Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Rabu, 3 Julai 2013

Sejarah & Pelancongan: Pulau Pangkor, Perak

Kali ni jom saya bawa bercuti sambil belajar di Pulau Pangkor pulak.


Pulau Pangkor yang terletak di negeri Perak adalah berlokasi di perairan Selat Melaka. Luasnya cuma 2,200 hektar dan penduduknya berjumlah kira-kira 25,000 orang. Pulau Pangkor merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di Malaysia. Pulau Pangkor merupakan sebuah pulau tropika yang menawan dan memiliki beberapa tempat tarikan pelancong yang menarik.


Diantara tempat yang menjadi tumpuan pelancong adalah:-

1. Kota Belanda
 

2. Batu bersurat 



3. Pantai Puteri Dewi 

Pantai Pasir Bogak

4. Pantai Pasir Bogak 
Pasir bogak juga terletak di tepian pantai menjadi tumpuan pelancong untuk berkelah. Kawasan ini dulunya dipenuhi pokok bogak. Akhirnya tempat ini diberi nama Pasir Bogak


5. Teluk Nipah
Teluk Nipah terletak di tepian pantai dengan pasir memutih dan landai. Kawasan ini yang dulunya berteluk dan sungainya dipenuhi dengan pokok nipah. Akhirnya kawasan tersebut diberi nama teluk Nipah.


Pulau Pangkor boleh dijelajahi dengan berjalan kaki atau menggunakan kenderaan dan laut hangat di sekelilingnya sesuai untuk aktiviti laut seperti berenang, snorkling, berkayak dan memancing.
Pelancong juga boleh menaiki bot untuk pergi ke Pulau Pangkor Laut yang dimiliki oleh orang persendirian, di mana terdapat peranginan Pangkor Laut iaitu sebuah tempat peranginan kecil mewah.


6. Teluk Raja Bayang
Menjadi tempat persinggahan sebentar Raja Bayang ketika datang ke Pulau pangkor. Lalu tempat tersebut di panggil Teluk Raja Bayang. 


7. Sungai Pinang
Sungai yang dipenuhi dengan pokok pinang, akhirnya penduduk dikawasan tersebut sepakat meletakkan nama tempat tersebut Sungai Pinang. 

 

Antara gugusan pulau berdekatan Pulau Pangkor ini adalah
  • Pulau Mentagor
  • Pulau Pangkor Laut
  • Pulau Giam (terletak kira-kira 3.8 batu nautika)


Asal Usul Pulau Pangkor

Terdapat Dua Versi Asal Usul Nama Pulau Pangkor


Versi Pertama

Pada zaman dahulu pedagang-pedagang tongsan dari negara China telah belayar ke serata dunia dan salah satu tempat yang disinggahi ialah Pulau Pangkor. Semasa mereka belayar, mereka membawa bersama isteri dan anak-anak. Dengan cara tersebut mereka boleh belayar dalam jangka masa panjang.
Semasa pelayaran ke Pulau Pangkor, ribut dan ombak besar telah melanda Pulau Pangkor. Lalu tiang layar yang dipanggil “PANG” telah patah dan sebutan “KOR”yang bermaksud patah adalah dalam bahasa cina. Apabila perkataan tersebut sering disebut maka sepakat menamakan pulau tersebut Pangkor sempena kejadian tersebut.



Versi Kedua

Pada zaman dahulu Pulau Pangkor tidak mempunyai penghuni, hanya pedagang yang datang singgah untuk berehat. Pulau ini digunakan sebagai “tempat percutian Diraja” sejak lama dahulu. Raja-raja dan pembesar yang belajar di Selat Melaka sering singgah di pulau ini untuk beristirehat. Oleh itu, pulau ini dahulu dipanggil “Pulau Singgah”.

Sultan Perak tertarik dengan keindahan pulau ini sehingga baginda membina sebuah istana di situ. Istana itu di panggil Istana Hinggap. Setahun sekali baginda berkunjung ke istana tersebut. Pada masa itu, tiada orang menetap di Pulau Singgah. Namun lama-kelamaan tergeraklah hati beberapa penduduk persisiran pantai untuk berkampung di pulau tersebut. Orang yang mula-mula berpindah ke situ ialah Pak Pangkor dan keluarganya. Dia berasal dari Pantai Remis dan kehidupan di sini amat susah dan Pak Pangkor terpaksa berusaha untuk hidup. Mereka sekeluarga telah sepakat untuk berpindah ke Pulau Singgah.
Pak Pangkor mendirikan pondok kecil untuk mereka bertiga berlindung dan bermalam. Keesokkan harinya dia berjalan-jalan meninjau di sekitar pulau mencari tapak untuk mendirikan pondok yang lebih baik. Akhirnya Pak Pangkor menjumpai suatu tempat bermata air lantas terpikat dan mendirikan pondoknya di situ.

