Assalamualaikum,
Dah bersarapan semua? Makan apa tadi? Kami sekeluarga tak sempat breakfast tadi sebab tergocoh-gocoh ke Parit Buntar. Ada appointment. Janji pukul 9.00 pagi so nak siap anak le bagai sampai tak sempat bersarapan. Punya le tahan lapar. Sib baik tak keluar bunyi-bunyian dalam perut hahah. Kot dia bergurindam harus naya heheh. Jam 11.20 pagi baru selesai berdiscuss. Adoi makkk...
Sebut Pasal Parit Buntar.... Meh saya ceritakan serba sedikit pasal daerah ni. Nak tahu tak sejarah dan kelebihannya????
Parit Buntar terletak di utara negeri Perak, bersempadan dengan Bandar Baharu, Kedah dan Nibong Tebal, Pulau Pinang. Parit Buntar terletak berhampiran dengan
Bagan Serai, Kuala Kurau, Tanjung Piandang dan Bagan Tiang.
Daerah Kerian Perak merupakan sebuah daerah yang terkenal
dengan jolokan Jelapang Padi Negeri Perak. Parit Buntar merupakan pusat pentadbiran Majlis Daerah Kerian (MDK). Oleh
itu setiap penduduk di Daerah Kerian ini akan bertumpu ke Parit Buntar
utuk sebarang urusan yang melibatkan agensi kerajaan.
Suatu masa dahulu, Parit Buntar juga tidak terkecuali daripada dijajah
oleh kuasa asing. Sekitar 1800, Parit Buntar pernah dijajah oleh kuasa
British. Nama Parit Buntar diambil sempena dengan nama seorang pemimpin
masyarakat yang terkenal pada suatu masa dahulu iaitu Tok Buntar.
Allahyarham bersama dengan pengikutnya pada masa itu telah membina parit
dari Sungai Kerian untuk dialirkan ke sawah-sawah padi. Pada waktu itu
orang ramai menggelar parit tersebut dengan panggilan Parit Tok Buntar.
Lama-kelamaan nama tersebut kemudiannya hanya disebut dengan panggilan
Parit Buntar sehinggalah sekarang.

Parit Buntar terletak di sebelah Utara Negeri Perak dan
bersempadan dengan dua buah negeri iaitu Bandar Baharu, Kedah dan juga
Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan Pulau Pinang. Selain terkenal
sebagai daerah yang subur dengan hasil buminya, ia juga turut terkenal
dengan keindahan alam semula jadinya. Berkeluasan kira-kira 90,000km
persegi, Daerah Kerian mempunyai tanah rata dan subur serta dua daripada
mukim yang terdapat di daerah ini merupakan kawasan yang berbukit iaitu
Gunung Semanggol dan Beriah.
Parit Buntar yang menjadi pusat
pentadbiran bagi Daerah Kerian merupakan sebuah penempatan yang semakin
membangun. Jika dahulu, Parit Buntar hanyalah sebuah pekan kecil, namun
lama-kelamaan, ia telah berkembang sehinggalah menjadi sebuah bandar
yang teratur serta membangun. Segala kemudahan lengkap tersedia di
Bandar Parit Buntar.
Parit Buntar terdiri daripada gabungan bandar lama
dan bandar baru. Pentadbiran Majlis Daerah Kerian di Parit Buntar ini mempunyai lapan buah mukim di
bawahnya. Antaranya ialah Parit Buntar, Tanjung Piandang, Kuala Kurau,
Bagan Tiang,
Bagan Serai, Gunung Semanggol, Beriah dan juga Selinsing.
Mercu tanda bagi Bandar Parit Buntar adalah Menara Jam yang terletak di
Pekan Lama Parit Buntar. Ia adalah lambang kemajuan dan kemakmuran
penduduk Parit Buntar. Menara jam ini dibina pada awal tahun 1961 dan
telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia Pertama iaitu Almarhum
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 24 Ogos 1961. Menara ini didirikan
oleh Lim Chong Chee PB.
Parit Buntar dihubungkan dengan
Bandar Baharu melalui jambatan yang melintasi Sungai Kerian.
Sungai ini juga mencatat sejarah apabila sekitar pertengahan tahun
1970an tragedi feri karam telah menyebabkan ramai yang terkorban.
Pinggiran Sungai Kerian yang
terletak di Pekan Lama Parit Buntar adalah sebuah taman rekreasi yang
sering menjadi kunjungan penduduk di sekitar Parit Buntar dan orang
luar. Indah dan dekorasinya menarik. Itu huraian ringkas yang dapat menjelaskan
keistimewaan Pinggiran Sungai Kerian. Selain untuk beriadah bersama keluarga, ada juga yang datang untuk
memancing. Bagi para belia dan kaki pancing, ramai yang akan berkunjung
ke Pinggiran Sungai Kerian pada waktu pagi dan petang.
