Kali ni jom saya bawa bercuti sambil belajar di Pulau Pangkor pulak.
Pulau Pangkor yang terletak di negeri Perak adalah berlokasi di perairan Selat Melaka.
Luasnya cuma 2,200 hektar dan penduduknya berjumlah kira-kira 25,000
orang. Pulau Pangkor merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di
Malaysia. Pulau Pangkor merupakan sebuah pulau tropika yang menawan dan
memiliki beberapa tempat tarikan pelancong yang menarik.
Diantara tempat
yang menjadi tumpuan pelancong adalah:-
2.
Batu bersurat
3.
Pantai Puteri Dewi
 |
Pantai Pasir Bogak |
4.
Pantai Pasir Bogak
Pasir bogak juga terletak di tepian pantai menjadi tumpuan pelancong
untuk berkelah. Kawasan ini dulunya dipenuhi pokok bogak. Akhirnya
tempat ini diberi nama Pasir Bogak
5.
Teluk Nipah
Teluk Nipah terletak di tepian pantai dengan pasir memutih dan landai.
Kawasan ini yang dulunya berteluk dan sungainya dipenuhi dengan pokok
nipah. Akhirnya kawasan tersebut diberi nama teluk Nipah.
Pulau Pangkor boleh dijelajahi dengan berjalan kaki atau menggunakan
kenderaan dan laut hangat di sekelilingnya sesuai untuk aktiviti laut
seperti berenang, snorkling, berkayak dan memancing.
Pelancong juga boleh menaiki bot untuk pergi ke Pulau Pangkor Laut yang dimiliki oleh orang persendirian, di mana terdapat peranginan Pangkor Laut iaitu sebuah tempat peranginan kecil mewah.
6.
Teluk Raja Bayang
Menjadi tempat persinggahan sebentar Raja Bayang ketika datang ke Pulau
pangkor. Lalu tempat tersebut di panggil Teluk Raja Bayang.
7. Sungai Pinang
Sungai yang dipenuhi dengan pokok pinang, akhirnya penduduk dikawasan
tersebut sepakat meletakkan nama tempat tersebut Sungai Pinang.
Antara gugusan pulau berdekatan Pulau Pangkor ini adalah
- Pulau Mentagor
- Pulau Pangkor Laut
- Pulau Giam (terletak kira-kira 3.8 batu nautika)
Asal Usul Pulau Pangkor
Terdapat Dua Versi Asal Usul Nama Pulau Pangkor
Versi Pertama
Pada zaman dahulu pedagang-pedagang tongsan dari negara China telah
belayar ke serata dunia dan salah satu tempat yang disinggahi ialah
Pulau Pangkor. Semasa mereka belayar, mereka membawa bersama isteri dan
anak-anak. Dengan cara tersebut mereka boleh belayar dalam jangka masa
panjang.
Semasa pelayaran ke Pulau Pangkor, ribut dan ombak besar
telah melanda Pulau Pangkor. Lalu tiang layar yang dipanggil “PANG” telah
patah dan sebutan “KOR”yang bermaksud patah adalah dalam bahasa cina.
Apabila perkataan tersebut sering disebut maka sepakat menamakan pulau
tersebut Pangkor sempena kejadian tersebut.
Versi Kedua
Pada zaman dahulu Pulau Pangkor tidak mempunyai penghuni, hanya
pedagang yang datang singgah untuk berehat. Pulau ini digunakan sebagai
“tempat percutian Diraja” sejak lama dahulu. Raja-raja dan pembesar yang
belajar di Selat Melaka sering singgah di pulau ini untuk beristirehat.
Oleh itu, pulau ini dahulu dipanggil “Pulau Singgah”.
