikatakan orang, seluruh penduduk Madinah bersyarikat dengan Abdur Rahman pada hartanya. Sepertiga dipinjamkan kepada mereka. Sepertiga lagi dipergunakan untuk membayar hutang-hutang mereka. Dan sepertiga lagi diberi dan dibahagi-bahagikan kepada mereka.
Begitulah watak seorang sahabat yang terawal memeluk Islam, dijamin syurga oleh Rasulullah ﷺ.
محمد فضلي بن يوسف
19 Rejab 1432H
21 Jun 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan