MUHARAM adalah bulan pertama dalam Sistem
Kalendar Islam (Hijriah). Pada asasnya, Muharam membawa maksud
'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan
peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini
ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91).
Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh
melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan
berkenaan. Rasulullah s.a.w telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan
Allah (shahrullahi).
Sejarah Kalendar Islam
Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah /
Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu
Saiyidina Umar Al-Khattab radhiyallahu `anhu. Ini adalah turutan dari
Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.
Ada satu riwayat lain yang mengatakan bahawa
Gabenor Abu Musa Al-As'ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar
r.a minta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar
yang telah dihantar kepadanya. Maka dengan ini beliau (Umar r.a)
mahukan satu kalendar / taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun
rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa
Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.
Di kalangan bangsa Arab sendiripun ada
berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah,
Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal
dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Umar telah memilih
tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah
Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi
kiraan kalendar / taqwim Islam.
Peristiwa tersebut adalah peristiwa hijrah
Rasullullah saw dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah
inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam
ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan
tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat
hasil dari pilihan Umar itu.
Di antara kejayaan besar Islam waktu itu
ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitul Muqaddis dibebaskan dari
Rom dan Masjidil Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar
tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa
kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan
Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.
Ciri-Ciri Takwim/Kalendar
- Takwim Hijriah
- Bulan
Firman Allah S.W.T.
- Maksudnya;
'Sesungguhnya
bilangan bulan-bulan pada sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan,
(yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit
dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. (Ketetapan) yang
demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu
menganiayai diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan
melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya
sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah
sesungguhnya Allah beserta orang yang bertaqwa'
- Surah al-Taubah; 36
Bulan qamariah dalam setahun adalah 12 bulan
iaitu bulan Muharram, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal,
Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah.
Bilangan hari bagi setiap bulan qamariah mengandungi 29 atau 30 hari
bergantung kepada bila berlakunya ijtimak (kedudukan di mana matahari,
bulan dan bumi berada pada satu garisan) dan kewujudan/kenampakan hilal
(bulan sabit) pada penghujung bulan qamariah hari ke-29 setiap bulan
hijriah mengikut syarat-syarat tertentu.
- Hari
Hari di dalam perkiraan Takwim Hijriah
bermula dari waktu matahari terbenam. Ini berbeza dengan Kalendar
Miladiah yang perkiraan harinya bermula pada jam 12.00 tengah malam.
Dalam setahun, Takwim Hijriah mempunyai 354.36 hari, beza 10 atau 11
hari dari jumlah hari dalam Kalendar Miladiah. Setiap tahun, hari-hari
kebesaran Islam dirayakan dalam musim yang berlainan. Ia akan kembali ke
musim asal setiap 33 tahun (1 pusingan lengkap). Tahun baru hijriah
iaitu 1 Muharram disambut pada musim berlainan iaitu ia berganjak
sebanyak 10 atau 11 hari lebih awal setiap tahun.
Daripada Al-Hassan Al-Basri rahimahumullah
sesungguhnya Allah s.w.t telah membuka lembaran tahun baru di dalam
takwim Islam dengan bulan Muharram. Tidaklah kedapatan bulan yang lebih
mulia dalam takwim Islam di sisi Allah s.w.t itu selepas bulan Ramadhan
melainkan bulan Muharram. Ianya dinamakan bulan Allah yang khas
disebabkan besarnya kehormatannya.
menarik :) semoga dpt memberi kesan yg baik
BalasPadamtq Mohd Shafwan... akak pun harap begitu gak ;)
BalasPadam