Ahad, 30 September 2012

Chocolate Fudge Topping 3


Ni satu lagi topping Coklat Kek yang enak dan mudah dibuat. Saya dapat resepi ni masa cari resepi Kek Coklat Mayonis yang enak tu. Memang mudah sangat. Main campur-campur je segala bahan yang ado hehh. Kira leh buat ler sambil tutup mata heheh.




Chocolate Fudge Topping 3



Bahan-bahan
  • 130g coklat masakan
  • 3 sudu besar susu pekat
  • 1/4 cawan campuran susu cair dan air
  • 2 sudu besar mentega
  • beberapa biji badam yang telah dibakar sebagai hiasan

Caranya

1. Cairkan coklat masakan dan butter di dalam periuk.

2. Tambahkan campuran susu cair dan air. Gunakan api perlahan, kacau selalu.

3. Tutup api bila coklat cair sempurna. Terus tuang ke atas kek.



Doa Qunut Yang Dibaca Dalam Solat Fardhu Subuh


Doa Qunut dibaca saban kali kita mengerjakan solat fardhu Subuh. Tapi ada gak antara kita yang tak tahu makna disebalik doa yang dibaca tu. Kalau tahu pun terlupa kan... Almaklumlah bukan dalam bahasa kita jadi biasanya kita amalkan apa yang perlu sahaja :) So saya nak ambik kesempatan ni untuk kongsikan makna disebalik doa yang kita baca tu... Sekadar pengetahuan dan ingatan untuk diri sendiri juga.



Jumaat, 28 September 2012

Bahan Masakan: Krimwell




Apakah 'krimwell'? Tekstur dan warnanya adalah seperti lemak sayuran (vegetable shortening) yang diperbuat daripada kelapa sawit. Sama seperti tekstur marjerin tetapi berwarna kuning pucat. Teksturnya lebih mild berbanding shorteing. Ia tidak perlu diletakkan di dalam peti sejuk dan selalu dijual di dalam bekas plastik lutsinar yang bertutup kemas. Krimwell juga dikenali sebagai creamwell dalam bahasa Inggeris. Salah satu jenama lain yang popular adalah marvello (sekitar awal 1990-an).


Krimwell lebih sesuai untuk buat buttercream. Krimwell yang agak keputih-putihan memudahkan aising diwarnakan. Anda boleh gunakan warna biasa atau esen di dalam botol. Hanya beberapa titik diperlukan. Bila membahagikan aising, pastikan secukupnya saja kerana anda boleh menambah lagi jika perlu. Sekiranya gemarkan aising yang manis, boleh tambahkan gula aising.

Surah Amalan Untuk Ibu Mengandung



Khamis, 27 September 2012

Payaz Pakora / Pakora Bawang 2 Puteri. Sedap... Juadah India nih


Kitarang sekarang ni dah cuba kurangkan memasak menggunakan tepung gandum. Sebabnya tepung gandum tu berkarbohidrat so semenjak dua menjak ni belajar le guna tepung kacang dhall/kuda yang disujeskan oleh Mak Long kat maklongsktichen tu. Nak sihat kena le berkorban kan heheh.


Kebetulan pulak tak lama sebelum tu ada le tersengaja beli buku masakan ala mamak ni masa mengantorkan Sos Char Kueyteow 2 Puteri ke Mydin Subang Jaya tu hari. So masa belek-belek buku tu nampak le resepi yang guna tepung kacang kuda nih. Apa lagi bila dah beli tepung kacang kuda ni terus cuba. Heheh tak sangka sedap gak le pakora bawang nih. Kat India panggil Payaz Pakora. Rupanya lebih kurang jemput-jemput tapi bahan ada yang tak sama. Sikit-sikit macam Vadei pun ada. Isi dalamnya gebu je tapi kat luar rangup. Best! Rasa manis asli dari bawang yang saya dadu halus tu memang best. Akibatnya berkali-kali le saya buat. Sib baik Mr Hb jenis tak kisah so lagi ligat le tangan ni mempakora selalu.


Masa skodeng hal kat internet pasal pakora ni baru tahu yang dia ni ada banyak jenis dan adalah merupakan makanan kegemaran rakyat di India sana nun. Glamer sesangat katanya. Paling terkenal Pakora Palak yang dibuat dari bayam. Ada yang gak jenis Pakora Sayuran, Pakora Cheese (paneer pakora) dan macam-macam lagi le. Nanti-nanti pulak saya kongsi versi yang lain tu. Kali ni saya kongsikan resepi Pakora Bawang dulu ek. Teringin gak nak try pakora cheese heheh.



