Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Khamis, 25 Julai 2013

Ramadhan: Peristiwa Nuzul al-Quran dan Lailatul Qadar dalam Islam



Pada 17 Ramadan 2013M ini, umat Islam memperingati tepat ulangtahun ke 1403 Malam Nuzul Quran yang berlaku pada 610M.

Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Qur'an yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini.

Sebenarnya terdapat dua pendapat mengikut ahli sejarah menurut perkongsian di halaman Al-Azim, termasuk pendapat para ahli hadis, tentang Al-Quran yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad SAW:

1. Pendapat pertama menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan pada malam Isnin tanggal 17 Ramadhan, 13 tahun sebelum hijrah (6 Ogos 610 M). 

2. Pendapat kedua pula menyatakan bahawa Al-Quran telah diturunkan pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan (13 Ogos 610 M). 

Pendapat yang pertama adalah berdasarkan ayat 41 dari Surah Al-Anfaal, manakala pendapat kedua dasarnya adalah ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan.


Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M.

Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

'Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. 


Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:  
         
        Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

          "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, - Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘Alaq:1-5) 


Nuzul Al-Quran adalah salah satu rahmat Allah SWT yang terbesar buat umat manusia sejagat. Ia mempunyai ingatan dan pengajaran yang besar kepada kita pada hari ini, bahkan kepada kesemua bani insan hingga ke Hari Kiamat.

Nuzul Quran bererti “Penurunan Al-Quran” oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui Jibril pada malam 17 Ramadan tahun 610M di Gua Hirak, di puncak bukit Jabal Nur, Makkah Al-Mukarramah.

Ketika Nabi Muhammad SAW sedang mengasingkan diri dari kekufuran dan kemaksiatan kaumnya di Mekah, datang Jibril menyampaikan 5 ayat pertama Surah Al-Alaq (Iqrak, bismirabbaikalladzi khalaq …) sekaligus terlantiklah Nabi Muhammad saw sebagai Rasul Allah yang terakhir dan Nabi Akhir Zaman.


Diantara pengajaran-pengajaran Nuzul Quran ialah :

1. Allah swt memilih para rasulnya dikalangan mereka yang memiliki peribadi yang mulia. Jika kita hendak mewarisi peranan para Anbiyak ini, maka kita juga seharusnya memiliki akhlak yang luhur, keikhlasan yang tinggi dan ketabahan yang tidak berbelah bagi.

2.  Walaupun belum dipilih menjadi Nabi dan Rasul, Nabi Muhammad SAWtelah dapat menilai keburukan tingkahlaku kaum Quraisy yang telah menjadi adat kebiasaan turun temurun seperti minum arak, zina, membunuh anak, riba, menipu dalam timbangan, menindas orang lain, membezakan manusia berdasarkan warna kulit dan sebagainya.

Kesemua ini menyebabkan Baginda saw mengasingkan dirinya di Gua Hirak. Oleh itu diantara pra-syarat utama bagi seorang daie (pendakwah) ialah kebencian hatinya terhadap keruntuhan yang sedang berlaku didalam masyarakatnya, walaupun ianya telah nampak biasa dan menebal serta menjadi lumrah dalam masyarakat. Jahiliyah hari ini tidak kurang parahnya seperti arak, zina, buang anak, rasuah, kezaliman ke atas orang lain dan sebagainya.

Persoalannya, adakah kesemua ini menyebabkan seseorang itu insaf keadaan tersebut, luluh hatinya mengenangkan nasib umatnya dan bertekad bersungguh-sungguh untuk merubah keadaan tersebut ? Atau saban hari dia membaca akhbar dan mendengar berita yang menyedih dan menjijikkan, namun kesemua itu tidak mengesani jiwanya dan menggerakkan anggotanya untuk berdakwah?


3.  Membaca atau “Iqrak” mempunyai peranan yang sangat penting kepada masyarakat Islam dan diantara sebab utama dalam merubah nasib mereka. Hampir ianya menjadi salah satu ciri umat di Barat yang memimpin dunia hari ini. Adapun di Dunia Islam, minat kepada membaca masih belum melata dan menebal.

4.  Betapa hebat dan kuatnya jiwa Rasulullah saw dalam bukan sahaja menerima ayat-ayat Al-Quran tetapi juga menerima bebanan Dakwah yang terkandung didalam ayat-ayat tersebut. Baginda saw hanya menggigil ketakutan tetapi tidak binasa jiwanya.

Sekiranya pada malam itu Al-Quran diturunkan bukan kepada Baginda saw, tetapi kepada Gua Hirak atau Jabal Nur itu sendiri, nescaya akan pecah bukit tersebut lantaran tidak tertanggung amanah yang diberikan oleh Allah SWT. 

         “Kalau Kami turunkan Al-Quran ini keatas bukit, nescaya engkau akan melihatnya tunduk dan pecah kerana takut kepada Allah. Demikian perumpamaan Kami berikan kepada manusia supaya mereka berfikir” (Al-Quran).


Alangkah jauhnya ramai umat Islam zaman kini yang tidak membaca Al-Quran. Jika membacanya, ramai pula yang tidak memahaminya. Jika memahaminya, ramai pula yang tidak takut, tidak kecut, tidak mengigil kerana takut kepada Penurunnya dan kepada amanah-amanah yang terkandung didalamnya yang mesti dilaksanakan !!

5.  Tidak lengkap mengingati malam Nuzul Quran jika tidak menyebut nama Khadijah RA, isteri tersayang Rasulullah SAW. Ketika Rasulullah SAW mengigil ketakutan, Khadijah RA tenang lagi menenangkan suaminya !!