Bagi penduduk sekitar seperti di kawasan kampung-kampung turut
menjadikan Parit Buntar sebagai lubuk mencari rezeki dan tempat untuk
mencari barang-barang keperluan seperti pakaian dan sebagainya. Dahulu, di tepi sungai ini terkenal dengan gerai makan yang dipanggil
Terapung. Ketika itu Terapung menjadi tempat tumpuan utama masyarakat di
Parit Buntar. Ketika dahulu, kedai jalan tepi sungai ini merupakan
tempat utama untuk orang-orang Parit Buntar membeli baju-baju sukan yang
berjenama dan juga barangan lain.

Terdapat beberapa kampung yang terletak berhampiran
dengan Bandar Parit Buntar antaranya ialah Titi Serong, Kampung Parit
Tok Ngah, Kampung Parit Haji Wahab, Tanah Kebun dan beberapa buah
kampung lagi. Kampung-kampung ini mempunyai sosioekonomi yang sama iaitu
melalui sektor pertanian. Penduduk kampung di sekitar Parit Buntar
menjadikan sawah padi sebagai sumber pendapatan utama mereka. Penanaman padi di sini dilakukan dua kali setahun. Malah jika
kena pada musimnya, pemandangan sawah padi yang menghijau dan ada
masanya kuning keemasan pasti membuatkan pengunjung merindui pemandangan
di sini.
 |
Sawah padi di Tanjung Piandang, Parit Buntar |
Bagi yang membesar di bandar pastinya tidak pernah merasa pengalaman
menikmati udara nyaman di pinggir sawah. Apatah lagi bermain lumpur
apabila air dari parit dibiarkan memenuhi sawah padi bila tiba musim
menanam ataupun menabur benih padi. Apa yang pasti pemandangan sawah
padi ketika itu seolah-olah lautan yang terbentang luas. Bagi masyarakat
di sekitar Parit Buntar, pemandangan sawah padi merupakan penyeri dan
juga sumber pendapatan penduduk setempat.
Selain daripada itu, penduduk yang tinggal di Tanjung Piandang dan Bagan
Tiang yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari Bandar Parit
Buntar menjadi pelantar utama bagi pelaut. Proses jual beli juga
dilakukan di sini. Kebanyakan penduduk di sini menjadi nelayan pesisir
pantai dan laut dalam. Peralatan yang digunakan adalah seperti pancing,
jala, pukat dan sampan bagi tangkapan yang dilakukan di pesisir pantai.
Bagi nelayan laut dalam pula, penggunaan bot-bot besar adalah lebih
utama selain penggunaan pukat pelbagai jenis sama ada kecil atau besar.
Hasil tangkapan yang banyak selalunya dijual dan sedikit diperuntukkan
untuk makan sendiri.
Selain daripada itu, penduduk di sekitar
Parit Buntar juga menjadikan sungai sebagai punca rezeki selain sebagai
hobi pada masa lapang. Antara sungai yang menjadi tumpuan penduduk ialah
Sungai Kerian dan Sungai Kurau. Peralatan yang digunakan untuk
menangkap ikan ialah pancing, bubu dan tukun.
Hubungan antara penduduk sekitar dengan Bandar Parit Buntar tentunya
melalui hubungan sosioekonomi. Selain daripada mereka datang ke Parit
Buntar untuk membeli belah, ada juga penduduk sekitar yang bekerja di
situ. Bandar Parit Buntar menempatkan pelbagai premis jualan, bangunan
kerajaan, institusi perbankan, hospital dan sebagainya. Maka segala
urusan tertumpu di bandar ini.



Pantai Ban Pecah yang terletak di kawasan Parit Buntar
dan merupakan sebuah kawasan istirehat yang terkenal di kalangan
penduduk setempat. Kehalusan pantai serta airnya yang biru menjadi daya
tarikan utama kepada pengunjung. Pantai Ban Pecah yang berada di laluan Selat Melaka sangat popular di
kalangan kaki pancing. Sebuah pelantar memancing telah dibina khas
untuk mereka berteduh dari terik matahari. Bot-bot nelayan yang banyak
berlabuh di sekitar Pantai Ban Pecah menandakan bahawa aktiviti
menangkap ikan turut dijalankan di sini. Antara jenis-jenis ikan yang
boleh di dapati di Pantai Ban Pecah ialah ikan ketuka, ikan belukang dan
ikan sembilang.
Dahulu, jarak Pantai Ban Pecah dengan kawasan penempatan penduduk
kampung amat jauh, iaitu lebih daripada 200 kilometer. Namun kononnya
akibat terkena sumpahan, kawasan Pantai Ban Pecah menjadi semakin luas.