Setiap hari mereka mengembleng tenaga untk membersihkan kawasan hutan yang berhampiran pondok mereka. Apabila hutan telah dibersihkan mereka mula menanam ubi kayu, pisang, jagung serta pokok buah-buahan. Tanah di situ subur dan tanaman menjadi. Pada suatu hari, Sultan Perak dan rombongan singgah di pulau itu. Pada mulanya rombongan Diraja tidak menyedari bahawa pulau itu sudah ada penghuni. Ketika rombongan sultan pergi berburu, seorang pembesar telah terpandang akan kebun Pak Pangkor dan beliau segera memberitahu rakan-rakannya. Mereka amat terkejut kerana pada kunjungan yang lalu, tiada penduduk di pulau ini dan mereka memaklumkan kepada baginda sultan. Pak Pangkor telah dijemput untuk menghadap sultan. Pak pangkor telah membawa hasil tanamannya untuk dipersembahkan kepada sultan. Selepas peristiwa itu ramai orang dari tanah besar mula berpindah ke situ. Mereka menamai kampung yang baru berkembang ini dengan nama Pangkor sempena nama orang yang mula-mula menerokanya.


Pak Pangkor mempunyai seorang anak lelaki bernama Awang yang gagah perkasa dan amat disenangi oleh penduduk kampung keran sifatnya yang peramah dan suka menolong orang. Pada suatu ketika, Sultan dan rombongan baginda sekali lagi belayar ke Kampung Pangkor, dalam pelayaran itu kapal baginda telah dipukul ribut. Keadaan sangat mencemaskan, laut bergelora, langit dicakar petir dan hujan turun mencurah-curah. Mereka amat ketakutan dan berusaha keras menyelamatkan kapal daripada tenggelam. Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,mereka mebuang barang-barang ke laut. Semasa Sultan hendak membuang sebuah peti, tengkolok baginda telah tertanggal dan terjatuh ke dalam laut. Tengkolok yang bertatah emas itu merupakan lambang kuasa dan kebesaran negeri tidak sempat disambar. Setelah sekian lama barulah ribut berhenti. Air laut kembali tenang. Sultan dan anak-anak kapal gembira kerana semuanya telah selamat.Namun baginda amat bersedih keran tengkoloknya telah jatuh ke dalam laut.

Rombongan Diraja meneruskan perjalanan ke Kampung Pangkor. Mereka keluar beramai-ramai menyambut ketibaan baginda. Namun meraka berasa hairan kerana anak-anak kapal semuanya kelihatan letih. Setelah diberitahu bahawa kapal Sultan dipukul ribut kencang dan Sultan selamat, penduduk kampung bergotong-royong memperbaiki kapal baginda yang rosak. Pada malam itu Sultan dan rakyatnya berkumpul, lalu baginda bertitah kepada sesiapa yang mendapat atau menemui tengkolok Diraja, akan diberi hadiah yang lumayan dan dilantik sebagai pembesar daerah. Ramailah yang cuba mencari tengkolok tersebut termasuklah Awang anak Pak Pangkor. Namun, tiada yang berjaya. Pada suatu hari baginda bermimpi bahawa tengkolok itu sedang dijaga oleh seekor naga berkepala tujuh. Awang juga bermimpi yang sama seperti baginda. Awang yakin bahawa mimpinya itu benar. Dia segera menempah pedang bermata tujuh dan membuat persiapan untuk mencari tengkolok tersebut. Orang kampung berasa hairan melihat pedang Awang yang ganjil itu.


Keesokkannya baginda memberitahu orang ramai tentang mimpi baginda. Rakyat yang mendengar cerita itu telah berputus asa dan tiada sesiapa yang berni berhadapan dengan naga itu. Apabila mengetahui hal sedemikian, baginda segera mengeluarkan tawaran baru. Baginda akan mengahwinkan puteri baginda kepada yang berjaya mengembalikan tengkolok tersebut. Semangat Awang membara apabila mendengar tawaran sultan. Setelah selesai semua persiapan, Awang menaiki perahunya menuju ke tempat kapal baginda dipukul ribut. Apabila tiba, Awang terus terjun ke laut. Di dasar laut Awang menjumpai sebuah gua yang besar dan Awang terjumpa seekor naga berkepala tujuh dan dapat melihat tengkolok sultan disisi naga itu. Awang bersembunyi disebalik batu sambil mencari akal untuk mendekati naga itu. Apabila naga menjulurkan salah satu kepalanya dengan pantas Awang menetak kepala naga itu. Kepala naga itu putus dan darah memancut dengan banyaknya sehingga air laut dalam gua itu bertukar menjadi merah.