Di Britain, pakora popular sebagai snek makanan segera, yang boleh didapati di restoran India dan Pakistan  sebagai alternatif kepada kentang goreng atau kebab. Antara Islam Cape Melayu Afrika Selatan, pakora dikenali sebagai dhaltjies, dan biasanya dimakan sebagai pembuka selera semasa berbuka puasa, atau sebagai pembuka selera untuk majlis perkahwinan, kelahiran, atau majlis-majlis yang serupa. Di selatan negeri India, persediaan itu dikenali sebagai bajji bukannya pakora. Pakora nih juga glamer kat seluruh Pakistan. Pakora juga ada dalam masakan Afghanistan. Di China, mereka dipanggil pakoda. Pakora snek penting dari benua kecil India dan biasanya dilengkapi dengan chutney (sayuran segar yang dikisar bersama bahan lain) dan teh asam jawa .



Makan pakora ni tak leh bebanyak sebab cepat kenyang. Agak-agak 3 ketul comel-comel pun dah terasa kat perut ni. So kalau keluarga kecik macam saya ni sebaiknya buat tu sikit-sikit le ek. Biasanya satu adunan ni saya buat separuh-separuh. Masak separuh dulu baki simpan dalam peti sejuk. Kang lapar sambung masak balik heheh. Tapi sejak menjak perasan dah pro ni masak pun dah tak ikut sukatan dah. Main letak je heeh... Nampak, mana le tak susah kalau orang tanya sukatan. Main belasah je. Janji bahan dan syarat betul sudah. Jumlah ikut suka hahah....


PAKORA BAWANG

By: Asamgaram2puteri
Sumber: Chef Sarji, Masakan Mamak

Bahan-bahan
  • 2 sudu teh minyak sapi
  • 1/4 sudu teh tepung naik sendiri
  • 1 cawan tepung kacang kuda
  • 1/2 cawan tepung beras
  • 3 labu bawang besar - hiris. Saya dadu nipis
  • 1 biji kentang - hiris tapi saya dadukan je
  • 1/2 inci halia - kuas dan hiris
  • 4 biji cili hijau - hiris
  • 1 sudu teh Cili Boh 2 Puteri - resepi asal guna serbuk cili
  • 1 batang daun ketumbar - hiris
  • 1 sudu teh garam
  • 1 1/2 cawan air
  • 2 cawan minyak - untuk menggoreng

Caranya
1. Gaulkan minyak sapi dengan tepung naik sendiri sehingga kembang.

2. Masukkan semua bahan kecuali minyak dan gaul adunan sehingga sebati. Perapkan selama 20 minit.

3. Panaskan minyak dan sudukan aduanan ikut besar mana kita nak. Goreng sehingga masak.

4. Dah siap dah heheh.


Cuba lah. Memang sedap. Sesekali ubah rasa ke menu mamak pulak apa salahnya kan :) Tak yah cicah-cicah... Makan gitu je sedappp.

Rabu, 26 September 2012

Sejarah & Pelancongan: Kuala Kangsar, Perak


Kuala Kangsar adalah merupakan Bandar DiRaja dan bersejarah bagi negeri Perak Darul Ridzuan. Kuala Kangsar juga merupakan kawasan pelancongan yang mempunyai pelbagai produk-produk tempatan dan IKS (Industri Kecil dan Sederhana) yang menarik. Terletak kira-kira 48 kilometer ke utara dari Ipoh. Kuala Kangsar mendapat nama bersempena pokok kangsar yang tumbuh di tebing sungai.


Ada gak versi yang ceritakan Kuala Kangsar kat Negeri Perak ni lahir dari aliran air yang menebing di Sungai Perak daripada puncaknya di Ulu Belum hinggalah ke muaranya di Selatan Melaka. Dari zaman awal lagi orang tertarik dengan keistimewaan sungai ini lalu memudikinya sambil mencari tebing yang baik untuk mendarat. Mereka adalah peneroka yang datang membuka tempat baru dan berinteraksi dengan pribumi hingga menjadi orang Perak seperti yang ada sekarang.


Mereka memudik dengan sampan hingga sampai ke suatu anak  sungai di tebing kiri Sungai Perak. Dalam kiraan mereka kuala sungai ini adalah bersempena, lebih-lebih lagi tebingnya rendah, tanahnya subur dan pemandangannya sungguh indah. Kebetulan mengikut kiraan mereka kuala sungai ini ialah yang ke seratus kurang satu, atau 'Kuala Kurang Sa'. Kononnya itulah nama asalnya, KUALA KURANG SA dan kemudiannya disebut Kuala Kangsar sahaja..

Kenderaan berkuda di Kuala Kangsar akhir abad ke-19.