Sultan
Perak tertarik dengan keindahan pulau ini sehingga baginda membina
sebuah istana di situ. Istana itu di panggil Istana Hinggap. Setahun
sekali baginda berkunjung ke istana tersebut. Pada masa itu, tiada orang
menetap di Pulau Singgah. Namun lama-kelamaan tergeraklah hati beberapa
penduduk persisiran pantai untuk berkampung di pulau tersebut. Orang yang mula-mula berpindah ke situ ialah Pak Pangkor dan
keluarganya. Dia berasal dari Pantai Remis dan kehidupan di sini amat susah
dan Pak Pangkor terpaksa berusaha untuk hidup. Mereka sekeluarga telah
sepakat untuk berpindah ke Pulau Singgah.
Pak Pangkor mendirikan
pondok kecil untuk mereka bertiga berlindung dan bermalam. Keesokkan
harinya dia berjalan-jalan meninjau di sekitar pulau mencari tapak untuk
mendirikan pondok yang lebih baik. Akhirnya Pak Pangkor menjumpai suatu
tempat bermata air lantas terpikat dan mendirikan pondoknya di situ.
Setiap hari mereka mengembleng tenaga untk membersihkan kawasan
hutan yang berhampiran pondok mereka. Apabila hutan telah dibersihkan
mereka mula menanam ubi kayu, pisang, jagung serta pokok
buah-buahan. Tanah di situ subur dan tanaman menjadi. Pada suatu
hari, Sultan Perak dan rombongan singgah di pulau itu. Pada mulanya
rombongan Diraja tidak menyedari bahawa pulau itu sudah ada penghuni.
Ketika rombongan sultan pergi berburu, seorang pembesar telah terpandang
akan kebun Pak Pangkor dan beliau segera memberitahu rakan-rakannya. Mereka amat terkejut kerana pada kunjungan yang lalu, tiada penduduk
di pulau ini dan mereka memaklumkan kepada baginda sultan. Pak Pangkor
telah dijemput untuk menghadap sultan. Pak pangkor telah membawa hasil
tanamannya untuk dipersembahkan kepada sultan. Selepas peristiwa itu
ramai orang dari tanah besar mula berpindah ke situ. Mereka menamai
kampung yang baru berkembang ini dengan nama Pangkor sempena nama orang
yang mula-mula menerokanya.

Pak Pangkor mempunyai seorang anak
lelaki bernama Awang yang gagah perkasa dan amat disenangi oleh penduduk
kampung keran sifatnya yang peramah dan suka menolong orang. Pada suatu ketika, Sultan dan rombongan baginda sekali lagi belayar ke
Kampung Pangkor, dalam pelayaran itu kapal baginda telah dipukul ribut.
Keadaan sangat mencemaskan, laut bergelora, langit dicakar petir dan hujan
turun mencurah-curah. Mereka amat ketakutan dan berusaha keras
menyelamatkan kapal daripada tenggelam. Bagi mengelakkan
kejadian tidak diingini,mereka mebuang barang-barang ke laut. Semasa
Sultan hendak membuang sebuah peti, tengkolok baginda telah
tertanggal dan terjatuh ke dalam laut. Tengkolok yang bertatah emas itu
merupakan lambang kuasa dan kebesaran negeri tidak sempat
disambar. Setelah sekian lama barulah ribut berhenti. Air laut kembali
tenang. Sultan dan anak-anak kapal gembira kerana semuanya telah
selamat.Namun baginda amat bersedih keran tengkoloknya telah jatuh ke
dalam laut.
Rombongan Diraja meneruskan perjalanan ke Kampung
Pangkor. Mereka keluar beramai-ramai menyambut ketibaan baginda. Namun
meraka berasa hairan kerana anak-anak kapal semuanya kelihatan
letih. Setelah diberitahu bahawa kapal Sultan dipukul ribut kencang dan
Sultan selamat, penduduk kampung bergotong-royong memperbaiki kapal
baginda yang rosak. Pada malam itu Sultan dan rakyatnya berkumpul, lalu
baginda bertitah kepada sesiapa yang mendapat atau menemui tengkolok
Diraja, akan diberi hadiah yang lumayan dan dilantik sebagai pembesar
daerah. Ramailah yang cuba mencari tengkolok tersebut termasuklah
Awang anak Pak Pangkor. Namun, tiada yang berjaya. Pada suatu hari
baginda bermimpi bahawa tengkolok itu sedang dijaga oleh seekor naga
berkepala tujuh. Awang juga bermimpi yang sama seperti baginda. Awang
yakin bahawa mimpinya itu benar. Dia segera menempah pedang bermata
tujuh dan membuat persiapan untuk mencari tengkolok tersebut. Orang
kampung berasa hairan melihat pedang Awang yang ganjil itu.