Hari itu Awang hanya dapat memotong satu kepala saja.  Keesokkannya,Awang pergi ke gua itu lagi mengulangi usahanya. Kali ini Awang menggunakan mata pedangnya yang kedua dan begitulah dilakukannya pada setiap hari. Menjelang hari ketujuh, setelah Awang berjaya membunuh naga berkepala tujuh itu dia mengambil tengkolok raja dan membawanya ke istana. Awang disambut sebagai seorang pahlawan oleh rakyat jelata. Sultan juga sangat gembira dengan keberanian Awang. Sultan telah menunaikan janjinya dan Awang dilantik menjadi pembesar negeri dan mengahwinkan puteri baginda dengan Awang. Tidak lama kemudian Awang diberi gelaran Datuk Maharaja Awang Pangkor. Dia dihadiahi tanah yang luas, iaitu keseluruhan Pulau Singgah termasuk Kampung Pangkor dan untuk mengenang bakti Awang, Pulau Singgah ditukar namanya kepada Pulau Pangkor.

Sejarah

Pulau Pangkor terkenal sejak sekian lama .
  • 1670: Belanda telah menjadikan Pulau Pangkor sebagai lokasi memunggah bijih timah dari negeri Perak. Kota Belanda telah dibina bagi menyimpan bijih timah dan lain-lain dagangan dari negeri Perak. Selalu terjadi aktiviti lanun di Selat Dinding.
  • 1874: Sir Andrew Clarke selaku Gabenor Negeri Selat yang beribu pejabat di Singapura telah datang ke Pulau Pangkor bagi menandatangani Perjanjian Pangkor. Perjanjian ini bersetuju dan mengiktiraf Sultan Abdullah sebagai Sultan Perak. Pelombong bijih timah yang berperang merebut kawasan juga setuju untuk didamaikan dan ini menguntungkan Syarikat Hindia Timur Inggeris. (SHTI)

Kota Belanda, Pulau Pangkor

KOTA BELANDA adalah gelaran yang diberi oleh orang-orang Melayu kepada runtuhan sebuah bangunan lama di Pulau Pangkor. Bagaimanapun, rekod-rekod merujuk kepada binaan tersebut sebagai Kota Dindingh, sempena nama Sungai Dinding di pantai barat Semenanjung dalam Negeri Perak.


Perak merupakan sebuah negeri pengeluar timah yang paling utama di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu dan Syarikat Hindia Timur Belanda berhasrat mengawal dan mengekalkan monopoli perdagangan komoditi tersebut. Kapal-kapal perang dan kapal-kapal dagang Belanda bertaburan di perairan Perak pada hampir sepanjang kurun ketujuh belas dan kelapan belas. Ada sebab-sebab strategik mengapa Belanda menempatkan kapal-kapal mereka di sini. Perak merupakan pintu masuk utama ke Aceh manakala negeri Sumatera tersebut adalah musuh Belanda. Dengan alasan ini sebuah tapak pengawasan diasaskan di Teluk Gedung pada tahun 1670 untuk memberi sokongan dan bantuan kepada kapal-kapal yang membuat sekatan-sekatan di laluan perairan Selat Melaka. Satu lagi sebab ialah untuk melemahkan saingan orang-orang British yang juga aktif berdagang di kawasan ini.

Mengikut laporan Gabenor Belanda Balthasar Bort dalam tahun 1678: “Pada ketika ini 59 orang berada di Perak, terbabit dengan usaha sekatan di tempat itu dan mereka ini ditempatkan di Pulau Dinding, yang mana Syarikat Yang Dihormati memilikinya, menetap dalam sebuah kubu yang diperbuat daripada kayu berbentuk segiempat, dilengkapi 9 buah meriam.” Di antara 59 orang itu ialah seorang saudagar yang menjadi penyelia, seorang kapten, seorang jurukira, tiga pembantu, tiga pegawai, dua doktor, lapan pengawal dan 40 kelasi. Selain kubu tersebut mereka juga memiliki kapal layar dan perahu ‘Laren’, ‘Cacap’ dan ‘Dindingh’.

Orang-orang Belanda ini, walaupun mereka turut berdagang dengan orang-orang Melayu, mereka kurang percaya kepada penduduk tempatan ini. Kerana takut kepada orang-orang Melayu mereka tidak berani meninggalkan kubu mereka terlalu jauh kerana hanya di kubu itu sajalah mereka berasa selamat. Beberapa tahun kemudian kubu ini diperkasakan dengan binaan bangunan batu dan dilengkapi 12 hingga 14 buah meriam.



