Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Isnin, 18 Jun 2012

Tumbuhan Herba dan Kegunaannya


Saya dah kongsikan resepi Asam Pedas kat sini. Tapi rasanya nak pulak bercerita tentang bahan-bahan yang dimasukkan dalamnya tu. Herba-herba yang digunakan serta khasiatnya. Antaranya:


Pokok bunga kantan


Bunga Kantan - atau juga dikenali sebagai bunga siantan merupakan sejenis pokok saka herba.
Bunga pokok ini yang berwarna merah muda banyak digunakan sebagai gubahan hiasan manakala tunas bunga ini dijadikan bahan memasak dalam masakan Melayu seperti laksa dan nasi kerabu. Dibungkus seperti sayuran dan tak sesuai diletakkan dalam plastik. Tumbuhan ini mengandungi banyak bahan antioksida yang amat baik untuk kesihatan.

Akhir-akhir ini pokok kantan mendapat sambutan dalam pilihan tanaman landskap selain dari menjadi perencah masakan tradisional, bunganya juga popular dijadikan seni susunan bunga (Ikebana).Bunganya sangat cantik berwarna merah jambu kemerahan lebih cantik bila bunganya mekar

Selain daripada digunakan dalam masakan ia juga mempunyai bahagian-bahagian yang berguna. Contohnya:
  • Batang - mengubati penyakit bengkak-bengkak
  • Buah - menambah selera makan, mengurangkan rasa kurang bermaya dan sebagai ubat bagi menghilangkan lendir dan kahak pada tekak.
  • Ubi - perisa dalam makanan
  • Bunga - bahan gubahan jambak-jambak bunga
  • Biji - mengubati sakit telinga
Petua lain bunga kantan ialah untuk:
1) Mengilangkan bau badan - Caranya adalah, ambil beberapa batang pokok kantan segar, potong batangnya pendek-pendek dan ditumbuk hingga lumat.  Rebus hingga mendidih dan biarkannya sejuk.  Air rebusan tersebut bolehlah digunakan untuk mandi.  Insyaallah ia akan dapat menghilangkan bau badan yang kurang enak.
2) Awet muda - Dengan memakan bunga kantan akan membuatkan kita akan awet muda.
3) Sakit telinga - bunga kantan dikatakan boleh digunakan untuk menghilangkan masalah ini. Caranya ialah dengan merebus buah kantan selama beberapa minit. Selepas airnya disejukkan, titikkan air tersebut ke dalam telinga. Dikatakan jika diamalkan selalu, bukan sahaja setakat melegakan kesakitan akibat bengkak, malah mampu mengatasi masalah telinga berair.
4) Menguatkan tenaga batin lelaki - Dikatakan buahnya yang masak boleh digunakan untuk membantu meningkatkan tenaga batin dengan cara merebus buahnya yang masak dan meminum air rebusannya dan pastikan bertanya kepada pakar atau pengamal perubatan tradisional terlebih dahulu sebelum meminumnya kerana tanpa sukatan yang betul badan anda akan terasa kepanasan dan mungkin menimbulkan masalah lain.
5) Luka dibadan - Anda bolehlah merebus daun kantan. Air rebusan daun yang masih suam dikatakan boleh digunakan sebagai air pencuci luka dengan cara melumurkannya ke seluruh bahagian luka.


Daun kesum

Daun Kesum -  atau Daun Laksa ialah sejenis tumbuhan yang banyak terdapat di ASEAN. Nama saintifiknya Persicaria odorata atau Polygonum minus huds dan berasal dari keluarga Polygonaceae. Ia mudah ditanam, khususnya di kawasan-kawasan lembap yang berair. Daunnya digunakan sebagai ramuan untuk mengharumkan masakan tempatan seperti laksa dan masak asam pedas. Ianya berbau wangi dan dapat menghilangkan bau hanyir dalam hidangan.

Selain digunakan di dalam ramuan masakan kesum juga mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Ia mujarab untuk mengubati masalah perut tidak hadam dan masalah kelemumur. Untuk melegakan masalah perut tidak hadam. Daun kesum direbus kemudian airnya diminum. Untuk merawat masalah kelemumur pula, daun kesum ditumbuk kemudian diperah. Air perahan itu dicampur dengan sedikit air sebelum digosok kekulit kepala. Biarkan 3-5 minit kemudian bilas dengan air bersih

Petua lain daun kesum:
1) Menghilangkan panau - Campurkan secekak daun kesum dengan sedikit minyak tanah. Gosokkan pada bahagian yang mempunyai panau setiap hari sehingga panau itu sembuh.
2) Mengekalkan stamina, mengekalkan kesihatan dan awet muda -  Makan pucuk daun kesum sebagai ulam setiap kali makan nasi.