Walaubagaimanapun, Kuala Kangsar sebenarnya adalah satu lokasi yang  sangat baik, bukan sahaja sesuai sebagai tempat mendarat, tetapi memang baik untuk penempatan, untuk bercucuk tanam, untuk pusat perniagaan. Di daratnya seseorang boleh meneruskan perjalanan menyusur sungai hingga ternampak Gunung Pondok, iaitu  satu mercu tanda yang memandu orang dalam perjalanan ke Larut ataupun dari Larut.


Berdasarkan keistimewaan ini kita membuat kesimpulan bahawa Kuala Kangsar dan kawasan di sekelilingnya adalah tempat tua, sudah berabad-abad lamanya didiami orang.

A photo of Clifford School taken in 1897. (Source: Clifford School Kuala Kangsar Facebook page)

Clifford School as it stands today. (Photo: Raja Chulan Raja Dato' Ahmad Tajuddin)

Kuala Kangsar juga merupakan sebuah daerah yang ditadbir oleh Pejabat Daerah Kuala Kangsar dan bagi kawasan perbandaran ditadbir oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar. Pusat pertumbuhan utama daerah adalah Bandar Kuala Kangsar, Sungai Siput (U), Padang Rengas, Manong, Sauk, Karai, Salak, Lintang dan Lasah. Bandar Sungai Siput (U) merupakan pusat pertumbuhan kedua terbesar selepas Bandar Kuala Kangsar.



Aktiviti ekonomi utama adalah terdiri daripada aktiviti pertanian.


Terdapat 9 buah Mukim di dalam kawasan Daerah Kuala Kangsar iaitu:
  1. Mukim Chegar Galah
  2. Mukim Kota Lama Kiri
  3. Mukim Lubok Merbau
  4. Mukim Kampung Buaia
  5. Mukim Senggang
  6. Mukim Sayong
  7. Mukim Kota Lama Kanan
  8. Mukim Sungei Siput
  9. Mukim Pulau Kemiri


Tempat-tempat menarik yang boleh dilawati di Kuala Kangsar yang punya nilai sejarah yang tinggi ialah antaranya:

1) Masjid Ubudiah


Masjid yang terindah di Negeri Perak ini terletak di sebelah kawasan permakaman Di Raja Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Masjid ini dibina di atas kehendak Sultan Idris Murshidul Azam Shah, Sultan Perak ke-28 (1887-1916) kerana menunaikan nazar baginda.

Kerajaan Negeri Perak kemudian mengarah Colonel Huxley dari Pejabat Kerja Raya di Kuala Lumpur supaya merangka sebuah pelan masjid yang hendak didirikan itu. Tugas membuat pelan rekabentuknya telah diberikan kepada Hubbeclk, seorang arkitek kerajaan yang menggunakan seni reka Moor dan tugas melaksanakan bangunan itu pula diserahkan kepada Caufield sebagai ketua jurutera Negeri Perak ketika itu.

Pelannya telah disediakan oleh Pereka bentuk Kerajaan Negeri-Negeri Melayu, Arthur Benison Hubback dibawah penyeliaan W. S. Huxley. Ia berbentuk octagon dan mempunyai 4 buah menara setinggi 126 kaki serta dikelilingi oleh kubah-kubah di bahagian dalam yang mana tiap-tiap satu garis pusatnya berukuran sepanjang 60 kaki. Bahagian-bahagian dalam dinding dan lantai masjid ini menggunakan batu marmar berwarna merah dan putih yang dibawa khas dari Itali dan London.

Bentuk dinding masjid ini memperlihatkan sebuah bangunan berkubah induk besar di tengahnya serta dikelilingi dengan empat buah anjung yang mengandungi sebuah kubah pada pertengahan setiap anjung, lapan buah menara induk dan enam belas menara apit. Jumlah kubah dan menara dikatakan mengambil sempena aturan gelaran Orang Besar-Besar iaitu Orang Besar Ampat, Orang Besar de-lapan dan Orang Besar Enam Belas. Keluasan ruang induknya ialah 20 m x 20 m dan dilingkungi oleh serambi utama selebar 2.5 m yang juga mempunyai sebuah kubah. Sebuah kolah untuk mengambil air sembahyang terletak di sisi timur serambi tersebut.