Seorang peneroka dan pelayar British, William Dampier, menceritakan satu peristiwa: “Gabenor, tetamu-tetamunya dan beberapa orang pegawai baru sahaja hendak makan apabila seorang soldadu bertempik, ‘Melayu!’ Sepantas kilat gabenor itu melompat keluar melalui tingkap, untuk segera berlindung di kubu. Pegawai-pegawai pun berebut-rebut, diikuti orang-orang suruhan, untuk cepat sampai ke kubu: ada yang keluar ikut tingkap dan ada yang keluar ikut pintu. Tiga orang tetamu gabenor terpegun dan terpinga-pinga ditinggalkan di situ.

“Di kubu, mereka menembak ke arah laut bertalu-talu memberi isyarat kepada orang-orang Melayu bahawa mereka sudah bersedia untuk mempertahankan diri, tetapi musuh yang ditakuti tidak juga sampai-sampai.

“Sebenarnya, berapa orang soldadu Belanda yang sedang memancing tidak jauh dari teluk itu telah diserang oleh orang-orang Melayu yang bersenjatakan keris dan lembing. Beberapa orang daripada mereka telah dibunuh sementara yang lainnya terjun ke laut dan berenang ke darat. Salah seorang yang terselamat inilah yang bertempik begitu kuat sehingga menakutkan gabenor yang baru sahaja hendak makan.

“Kami berjaga sepanjang malam dengan semua senjata siap sedia untuk digunakan. Tetapi pada malam itu hujan lebat dan saya tidak takut sangat diserang oleh orang-orang Melayu kerana menurut salah seorang kelasi yang kami ambil dari Melaka, orang-orang Melayu ini tidak akan menyerang di dalam hujan. Keesokan paginya kami pergi mencari musuh dengan kapal di sekeliling pulau tetapi tidak menjumpai mereka. Selepas itu kami pun pulang dan berlabuh.”

Pada tahun 1690 kubu Belanda ini telah diserang sekali lagi oleh Panglima Kulup dan pengikut-pengikutnya. Semua orang Belanda telah terbunuh di dalam serangan ini. Pada 24 Jun 1693 sebuah arahan telah dikeluarkan bahawa askar-askar tidak lagi ditempatkan di Pulau Dinding (Pangkor) dan sebuah tugu dibina dengan meletak lambang Persekutuan Syarikat Hindia Timur dan lambang Wilayah Bersekutu sebagai tanda hakmilik Belanda. Pada 1695, 1721 dan 1729 arahan-arahan dikeluarkan untuk membaiki tugu ini.

Pada 20 November 1745 Gabenor-Jeneral Gustraaf Willem, Baron van Imhoff mengarahkan pembinaan semula kota di Pulau Dinding: dikawal oleh sebuah ketumbukan yang anggotai 30 orang Eropah dan 30 orang berketurunan Asia (kecuali orang-orang Bugis). Tetapi pada 22 Oktober 1746, Ary Verbrugge telah dihantar untuk memastikan Sultan membenarkan sebuah kubu dibina di hulu sungai dan bersetuju untuk menjual timah kepada Syarikat. Sultan Muzaffar Shah III telah menandatangani perjanjian ini pada 25 Jun 1747. Pada 18 Oktober 1748 van Imhoff mengarahkan ketumbukan di Pulau Dinding dipindahkan ke kubu yang baru ini.




Berdekatan Kota Belanda itu terdapat sebuah batu bersurat yang terdapat lukisan seekor harimau sedang membaham seorang budak di Batu Bersurat ini, satu lagi tanda yang ditinggalkan oleh orang-orang Belanda berhampiran Kota Belanda di Teluk Gedung. Lukisan itu dipercayai mengandung sebuah cerita tragik, kononnya anak seorang pembesar Belanda telah dilarikan seekor harimau. Oleh kerana kesedihan serta untuk memperingatinya maka peristiwa tersebut dipahatkan pada batu ini. Lukisan dan tulisan itu dipahat oleh askar-askar kompeni Belanda semasa mereka mendiami Kota Belanda dalam tahun 1743.

Sehingga kini boleh dilihat lakaran yang diukir pada permukaan Batu Bersurat tersebut ialah berbentuk seekor harimau yang sedang menyerang sesuatu (dipercayai seorang budak lelaki) dan terdapat dua bulatan berbentuk daun dan perkataanperkataan Belanda serta Inggeris iaitu ‘If Carlo 1743’ / 1743 I.F CRALO dan lambang VOC (Veerenigde Oostindische Compagnie) yang membawa maksud Syarikat Hindia Timur Belanda. Tahun yang tercatat dikatakan sebagai tahun pendudukan semula Belanda di Pulau Pangkor selepas diusir oleh penduduk tempatan yang diketuai oleh Panglima Kulup pada sekitar tahun 1690an.