“Aku takut akan diriku (akan ditimpa musibah dek jembalang tersebut)”, sabda Rasulullah SAW, ketika menceritakan pertemuannya dengan makhluk yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. 

“Kalla !!! Ma yukhzikallahu abada !!!” (Sekali-kali tidak !!! Allah tidak akan membuat sesuatu yang buruk kepada kamu !!! Sesungguhnya engkau menghubungkan Silaturrahim, menyumbang kepada orang yang tidak mempunyai harta, memikul bebanan (orang yang memerlukan bantuan) … “, tegas Khadijah ra dengan penuh kasih sayang yang yakin akan latarbelakang suaminya yang bersih, tidak mungkin sebersih itu Allah SWT akan mendatangkan suatu yang buruk kepada insan yang sebegitu dikenalinya.


Rasulullah SAW beriman dalam keadaan menggigil dan ketakutan yaitu ketika bertemu dengan Jibril. Khadijah RA pula beriman dalam keadaan kasih dan yakin yaitu ketika bertemu dan mendengar apa yang diceritakan oleh suaminya, Rasulullah SAW.

Khadijah bukan sahaja beriman tetapi menTasdiqkan imannya. Tasdik lebih tinggi dari Iman. Tasdiq ialah membenarkan kepercayaan (Iman) dengan amal perbuatan dan pengorbanan. Khadijah RA membenarkan Imannya dengan memberi dorongan kepada Rasulullah SAW dalam berdakwah, menghulurkan harta kekayaannya demi kemajuan dan memberi lonjakan kepada Dakwah Islam lebih-lebih lagi di Tahun-tahun Pemboikotan yang zalim.

Oleh itu Jibril telah memaklumkan kepada Rasulullah SAW bahawa satu rumah di Syurga telah dibina untuk Khadijah RA. Nabi SAW pula bersabda bermaksud,  

         "Demi Allah!! Allah belum pernah menggantikan untuk aku isteri yang lebih baik dari Khadijah. Dia beriman kepada aku ketika manusia lain mengkufuri aku. Dia membenarkan aku ketika manusia lain membohongi aku dan tidak mempercayai risalah yang aku bawa. Dia memberi aku akan harta-hartanya ketika manusia lain mengenakan pemboikotan kepada aku …”.

 Selama 23 tahun Nabi saw berdakwah yang penuh dengan peperangan dan penekanan, namun hanya tahun kematian Khadijah ra Nabi menamakan tahun tersebut ‘Aam Al-Huzn’ (Tahun Kesedihan).


6.  Penurunan Wahyu dan berhubungnya Langit dengan bumi melalui perantaraan Wahyu adalah suatu nikmat yang hanya dirasai oleh para Sahabat RA dan mereka yang memahami Al-Quran dan merasai kemanisannya.

Ummu Aiman adalah seorang sahabiah yang hidup panjang di zman Nabi saw dan Khulafak Rasyidin. Di zaman Khulafak Rasyidin, pada suatu hari para Sahabat ra melihat beliau menangis, lalu berkata,

“Kenapa menangis wahai Ummu Aiman, bukankah Rasulullah saw kini berada ditempat yang lebih baik?”. Ummu Aiman ra menjawab, “Saya mengetahui bahawa Rasulullah saw kini berada di tempat yang lebih baik, tetapi yang menyebabkan saya menangis ialah kerana Wahyu kini telah terputus (tidak seperti di zaman Nabi saw masih hidup)”.

Apakah nikmat yang lebih hebat dari menerima kalam Allah swt yang turun dari langit, menerang dan membimbing, menegur dan memberi amaran, mendidik dan menguatkan jiwa hingga mereka menjadi Khaira Ummah Ukhrijat linnas (Umat yang terbaik yang pernah dikeluarkan untuk manusia). (rujuk kitab tafsir Fi Dzilalil Quran oleh Asy-Syahid Sayyid Qutb, surah Al-Alaq).

Tiada kesejahteraan dan kejayaan bagi masyarakat dunia dulu, kini dan akan datang melainkan hidup berpandukan Al-Quran yang diturunkan oleh Tuhan Maha Pencipta lagi Maha Bijaksana. Itu adalah keyakinan orang-orang yang beriman. Bahkan itu adalah kesimpulan orang-orang yang berpengalaman melihat dan mengamati kesudahan mereka yang engkar dan membelakangi undang-undang Al-Quran samada dikalangan orang-orang kafir atau mereka yang mengaku Islam.

 “Berjalanlah kamu dimuka bumi dan lihatlah kesudahan orang-orang yang mendustakan (Al-Quran) …” (Al-Quran).


HUBUNGAN LAILATUL QADAR DENGAN AL-QURAN

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan. 

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan Nuzul al-Quran? 

Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT

              Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)


Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. 

Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan  bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.


PANDUAN

Dari maklumat serba sedikit yang saya dapatkan daripada halaman Islam.gov hasil perkongsian oleh Dr Samsu Adabi Mamat dari Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. 

Antara panduan berkenaan ialah seperti:

1.      Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran

2.      Ayat pertama diturunkan ialah ‘Iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan. 

3.      Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.

Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. 

Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.  


Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘Iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.  

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. 

Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah. 

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. 


Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. 

Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap  insan yang ingin mendapat ganjaran di malam yang penuh dengan ganjaran dan keberkatan ini berusaha dengan penuh istiqamah untuk mendapatkannya.


KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. 

Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. 

Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. 




sumber: inijalanku.wordpress
islam.gov
wikipedia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...