Pokok halia

Halia - Halia merupakan rempah penting yang diperniagakan di dunia bermula pada abad ke-5 masihi. India adalah pengekspot halia terbesar di dunia manakala halia dari Jamaica adalah yang terbaik dari segi kualitinya kerana mempunyai bau yang wangi dan rasa yang sedap. Halia merupakan tanaman berakar serabut dan senang dijaga. Ia cepat membiak di kawasan tanah yang lembab dan mendapat sinar matahari yang banyak. Tumbuhan ini mampu mencapai ketinggian sehingga 1.5 meter.

Halia mengandungi komponen minyak beruwap dan tidak beruwap. Gingerol, shogaol dan resin adalah kandungan sebenar halia yang terdapat di dalam minyak oleoresin. Khasiat tumbuhan halia yang selalu digunakan bagi merawat penyakit dalaman seperti melancarkan aliran darah, muntah-muntah, sakit kepala, selsema, terseliuh, batu karang, asma, kelemumur, kolestrol tinggi, sakit pinggang, cirit-birit dan mati pucuk. Artikel pasal halia boleh dibaca disini juga yer.  

Petua lain halia:
1) Menghilangkan panau - Tumbuk halia sebesar ibu jari hingga lumat.Tempelkan halia ke bahagian kulit yang berpanau selama 15 hingga 20 minit. Amalkan selalu.


Pokok lengkuas

Lengkuas - Lengkuas merupakan sejenis rizom dengan kegunaan masakan dan perubatan, dan banyak digunakan di Asia Tenggara. Rupanya hampir sama dengan halia. Lengkuas merupakan tanaman tempatan di Asia Tenggara. Nama saintifiknya Alpinia galanga daripada famili Zingiberaceae. Pokok lengkuas tidak asing bagi masyarakat dan sering ditanam di belakang rumah dalam konsep parak (home garden). Rumpun dan bunganya yang menarik kini mula ditanam sebagai tanaman hiasan di sekitar taman persendirian.

Rizom lengkuas sering digunakan sebagai penyedap rasa dalam pelbagai resipi masakan tradisional   terutama rendang daging dan kari. Rizom ini juga digunakan dalam ramuan sambal seperti sambal daging, ikan kering dan sos. Selain penyedap rasa, rizom ini dapat menghilangkan bau hanyir daging atau ikan. Bunganya juga dibuat ulam atau dijadikan penyedap rasa dalam kerabu sayuran. Rizom dan daunnya juga digunakan sebagai ramuan dalam mandi daun selepas bersalin. Rizomnya ditumbuk dan disental di seluruh badan bagi mengawal jangkitan penyakit kulit seperti kurap dan panau. Rizomnya dikatakan dapat mengubati sakit perut dan dapat mengeluarkan angin serta gas dalam usus perut. Rizom juga dijadikan ramuan mandi selepas bersalin. Lengkuas biasanya digunakan dalam masakan untuk menambah aroma seperti masakan pedas, laksa penang, sup singgang dan boleh digunakan untuk masakan goreng. Dalam bidang perubatan, lengkuas boleh melegakan sakit perut, selsema dan agen antibakteria.

Petua menggunakan lengkuas:
1) Menghilangkan panau - Tumbuk beberapa ketul lengkuas dan perah airnya. Sapu air lengkuas pada kulit yang terkena panau. Ketika mengamalkan petua ini hendaklah tidak memakan sebarang lengkuas.
2) Menghilangkan panau 2 - Tumbuk beberapa helai daun lengkuas, ambil airnya dan sapukan pada tompok-tompok panau. Lakukan beberapa kali. Untuk lebih mempercepatkan kesannya, elakkan mengambil makanan yang menggunakan lengkuas.
3) Menghilangkan selesema bayi - Ambil 2 ulas bawang merah, sepotong lengkuas (agak-agak sama banyak dengan bawang merah) dan minyak masak. Tumbuk lumat bawang merah dan lengkuas kemudian campurkan dengan minyak masak. Selepas itu bolehlah di letakkan di ubun-ubun anak. Minyak masak mengelakkan kulit anak mengelupas sekiranya air daripada campuran tersebut terkena kulit bayi.