Keesokkannya
baginda memberitahu orang ramai tentang mimpi baginda. Rakyat yang
mendengar cerita itu telah berputus asa dan tiada sesiapa yang berni
berhadapan dengan naga itu. Apabila mengetahui hal sedemikian, baginda
segera mengeluarkan tawaran baru. Baginda akan mengahwinkan puteri
baginda kepada yang berjaya mengembalikan tengkolok tersebut. Semangat
Awang membara apabila mendengar tawaran sultan. Setelah selesai semua
persiapan, Awang menaiki perahunya menuju ke tempat kapal baginda dipukul
ribut. Apabila tiba, Awang terus terjun ke laut. Di dasar laut Awang
menjumpai sebuah gua yang besar dan Awang terjumpa seekor naga berkepala
tujuh dan dapat melihat tengkolok sultan disisi naga itu. Awang
bersembunyi disebalik batu sambil mencari akal untuk mendekati naga itu.
Apabila naga menjulurkan salah satu kepalanya dengan pantas Awang menetak kepala naga itu. Kepala naga itu putus dan darah memancut dengan
banyaknya sehingga air laut dalam gua itu bertukar menjadi merah.
Hari
itu Awang hanya dapat memotong satu kepala saja. Keesokkannya,Awang
pergi ke gua itu lagi mengulangi usahanya. Kali ini Awang menggunakan
mata pedangnya yang kedua dan begitulah dilakukannya pada setiap hari.
Menjelang hari ketujuh, setelah Awang berjaya membunuh naga berkepala
tujuh itu dia mengambil tengkolok raja dan membawanya ke istana. Awang
disambut sebagai seorang pahlawan oleh rakyat jelata. Sultan juga
sangat gembira dengan keberanian Awang. Sultan telah menunaikan janjinya
dan Awang dilantik menjadi pembesar negeri dan mengahwinkan puteri
baginda dengan Awang. Tidak lama kemudian Awang diberi gelaran Datuk
Maharaja Awang Pangkor. Dia dihadiahi tanah yang luas, iaitu keseluruhan
Pulau Singgah termasuk Kampung Pangkor dan untuk mengenang bakti
Awang, Pulau Singgah ditukar namanya kepada Pulau Pangkor.
Sejarah
Pulau Pangkor terkenal sejak sekian lama .
- 1670: Belanda telah menjadikan Pulau Pangkor sebagai lokasi memunggah bijih timah dari negeri Perak. Kota Belanda telah dibina bagi menyimpan bijih timah dan lain-lain dagangan dari negeri Perak. Selalu terjadi aktiviti lanun di Selat Dinding.
- 1874: Sir Andrew Clarke selaku Gabenor Negeri Selat yang beribu pejabat di Singapura telah datang ke Pulau Pangkor bagi menandatangani Perjanjian Pangkor. Perjanjian ini bersetuju dan mengiktiraf Sultan Abdullah sebagai Sultan Perak. Pelombong bijih timah yang berperang merebut kawasan juga setuju untuk didamaikan dan ini menguntungkan Syarikat Hindia Timur Inggeris. (SHTI)
Kota Belanda, Pulau Pangkor
KOTA BELANDA adalah gelaran yang diberi oleh orang-orang Melayu kepada
runtuhan sebuah bangunan lama di Pulau Pangkor. Bagaimanapun, rekod-rekod merujuk kepada binaan
tersebut sebagai Kota Dindingh, sempena nama Sungai Dinding di pantai
barat Semenanjung dalam Negeri Perak.