Walaubagaimanapun, menurut penduduk tempatan, kisah ini merupakan rekaan semata-mata oleh orang Belanda untuk menutup malu kerana sebenarnya anak pembesar Belanda tersebut telah dilarikan oleh lanun atau oleh orang Melayu yang tidak suka penjajah Belanda bertapak di Negeri Perak. Orang Melayu dilambangkan sebagai harimau.


Tokoh Tempatan


Y.B. DATO’ Dr. ZAMBRY BIN ABDUL KADIR DPMP,AMS merupakan anak tempatan yang akhirnya menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Perak. Beliau yang lahir pada 22 Mac 1962 di Pulau Pangkor, Perak dilihat membawa banyak perubahan kepada pembangunan Perak seiring dengan perubahan Malaysia yang semakin membangun. Semoga kemajuan di Perak ini berterusan hendaknya. Kemajuan yang kami dahagakan turut meliputi pembangunan kemajuan negeri, pembangunan insan dan menyemarakkan pembangunan perniagaan dikalangan rakyat negeri.


Aktiviti Menarik Di Pulau Pangkor

1. Jelajah Pulau Pangkor / Pangkor Island Tour
Banyak tempat untuk dikunjungi di Pulau Pangkor. Ini termasuk kesan tinggalan sejarah Kota Belanda di Teluk Gedung dan Taman Fu Lin Kong di mana terdapatnya replika Tembok Besar Negeri Cina. Perjalanan dengan van (untuk 10 orang) boleh diatur, termasuk lawatan ke Kilang Satay Fish, Pekan Pangkor dan pantai-pantai. Atau jika mahu mengelilingi Pulau Pangkor dengan bot laju. Tentunya ia bakal menjadi pengalaman yang sukar dilupakan.

2. Trip memancing / Fishing Trip
Memancing di perairan Pulau Pangkor (Pulau Dua, Karang Darat, Tanjung Terengganu, Rumah Raja dan dalam selat) atau Pulau Sembilan. Tekong-tekong ternama seperti Cokodok, Man Kanji, Pak Wahab, Pak Musa sedia membantu serta memberi tip-tip yang berguna. Trip memancing serba mewah (kapal yang lengkap dengan kabin, kemudahan asas dan sajian makanan) juga disediakan!


3. Trip Menyelam / Scuba Trip
Perairan Pangkor kaya dengan pelbagai spesis batu karang dan hidupan laut, dikatakan bilangan spesisnya lebih banyak daripada yang terdapat di terumbu perairan Sabah.

4. Pukat Tarik / Fish Netting
Aktiviti unik yang ditawarkan, menangkap ikan dengan menggunakan pukat tarik. Bakal memberi kepuasan yang tidak terhingga.
 
5. Sukan Air / Watersport
Pantai Pasir Bogak dan Teluk Nipah berpusatnya aktiviti sukan laut seperti kayak, snorkeling, boat trip, dan sebagainya.

6. Aktiviti Luar / Outdoor
Selain sukan laut, Pulau Pangkor juga cukup ideal bagi penggemar sukan lasak seperti jungle trekking, abseiling, flying fox dan ekspedisi berbasikal.


Cara Nak Ke Sana


  • Untuk pergi ke Pulau Pangkor, ada sebuah pangkalan atau jeti di Lumut. Naik feri di Lumut, 20 minit, mulai 2003 tambang feri dikenakan RM10.00 untuk dewasa dan RM6.00 untuk kanak-kanak.
  • Lebuh raya Ipoh Lumut memudahkan perjalanan dari Ipoh untuk berkelah di Pulau Pangkor. 90 km di Barat daya bandar Ipoh.
  • Dari Kuala Lumpur menerusi Lebuh raya Utara Selatan, ikut susur keluar di Gopeng dan masuk ke arah Lumut / Sitiawan
  • kapal terbang Berjaya Air dari Lapangan Terbang Subang menuju ke Lapangan Terbang Pangkor (IATA: PKGICAO: WMPA) ialah sebuah lapangan terbang di Pulau Pangkor, terletak di pesisir pantai negeri Perak di barat laut Semenanjung Malaysia.
  • Sekitar pulau Pangkor, boleh sewa bas dengan kadar RM40.00 pusing satu pulau.




Sumber: Wikipedia

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...