Bunga kunyit



Kunyit - Cucuma domestica val. Adalah dari keluarga Zingiberaceae. Tumbuhan ini dipercayai telah lama ditanam di India sejak zaman silam lagi dengan nama kunyit ini wujud dalam bahasa sanskrit. Walaubagaimanapun, sekarang ini kunyit umumnya dijumpai diserata rantau tropika dan beberapa kawasan subtropika. Nama kunyit boleh didapati dalam berbagai bahasa di Asia. Dalam Sankrit ia dipanggil Harida, Arab:Kukum, Tamil:Manja, Inggeris:Tumeric, Cina:Kiang-hoang. Jawa:Kunyir. Daripada perkataan Arab kita dapat sebutan Latin:Cucuma.

Kunyit (Curcuma longa) merupakan sejenis rempah yang banyak digunakan dalam kari dan masakan lain Asia Selatan. Kunyit juga digunakan untuk memberi warna kuning pada masakan. Selain kegunaan dalam masakan, kunyit juga terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu dan India dengan khasiatnya sebagai ubat pembersih dalaman badan dan mencantikkan kulit. Di samping itu daun serta bunga kunyit bagi sesetengah masyarakat Melayu memang digemari sebagai ulam.
 
Petua kunyit:
  1. Parut sedikit kunyit dan perah airnya. Amalkan meminumnya.
  2. Parut dua ketul isi kunyit dan seketul lempoyang. Kemudian bubuhkan setengah cawan air hingga sebati. Tapis dan campurkan dengan satu sudu besar air limau nipis dan madu. Minum selama tiga hari berturut-turut. Selain menyihatkan bahagian dalam tubuh, ia juga mencantikkan kulit.
  3. Memanaskan Badan: Tumbuk beberapa ketul kunyit hingga hancur. Campurkan dengan sedikit air dan tapiskan. Minum airnya tiga kali seminggu.
  4. Daun Kunyit: Sekiranya anda diserang pening atau sakit kepala, ramas beberapa helai daun kunyit bersama sedikit air. Selepas itu sapulah di kepala hingga rata.
  5. Isi kunyit dapat menyembuhkan penyakit senggugut terutamanya apabila dimakan mentah sebagai ulam bersama nasi. Kunyit juga melancarkan perjalanan darah dan mencegah kulit daripada cepat berkedut.



Serai - Serai ni ada 2 jenis satu serai wangi untuk herba mandian dan satu lagi serai makan. Serai makan (nama botani: Cymbopogen Citratus) adalah tumbuhan herba malar hijau yang dikenali juga sebagai sereh makan (Indonesia), takrai (Thailand) dan lemongrass (Inggeris). Tanaman serai makan (cymbopogen citratus) dipercayai berasal dari Sri Lanka dan telah tersebar luas di kawasan tropika, termasuk Malaysia, Indonesia, Tanzania, Brazil, Guatemala dan China. Tumbuhan ini selalunya digunakan dalam masakan di kalangan masyarakat Asia terutamanya masakan Thailand, Kemboja,Vietnam) dan Caribbean.

Tahukah anda yang air serai mampu melegakan penyakit lelah? Caranya ialah dengan hancurkan sedikit sebatang serai. Kemudian, masukkannya ke dalam masakan anda. Khasiatnya ialah ia akan membantu pernafasan anda serta boleh mencairkan lendir.
Selain itu serai ini juga berkhasiat dalam 
1) Merawat sesak nafas - 10 batang serai dicuci bersih, diketuk hancur dan rebus dengan 2 gelas air yang telah dicampur sesudu besar gula merah. Biarkan mendidih dan tinggal anggaran 1 gelas airnya. Sejukkan sebelum ditapis dan minum. Sebaiknya lakukan 3 kali seminggu.
2) Lawaskan kencing - Segenggam akar serai dan 10 helai daunnya dibersihkan dan kemudian direbus bersama 4 gelas air. Biarkan mendidih dan airnya tinggal dalam anggaran 2 gelas.
Setelah suam, air rebusan ini diminum 2 kali sehari.
3) Merendahkan kelestrol - 3-4 batang serai yang telah dibuang akar dan daunnya diracik-racik dan direbus. Ambil segelas air rebusan dan minum perlahan-lahan dan sedikit demi sedikit 2 kali sehari iaitu setiap pagi dan malam. Dalam beberapa minggu sahaja paras kolestrol dalam badan akan berkurangan Insyaallah.




Asam Jawa -  atau celagi ialah sejenis pokok saka malar hijau yang menghasilkan buah asam untuk kegunaan masakan harian di Malaysia. Pokok asam jawa adalah tumbuhan semula jadi di benua Afrika. Kini asam jawa telah tersebar luas ke serata dunia dan termasuklah yang ada di Malaysia. Ia juga boleh menjadi pokok hiasan selain ditanam sebagai pokok tanaman.