Perak merupakan
sebuah negeri pengeluar timah yang paling utama di Semenanjung Tanah
Melayu ketika itu dan Syarikat Hindia Timur Belanda berhasrat mengawal
dan mengekalkan monopoli perdagangan komoditi tersebut. Kapal-kapal
perang dan kapal-kapal dagang Belanda bertaburan di perairan Perak pada
hampir sepanjang kurun ketujuh belas dan kelapan belas. Ada
sebab-sebab strategik mengapa Belanda menempatkan kapal-kapal mereka di
sini. Perak merupakan pintu masuk utama ke Aceh manakala negeri Sumatera
tersebut adalah musuh Belanda. Dengan alasan ini sebuah tapak
pengawasan diasaskan di Teluk Gedung pada tahun 1670 untuk memberi
sokongan dan bantuan kepada kapal-kapal yang membuat sekatan-sekatan di
laluan perairan Selat Melaka. Satu lagi sebab ialah untuk melemahkan
saingan orang-orang British yang juga aktif berdagang di kawasan ini.
Mengikut
laporan Gabenor Belanda Balthasar Bort dalam tahun 1678: “Pada ketika
ini 59 orang berada di Perak, terbabit dengan usaha sekatan di tempat
itu dan mereka ini ditempatkan di Pulau Dinding, yang mana Syarikat Yang
Dihormati memilikinya, menetap dalam sebuah kubu yang diperbuat
daripada kayu berbentuk segiempat, dilengkapi 9 buah meriam.” Di
antara 59 orang itu ialah seorang saudagar yang menjadi penyelia,
seorang kapten, seorang jurukira, tiga pembantu, tiga pegawai, dua
doktor, lapan pengawal dan 40 kelasi. Selain kubu tersebut mereka juga
memiliki kapal layar dan perahu ‘Laren’, ‘Cacap’ dan ‘Dindingh’.
Orang-orang
Belanda ini, walaupun mereka turut berdagang dengan orang-orang Melayu,
mereka kurang percaya kepada penduduk tempatan ini. Kerana takut kepada
orang-orang Melayu mereka tidak berani meninggalkan kubu mereka terlalu
jauh kerana hanya di kubu itu sajalah mereka berasa selamat. Beberapa tahun kemudian kubu ini diperkasakan dengan binaan bangunan batu dan dilengkapi 12 hingga 14 buah meriam.
Seorang
peneroka dan pelayar British, William Dampier, menceritakan satu
peristiwa: “Gabenor, tetamu-tetamunya dan beberapa orang pegawai baru
sahaja hendak makan apabila seorang soldadu bertempik, ‘Melayu!’
Sepantas kilat gabenor itu melompat keluar melalui tingkap, untuk segera
berlindung di kubu. Pegawai-pegawai pun berebut-rebut, diikuti
orang-orang suruhan, untuk cepat sampai ke kubu: ada yang keluar ikut
tingkap dan ada yang keluar ikut pintu. Tiga orang tetamu gabenor
terpegun dan terpinga-pinga ditinggalkan di situ.
“Di kubu,
mereka menembak ke arah laut bertalu-talu memberi isyarat kepada
orang-orang Melayu bahawa mereka sudah bersedia untuk mempertahankan
diri, tetapi musuh yang ditakuti tidak juga sampai-sampai.
“Sebenarnya,
berapa orang soldadu Belanda yang sedang memancing tidak jauh dari
teluk itu telah diserang oleh orang-orang Melayu yang bersenjatakan
keris dan lembing. Beberapa orang daripada mereka telah dibunuh
sementara yang lainnya terjun ke laut dan berenang ke darat. Salah
seorang yang terselamat inilah yang bertempik begitu kuat sehingga
menakutkan gabenor yang baru sahaja hendak makan.
