*-* Iklan yang dirakamkan oleh Margerine Plata Raya berlatarbelakangkan Tasik Bukit Merah pada permulaan adengan (diambil dari abangcantik youtube) *-*
Assalamualaikum
"Kali ini saya nak bercerita pula tentang kampung tempat saya dibesarkan, mendapat pendidikan awal, tempat dimana saya memulakan kehidupan bekerjaya dan tempat saya membesarkan anak-anak sehingga kini. Bukannya tidak pernah meninggalkan kampung yang tercinta ini sepanjang menjalankan kehidupan ini akan tetapi jodoh yang panjang menyebabkan walau jauh kaki melangkah namun kesini jua hinggapnya saya setakat ini. Mungkin ditakdirkan selepas ini saya akan pergi dari sini tapi keindahan dan kenangannya tak mungkin luput dari ingatan"
*********************************************
![]() |
Empangan Bukit Merah Perak |
Mengikut ceritanya, Bukit Merah telah diterokai oleh enam orang iaitu Haji Omar,Tok Kasa, Tok Man Nor, Tok Leman, Tok Sulaiman dan Tok Manah yang dikatakan berasal dari Titi Serong.
Jalan keretapi lama yang merentasi Tasik Bukit Merah Perak |
Kawasannya yang dibarisi bukit yang menganjur memanjang hingga ke tasik. Tanah bukit yang telah dicangkul oleh salah seorang daripada mereka didapati berwarna merah. Hasilnya tercetuslah nama Bukit Merah bersemperna dengan peristiwa itu.
Pada zaman pemerintahan Jepun, penduduk di Bukit Merah bekerja sebagai nelayan dan penebang kayu balak. Kayu-kayu balak itu diangkut melalui stesyen kereta api yang ada di sini yang dibina oleh pada zaman pemerintahan Jepun ini.
Permandangan diwaktu pagi di tepian Tasik Bukit Merah |
Tasik Bukit Merah Perak - Permandangan diwaktu malam nan indah |
Kereta api juga merupakan satunya pengangkutan awam pada masa itu. Keunikan landasan keretapi inilah yang menjadi tarikan orang ramai ke Bukit Merah sekian lama kerana ianya dibina merentangi Tasik Bukit Merah selain daripada memancing pada masa itu. Bukit Merah juga adalah satu-satunya tempat di Malaysia, dimana landasan keretapi merentasi tasik. Jika melaluinya pada waktu senja, satu panorama yang menakjubkan akan dapat lihat.
Stesyen Keretapi lama |
![]() |
New railway double track yang sedang dalam pembinaan melintasi Tasik Bukit Merah |
Selepas Jepun menyerah kalah, penduduk kampung mula membuka lebih banyak tanah baru di kawasan ini. Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, semakin ramai orang luar datang meneroka tanah hutan di Bukit Merah dan kebanyakannya berasal dari negeri Kedah dan Perlis. Mereka membuka perkampungan mereka sendiri di tepian jalan kereta api yang dikenali sebagai Kampung Kedah dan Kampung Perlis.
Bukit Merah terletak dibawah Mukim Beriah yang meliputi 9 buah kampung selain daripada Kampung Bukit Merah ini. Antara kampung lain di bawah pentadbiran mukim ini ialah Kampung Changkat Lobak, Kampung Alor Pongsu dan Kampung Batu 38, Jalan Keretapi. Kampung-kampung ini merupakan kampung sekitar yang terletak berhampiran Bukit Merah. Selain itu, ada juga kampung di mukim berlainan yang terletak bersebelahan Bukit Merah iaitu Kampung Tebuk Panchor dan Kampung Selamat di bawah Mukim Gunung Semanggol.
Antara aktiviti di Bukit Merah Perak |
Populasi penduduk di Bukit Merah dianggarkan seramai 1,631 orang yang hidup dalam keadaan yang harmoni. Kaum Melayu merupakan penduduk majoriti di sini dan selebihnya adalah kaum Cina dan India. Kebanyakan rumah kayu dibina secara berselerak di atas tanah milik masing-masing. Namun di sini terdapat sebuah penempatan baru yang diberi nama Bandar Lembah Beriah dan jika dilihat pola petempatan di sini bersifat terancang dan tersusun.
Selain mengusahakan kebun kelapa sawit, ada juga penduduk setempat yang mencari rezeki sebagai penoreh getah, pesawah padi dan nelayan di Tasik Bukit Merah. Antara jenis-jenis ikan yang terdapat di tasik ini ialah ikan lampam, baung, sebarau, kelisa dan sebagainya.
Bukit Merah Laketown Water Theme Park |
Ada juga penduduk yang berniaga dan bekerja di sektor kerajaan seperti guru. Terdapat juga penduduk yang bekerja di Bukit Merah Laketown Resort iaitu sebuah taman tema air yang dibuka pada tahun 1997. Ianya menjadi salah satu pusat pelancongan bertaraf antarabangsa di Malaysia. Dan itu antara kebanggaan penduduk di Bukit Merah kini.
Ia dilengkapi dengan Taman Tema Air, Pulau Orang Utan serta Eco Park yang unik dan menarik. Konsep bercuti sambil berhibur di Taman Tema Bukit Merah menjadikan destinasi pelancongan ini sesuai dinikmati seisi keluarga menjadikan kunjungan ke utara Perak amat berbaloi. Waterpark ni seluas 11 ekar dan merupakan terbesar di negeri Utara Semenanjung Malaysia. Taman Air Bukit Merah ada 14 tarikan iaitu Boomerang, Giant Wet Bubble, Sandy Beachfront Wave Pool, Water Speed Slides, Body Slides, Giant Tube Rides, Activity Pool, Lazy River, Perak Mining Company, Kids Adventure River, Jumbo Shower, Water Pillar, ‘Mandi Timba’ dan Waterfall Bridge. Banyak kan... Di sini juga terdapat sebuah Kolej Kejururawatan Bukit Merah.
Selain itu juga, Bukit Merah turut dikenali sebagai satu-satunya tempat habitat asal ikan arowana atau Scleropages formousus ialah sejenis ikan hiasan yang sangat popular dan agak tinggi harganya yang berwarna keemasan yang dikenali sebagai species 'Malaysian Gold'. Ia juga dikenali sebagai 'Dragon Fish' atau 'Bony-Tongued Dragon" oleh sesetengah masayarakat cina. Ianya begitu diidamkan oleh kebanyakan pemelihara ikan hiasan. Ini kerana ia mampu mempamerkan keasliannya sebagai ikan hiasan klasik yang bermutu tinggi.
Jika berhajat untuk sampai ke sini berikut adalah jalan yang boleh diambil:
- Melalui Lebuhraya Utara-Selatan iaitu ke persimpangan tol Bukit Merah mengambil masa 35 minit dari Jambatan Pulau Pinang dan lebih kurang 1 jam dari bandaraya Ipoh.
- Melalui Jalan Persekutuan 1 dari Taiping pula melalui Jalan Kerian dan Kubu Gajah yang mengambil masa lebih kurang 45 minit perjalanan.
- Melalui Jalan Persekutuan 1 iaitu ke Bukit Merah Lake Town dari Pulau Pinang perlu melalui Jalan Kerian dan Jalan Kubu Gajah yang mengambil masa 75 minit dari Jambatan Pulau Pinang.