Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Jumaat, 24 Ogos 2012

Sejarah dan Pelancongan: Selama, Perak


Assalamualaikum.


Kali ni saya nak bawa kowang semua ke Selama, Perak. Ia merupakan sebuah kampung yang terletak dibawah pentadbiran Majlis Daerah Larut Matang. Dahulu, Daerah Selama dikenali sebagai Kampung Selamat dan diterokai oleh Abdul Karim Raja Aman Shah pada tahun 1870 Masihi. Beliau berasal dari Sumatera, Indonesia dan bekerja sebagai budak pejabat di bawah Orang Kaya Menteri Larut, Long Jaafar pada ketika itu. Atas kegigihan dan semangat beliau yang kental, beliau telah dinaikkan pangkat menjadi kerani dan meminta restu daripada Ngah Ibrahim iaitu anak kepada Long Jaafar untuk membuka sebuah kampung di Utara Larut pada tahun 1858.



Permohonannya itu diperkenankan oleh Ngah Ibrahim. Lalu, beliau bersama 12 orang pengikutnya menuju ke Batu Kurau dan dari situlah mereka ke Sungai Buyur melalui Teras Ijok. Di Sungai Buyur, mereka mendapat perlindungan dan bantuan daripada Penghulu Mohd Dahari Abdullah. Setelah beberapa hari di situ, mereka terus menuju ke selatan Sungai Selama dengan menggunakan rakit buluh dengan berbekalkan sedikit makanan. Setelah itu, mereka sampai ke Tanjong Medan yang kini dikenali sebagai Kampung Medan dan kemudian berpindah ke Kampung Selamat yang terletak di Jalan Sir Chulan dan Kampung Gudang. Kampung Selamat kemudiannya ditukar nama kepada Kampung Selama.


Pada ketika itu, Abdul Karim telah menjumpai bijih timah di belakang kawasan yang kini menempatkan Pejabat Daerah Selama. Kemudian, beliau menjemput orang Cina dan Sumatera datang ke Selama untuk memajukan hasil bijih timah di sini. Bijih timah dilombong secara mendulang dan menggunakan pam kelikir. Hasil yang diperoleh dijual sehingga ke Nibong Tebal, Pulau Pinang. Perusahaan bijih timah telah membuatkan ramai orang berminat untuk menetap dan bekerja di Daerah Selama.


Kini, Selama telah berusia lebih daripada satu abad dan banyak menyimpan pelbagai kisah menarik dan bersejarah dari zaman Penjajahan Inggeris sehinggalah peristiwa kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957. Pengasas Selama, Abdul Karim telah menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 1890 dan dikebumikan di perkuburan berhampiran Masjid Lama Selama. Jasa bakti beliau terus dikenang oleh seluruh penduduk di Daerah Selama dan menjadi contoh terbaik kepada generasi muda.


Daerah Selama yang bersempadan dengan Negeri Kedah Darul Aman. Bagi yang baru ke sini harus merujuk tempat ini sebagai Selama Perak kerana bersempadan dengannya terdapat sebuah lagi daerah iaitu Selama Kedah. Selain itu terdapat lebih kurang 10 buah kampung seperti Kampung Medan, Kampung Batu 3, Kampung Sungai Dendang, Kampung Bukit Torak, Kampung Sungai Jambu, Kampung Belia RTBK, Kampung Gua Petai, Kampung Sungai Malau, Kampung Tebing Tinggi dan Kampung Ulu Mengkuang. Penempatan mereka pula masih lagi mengekalkan rumah-rumah kampung dari kayu atau separa batu yang dibina sendiri oleh ibu-bapa atau generasi terdahulu.


Lata Tebing Tinggi, Selama

Di sini terdapat satu tarikan yang dapat menggamit kehadiran pelancong iaitu dengan wujudnya Hutan Lipur Lata Tebing Tinggi yang sememangnya cukup istimewa. Sebab itulah ia menjadi destinasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Perjalanan ke sini juga terasa amat sekejap dek kerana asyik melihat keindahan pokok-pokok dan tumbuhan hijau. Pengunjung boleh datang dengan berkereta atau menaiki motosikal kerana jalan masuk ke kawasan air terjun ini telah diturap. Sebuah papan tanda kecil diletakkan untuk kemudahan pengunjung yang pertama kali datang ke sini. Jika inginkan kepastian, penduduk kampung sedia membantu menunjuk arah ke Lata Tebing Tinggi.


Kejernihan air terjun dan kawasan untuk mandi manda yang luas membolehkan pengunjung memilih tempat yang sesuai untuk berkelah bersama keluarga atau rakan-rakan. Kicauan burung dan unggas hutan pasti menarik perhatian sesiapa sahaja yang bertandang ke sini. Jika inginkan sesuatu yang lebih mencabar, pengunjung boleh meneroka sehingga ke kawasan di sebelah atas untuk melihat air terjun.
Untuk melihat sendiri keindahan alam semula jadi, flora dan fauna yang masih terpelihara dan merasai kedinginan air terjun, orang ramai boleh berkunjung ke Hutan Lipur Lata Tebing Tinggi yang terletak di Selama ini. Tiada bayaran dikenakan dan pengunjung pasti akan berpuas hati setelah berkunjung di sini.

Sungai Siputeh

Lata Rambong, Selama

Di Kampung Sungai Siputeh juga terdapat satu lagi tempat untuk beriadah iaitu Sungai Siputeh yang jernih dan masih terpelihara daripada sebarang pencemaran merupakan kawasan pelancongan dan riadah menarik yang boleh dikomersialkan. Kampung Sungai Siputeh ini terletak dihujung jalan mati di tebing sungainya. Pelancong boleh beriadah dan berkelah di Sungai Siputeh di samping menghirup udara segar dan menikmati keindahan alam semula jadi yang masih belum tercemar. Selain daripada itu terdapat juga Lata Rambong dan di Gunung Bintang.


 
Silat tomoi Petani

Projek Pelancongan Desa Selama atau Selama Homestay merupakan salah satu alternatif Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) ke arah menggerakkan pembangunan ekonomi masyarakat sekitar Selama. Dua buah kampung di sekitar Daerah Selama telah terpilih untuk terlibat di dalam projek ini. Dua buah kampung tersebut adalah Kampung Bagan Baru dan Kampung Sungai Siputeh yang masing-masing terletak di bawah Gerakan Daya Wawasan (GDW). Pelancong yang datang menginap juga disediakan dengan pakej alternatif iaitu berkhemah di Ladang Rusa, berkelah di air terjun, meneroka anak sungai Bukit Merah dan pengembaraan pacuan empat roda. Selain itu, pelancong juga disediakan dengan pakej alternatif tambahan seperti lawatan ke Taman Tema Bukit Merah, Kuala Gula, Hutan Paya Bakau Matang, Bandar Warisan Taiping, Tasik Raban dan juga Pulau Pinang.


Di Daerah Selama, terdapat sebuah institusi pendidikan untuk pelajar sekolah rendah yang telah wujud sebelum zaman kemerdekaan Tanah Melayu iaitu Sekolah Kebangsaan Selama. Dahulu, ia dikenali sebagai Sekolah Inggeris Kerajaan ataupun Government English School bagi mereka yang ingin mendapatkan pendidikan aliran Inggeris. Allahyarham Tuan Haji Baharom Abu Samah merupakan teraju utama sekolah ini sejak dibuka pada 29 Januari 1953 merangkap Guru Besar pertama selain dua orang guru dan 30 orang murid ketika itu.


Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan Daerah Selama ini boleh melayari laman ini untuk penerangan yang lebih lanjut.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...