“Kami berjaga
sepanjang malam dengan semua senjata siap sedia untuk digunakan. Tetapi
pada malam itu hujan lebat dan saya tidak takut sangat diserang oleh
orang-orang Melayu kerana menurut salah seorang kelasi yang kami ambil
dari Melaka, orang-orang Melayu ini tidak akan menyerang di dalam hujan.
Keesokan paginya kami pergi mencari musuh dengan kapal di sekeliling
pulau tetapi tidak menjumpai mereka. Selepas itu kami pun pulang dan
berlabuh.”
Pada tahun 1690 kubu Belanda ini telah diserang sekali
lagi oleh Panglima Kulup dan pengikut-pengikutnya. Semua orang Belanda
telah terbunuh di dalam serangan ini. Pada 24 Jun 1693 sebuah arahan
telah dikeluarkan bahawa askar-askar tidak lagi ditempatkan di Pulau
Dinding (Pangkor) dan sebuah tugu dibina dengan meletak lambang
Persekutuan Syarikat Hindia Timur dan lambang Wilayah Bersekutu sebagai
tanda hakmilik Belanda. Pada 1695, 1721 dan 1729 arahan-arahan
dikeluarkan untuk membaiki tugu ini.
Pada 20 November 1745
Gabenor-Jeneral Gustraaf Willem, Baron van Imhoff mengarahkan pembinaan
semula kota di Pulau Dinding: dikawal oleh sebuah ketumbukan yang
anggotai 30 orang Eropah dan 30 orang berketurunan Asia (kecuali
orang-orang Bugis). Tetapi pada 22 Oktober 1746, Ary Verbrugge telah
dihantar untuk memastikan Sultan membenarkan sebuah kubu dibina di hulu
sungai dan bersetuju untuk menjual timah kepada Syarikat. Sultan
Muzaffar Shah III telah menandatangani perjanjian ini pada 25 Jun 1747.
Pada 18 Oktober 1748 van Imhoff mengarahkan ketumbukan di Pulau Dinding
dipindahkan ke kubu yang baru ini.


Berdekatan Kota Belanda itu terdapat sebuah batu bersurat yang terdapat lukisan seekor harimau sedang membaham seorang budak di Batu
Bersurat ini, satu lagi tanda yang ditinggalkan oleh orang-orang Belanda
berhampiran Kota Belanda di Teluk Gedung. Lukisan itu dipercayai
mengandung sebuah cerita tragik, kononnya anak seorang pembesar Belanda
telah dilarikan seekor harimau. Oleh kerana kesedihan serta untuk
memperingatinya maka peristiwa tersebut dipahatkan pada batu ini. Lukisan dan tulisan itu dipahat oleh askar-askar kompeni Belanda semasa mereka mendiami Kota Belanda dalam tahun 1743.
Sehingga kini boleh dilihat lakaran yang diukir pada permukaan Batu Bersurat tersebut ialah
berbentuk seekor harimau yang sedang menyerang sesuatu (dipercayai
seorang budak lelaki) dan terdapat dua bulatan berbentuk daun dan
perkataanperkataan Belanda serta Inggeris iaitu ‘If Carlo 1743’ / 1743 I.F CRALO dan
lambang VOC (Veerenigde Oostindische Compagnie) yang membawa maksud
Syarikat Hindia Timur Belanda. Tahun yang tercatat dikatakan sebagai
tahun pendudukan semula Belanda di Pulau Pangkor selepas diusir oleh
penduduk tempatan yang diketuai oleh Panglima Kulup pada sekitar tahun
1690an.
Walaubagaimanapun, menurut penduduk tempatan, kisah ini merupakan rekaan
semata-mata oleh orang Belanda untuk menutup malu kerana sebenarnya
anak pembesar Belanda tersebut telah dilarikan oleh lanun atau oleh
orang Melayu yang tidak suka penjajah Belanda bertapak di Negeri Perak.
Orang Melayu dilambangkan sebagai harimau.