Menurut cerita penduduk sekitar di sini, terdapat sepasang anak yatim
yang telah dijaga oleh bapa saudara mereka. Mereka mempunyai harta
peninggalan keluarga yang banyak. Namun, kerana sikap tamak telah
menguasai diri, bapa saudara mereka telah melanggar amanat yang telah
dipertanggungjawabkan.
Merasakan diri mereka teraniayai, anak-anak yatim ini telah berdoa
meminta pembalasan daripada Tuhan. Mereka juga bersumpah kawasan Pantai
Ban Pecah akan menjadi luas mengikut banyaknya harta mereka yang telah
digunakan. Tidak lama selepas itu, hakisan tanah telah berlaku di
sekitar kawasan pantai dan menenggelamkan sawah-sawah padi serta
berpuluh-puluh buah rumah penduduk kampung termasuk bapa saudara mereka.
Kini jarak antara Pantai Ban Pecah dengan kawasan penempatan penduduk
tidak pun sampai 50 kilometer. Ketika berlakunya Tsunami pada 2006,
Pantai Ban Pecah turut terjejas dan mengalami kemusnahan. Namun,
kerosakan yang berlaku tidak sehebat kemusnahan di Pulau Pinang.
Salah sebuah sekolah yang terdapat di Parit Buntar ialah Sekolah
Menengah Kebangsaan Parit Buntar yang kini dikenali dengan nama Sekolah
Menengah Kebangsaan Panglima Bukit Gantang yang telah dibina sekitar
tahun 1969 bersempena dengan nama Dato’ Panglima Bukit Gantang Tuan Haji
Abdul Wahab bin Toh Muda Aziz iaitu Menteri Besar Perak yang pertama
Balai Polis Parit Buntar pula dibina sejak tahun 1929. Pada asalnya bangunan
balai polis ini hanya dibina menggunakan papan sahaja. Lama-kelamaan,
barulah bangunan yang ada sekarang didirikan. Pada 13 Mac 1980,
pengubahsuaian daripada bangunan papan kepada batu bata dimulakan. Balai
Polis Parit Buntar telah dirasmikan oleh Y.A.S Tuan George Boucher,
KMN, Pesuruhjaya Kanan Polis II, Ketua Cawangan Khas Perak pada 11 Mei
1985 bersamaan 21 Syaaban 1405.
.jpg) |
Hospital Besar Parit Buntar |
Hospital Parit Buntar merupakan satu-satunya hospital yang terdapat
dalam Daerah Kerian. Hospital ini menyediakan pelbagai jenis rawatan
kepada pesakit dan ia mula beroperasi pada sekitar tahun 1930 lagi.
Hospital ini banyak berjasa kepada penduduk sekitar Parit Buntar sejak
sekian lama. Bangunan asal hospital ini merupakan bangunan Sekolah
Methodist Parit Buntar.
Bagi penggemar Char Kueyteow boleh le singgah Gerai Char Kueyteow Along yang terletak di Kampung Kedah, Parit Buntar berdekatan dengan susur masuk ke pekan Parit Buntar. Diarang buka sekitar jam 6.00 petang. Sure berbaloi sebab memang terbaik di Parit Buntar dan kawasan sekitar. Nak makan otak-otak pun ada tapi ikut nasib lah yer sebab cepat habisnya.
Antara anak kelahiran Parit Buntar yang berjaya pada masa kini adalah Mohd Murali Abdullah yang merupakan Pengarah Terbaik Drama di Anugerah Skrin (ASK) 2010 dan 2008. Kisah perjalanan hidupnya dari awal boleh
dibaca di sini.
Selain daripada itu seorang lagi yang berjaya ialah Abu Hassan atau lebih dikenali sebagai Romzy. Beliau merupakan pemilik Romzy Studio yang menawarkan perkhidmatan menyewa peralatan dan pakaian pengantin. Butik pertamanya telah dibuka sejak tahun 1991 lagi di pekan Parit Buntar sering menjadi pilihan artis, VIP dan orang ramai. Memiliki cawangan di Kedah dan Perlis, Romzy Studio turut menerima tempahan pelanggan dari serata negeri di Pulau Pinang dan Kedah selain dari Perak dan Perlis.
Mufti Perak (kesayangan hamba), Dato' Seri (Dr) Haji Harussani Zakaria juga merupakan anak kelahiran Parit Buntar, Perak. Beliau dilahirkan pada 8 April 1939 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Kedah, Parit Buntar. Kini beliau menjadi Mufti yang amat disegani masyarakat terutama di Perak ni :)
Itulah serba sedikit pasal Parit Buntar yang dapat saya kongsikan bersama. Nak tahu lebih lanjut leh le rujuk
di sini. Ni dah cuti sekolah ni boleh le bawa anak-anak jalan-jalan ke Parit Buntar dan