Nama lain bagi asam jawa adalah Asam, Asam Jawa, Asam Kemal, Asam Kuning (Melayu); Indian date, Sweet Tamarind, Tamarind (English); Anbli, Ambli, Chinh, Imalii, Tamarulhindi (India), Da Ma Lin; Loa Wang Zi (China), Bakham Somkham (Thailand), Me chua (Vietnam); Sempodok (Filipina), Tamarindo (Jepun); dan Khaam, Kok mak Kham (Laos).

Asam jawa merupakan sejenis ramuan masakan yang terkenal dikalangan masyarakat Melayu. Biasanya asam jawa akan dilarutkan ke dalam air dan hanya airnya digunakan dalam masakan. Hampasnya pada kebiasaannya dibuang. Selain digunakan dalam masakan, asam jawa juga boleh dimakan begitu sahaja ataupun dengan ditambah dengan gula. Selain itu asam jawa juga digunakan secara tradisional bagi mengubat batuk dan perit tekak. Pucuk muda mentah atau yang telah dicelur, dimakan dengan budu, cencaluk, sambal belacan atau pencecah lain dengan nasi. Buah muda asam jawa yang dikupas kulit dan ditumbuk kasar atau diracik kecil, dicampurkan dengan sambal belacan, sesuai dimakan dengan nasi. Rasa buah asam jawa adalah masam-masam manis manakala daunya berasa sedikit kelat dan masam.

Antara petua yang menggunakan asam jawa adalah:
1. DEMAM PANAS - Bagi anak-anak kecil yang kadang-kala mengalami demam panas ambillah segenggam asam jawa yang kemudiannya diramas di dalam semangkuk air. Kemudian air tersebut dilumurkan di atas kepala bayi anda sambil disertakan selawat .
2. SAKIT PERUT - Ambillah segenggam asam jawa yang kemudiannya diramas dan disapukan air tadi di perut dan kemudian biarkan seketika sebelum dibilas dengan air yang bersih. Cara ini sesuai diamalkan oleh kanak-kanak dan orang dewasa.
3. SAKIT ASMA - Bagi yang sakit asma pula anda rebuslah dua (2) potong kulit asam jawa dengan satu (1) liter air sehingga ia mendidih kemudian di ditapis. Minumlah air rebusan tersebut sebanyak dua (2) kali sehari.
4. BATUK/PERIT TEKAK - Selain itu asam jawa juga digunakan secara tradisional bagi mengubat batuk dan perit tekak. Caranya dengan mengambil air asam jawa, dicampukan bersama gula dan air. kemudian ditapis, minum seperti biasa.
5. LUKA/BISUL - Manakala daun muda asam jawa juga boleh ditumbuk lumat dan di tampal untuk mengubati penyakit reumatisme, luka dan bisul.
6. ALERGI/BIDUREN - Ambillah 2-3 golong buah asam jawa yang telah tua, garam secukupnya, 1/4 senduk kapur sirih. Caranya semua bahan tersebut direbus dengan 3 gelas air sehingga mendidih hingga tinggal 2 gelas dan disaring. Kemudian diminum dua (2) kali sehari, pagi dan petang.
7. BENGKAK DISENGAT LIPAN ATAU LEBAH - Sediakan 3-5 biji asam jawa dan minyak kayu putih secukupnya. Biji asam jawa tadi ditumbuk halus. Kemudian bahagian yang bengkak itu dibersihkan terlebih dahulu dengan kain dan dibasahkan kain tersebut bersama dengan minyak kayu putih. Selepas itu taburkan atau tempelkan bahan tersebut diatas bahagian anggota yang bengkak.


5 ulasan:

  1. taniah atas catatan dapat berkongsi maklumat betapa banyak yang mendapat manafaat teruskan usha gigih jenarasi muda faham selain untuk penyedap selera bolih di gunakan untuk rawatan

    BalasPadam
  2. terima kasih cik masdin. Insyaallah apa yang termampu saya akan cuba buat sebaik mungkin. selain dapat berkongsi dgn sahabat kat sini dapat gak tambah pengetahuan untuk kami sekeluarga. Andai ada yang terkurang saya mohon tunjuk ajar dari kalangan yang lebih otai macam cik masdin ni yer untuk tambah ilmu pengetahuan kami di sini :)

    BalasPadam
  3. tq on those info's i need a favor & hope you can assist me. I'm looking for a halia, limau purut, serai, daun laksa & pandan. i'm planning a documentary & hope you can guide me somewhere

    appreciate all the info.

    adam

    BalasPadam
    Balasan
    1. tq adam 4 visiting us. what i'd share here is something that i can find in internet (from every place i can go hihi) and depends on my free time. you can visit wikipedia or some other place about herbs.

      good luck on you documentary planning. :)

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...