Tokoh Tempatan
Y.B. DATO’ Dr. ZAMBRY BIN ABDUL KADIR DPMP,AMS merupakan anak tempatan yang akhirnya menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Perak. Beliau yang lahir pada 22 Mac 1962 di Pulau Pangkor, Perak dilihat membawa banyak perubahan kepada pembangunan Perak seiring dengan perubahan Malaysia yang semakin membangun. Semoga kemajuan di Perak ini berterusan hendaknya. Kemajuan yang kami dahagakan turut meliputi pembangunan kemajuan negeri, pembangunan insan dan menyemarakkan pembangunan perniagaan dikalangan rakyat negeri.
Aktiviti Menarik Di Pulau Pangkor
1.
Jelajah Pulau Pangkor / Pangkor Island Tour
Banyak tempat untuk
dikunjungi di Pulau Pangkor. Ini termasuk kesan tinggalan sejarah Kota
Belanda di Teluk Gedung dan Taman Fu Lin Kong di mana terdapatnya
replika Tembok Besar Negeri Cina. Perjalanan dengan van (untuk 10 orang)
boleh diatur, termasuk lawatan ke Kilang Satay Fish, Pekan Pangkor dan
pantai-pantai. Atau jika mahu mengelilingi Pulau Pangkor dengan bot
laju. Tentunya ia bakal menjadi pengalaman yang sukar dilupakan.
2.
Trip memancing / Fishing Trip
Memancing di perairan Pulau Pangkor
(Pulau Dua, Karang Darat, Tanjung Terengganu, Rumah Raja dan dalam
selat) atau Pulau Sembilan. Tekong-tekong ternama seperti Cokodok, Man
Kanji, Pak Wahab, Pak Musa sedia membantu serta memberi tip-tip
yang berguna. Trip memancing serba mewah (kapal yang lengkap dengan
kabin, kemudahan asas dan sajian makanan) juga disediakan!
3.
Trip Menyelam / Scuba Trip
Perairan Pangkor kaya dengan pelbagai
spesis batu karang dan hidupan laut, dikatakan bilangan spesisnya lebih
banyak daripada yang terdapat di terumbu perairan Sabah.
4.
Pukat Tarik / Fish Netting
Aktiviti unik yang ditawarkan, menangkap ikan dengan menggunakan pukat tarik. Bakal memberi kepuasan yang tidak terhingga.
5.
Sukan Air / Watersport
Pantai Pasir Bogak dan Teluk Nipah berpusatnya aktiviti sukan laut seperti kayak, snorkeling, boat trip, dan sebagainya.
6.
Aktiviti Luar / Outdoor
Selain sukan laut, Pulau Pangkor juga cukup ideal bagi
penggemar sukan lasak seperti jungle trekking, abseiling, flying fox dan
ekspedisi berbasikal.
Cara Nak Ke Sana
- Untuk pergi ke Pulau Pangkor, ada sebuah pangkalan atau jeti di Lumut. Naik feri di Lumut, 20 minit, mulai 2003 tambang feri dikenakan RM10.00 untuk dewasa dan RM6.00 untuk kanak-kanak.
- Lebuh raya Ipoh Lumut memudahkan perjalanan dari Ipoh untuk berkelah di Pulau Pangkor. 90 km di Barat daya bandar Ipoh.
- Dari Kuala Lumpur menerusi Lebuh raya Utara Selatan, ikut susur keluar di Gopeng dan masuk ke arah Lumut / Sitiawan
- kapal terbang Berjaya Air dari Lapangan Terbang Subang menuju ke Lapangan Terbang Pangkor (IATA: PKG, ICAO: WMPA) ialah sebuah lapangan terbang di Pulau Pangkor, terletak di pesisir pantai negeri Perak di barat laut Semenanjung Malaysia.
- Sekitar pulau Pangkor, boleh sewa bas dengan kadar RM40.00 pusing satu pulau.
Sumber: Wikipedia