Pada hari Jumaat 26 September 1913, Sultan Idris Murshidul Azam Shah telah meletakkan batu asas masjid tersebut. Pembinaan masjid tergendala beberapa tahun kerana kerosakan ketul-ketul marmar di tempat simpanannya yang telah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan Sultan Idris dan Raja Chulan. Mengikut cerita dengan tidak semena-mena seekor gajah baginda bernama Kulub Chandan dan gembalanya bernama Kulup Sa'id telah berjuang dengan seekor gajah kepunyaan Raja Chulan bernama Kulub Gangga dan gembalanya bernama Uda Debok. Perjuangan gajah itu telah melarat ke tempat simpanan batu marmar tersebut dan akibatnya, musnahlah batu marmar itu. Perjuangan gajah itu telah berlanjutan hingga berjam-jam lamanya, sehingga Raja Chulan sendiri datang, menyeru nama gajahnya dan memerintahkannya berhenti, maka barulah gajah itu berhenti berjuang, walaupun telah ramai orang yang cuba meleraikan gajah itu tetapi tidak berhasil.

Pesanan batu marmar yang baru dari Itali tergendala akibat tercetusnya Perang Dunia Pertama, sehinggalah 1917 barulah masjid yang terindah di negeri Perak itu dengan rasminya dibuka pada 1917 oleh Sultan Abdul Jalil Nasaruddin Shah iaitu Sultan Perak yang menggantikan Sultan Idris yang mangkat pada tahun 1916. Belanja pembinaan masjid Ubudiah ketika itu di anggarkan berjumlah RM200,000.00.
Sebelum Masjid Sultan ldris Shah II di Ipoh dibina dan dijadikan Masjid Negeri pada 15 November 1968, maka Masjid Ubudiah adalah Masjid Negeri Perak. Masjid Ubudiah sekarang dikenali sebagai Masjid Diraja dan ditadbirkan oleh suatu Jawatankuasa Tadbir Masjid Ubudiah dan dipengerusikan oleh sesiapa yang dilantik oleh Paduka Seri Sultan biasanya penyandang jawatan Orang Kaya Temenggong Paduka Raja mahtlpun jawatan Orang Kaya-kaya Setia Bijaya Diraja dan jawatan Setiausaha diuruskan oleh seorang pegawai kerajaan yang berkhidmat di Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak (Darul Ridzuan).


2) Istana Iskandariah



Tapak asalnya merupakan tapak Istana Negara yang dirobohkan pada 1933. Senibina istana ini mengambil corak senibina Islam-India 'Saracenic' dengan campuran senibina Asia Barat. Motif pada gerbang tajam (pointed arch), hiasan minaret, kubah berbentuk bawang (onion shaped domes). Ia adalah hasil ilham, pengalaman dan perjalanan arkitek dan jurutera British di Tanah Melayu. Senibina sedemikian terpancar juga pada Masjid Ubudiah, Stesyen Keretapi Kuala Lumpur dan Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Istana Negara sebelum banjir pada tahun 1926

Istana ini luasnya 112.320 kali persegi. Bangunannya berbentuk bujur segi empat (bujur sangkar). Depannya menghala arah matahari naik dan pemandangan terus ke arah Sungai Perak. Selain kubah utama, ada lagi 4 kubah berbentuk bawang yang lebih kecil. Istana ini mengandungi dua tingkat bangunan termasuk lantai bawah (ground floor) dan satu tingkat lagi terletaknya minaret kecil yang dipanggil Roof Lounge. Di lantai bawah terdapat Bilik Mengadap, Bilik Jamuan Negeri, Bilik Lukisan, Bilik Biliard, Bilik Pejabat Juruiring (ADC), Bilik Persalinan Perempuan (Cloak Room), Bilik Makam dan bilik-bilik kecil dengan pelbagai fungsi tersendiri. Juga terdapat Dewan Negara dan Dewan Muzik dan ruang mainan. Selain itu terdapat Balai Nobat, Balai Rong Seri dan Singgahsana.


Acara terbaru yang berlangsung di istana ini ialah Perkahwinan Diraja Raja Dr. Nazrin Shah pada 17 , 18 dan 19 Mei 2007.


3) Menara Pavillion


Bangunan ini terletak di Jalan Bendahara, Bandar Di Raja Kuala Kangsar. Bangunan ini didirikan pada tahun 1920, iaitu semasa pemerintahan Sultan Iskandar Shah yang memerintah Perak dari tahun 1918-1938. Arkiteknya ialah N.E.Don B.C.D. Bangunan ini digunakan sebagai tempat istirehat oleh Sultan Iskandar selepas bermain polo.

Pada masa sekarang, menara Pavilion ini tidak lagi digunakan , namun ianya telah dijadikan salah satu tempat tarikan pelancong yang berkunjung ke Bandar Di Raja Kuala Kangsar.


4) Jambatan Victoria


Jambatan keretapi ini disebut juga Jambatan Enggor kerana letaknya di Enggor, Kuala Kangsar. Jambatan yang merentangi Sungai Perak ini mula dibina pada tahun 1897 dan siap serta dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Idris Murshidul Azam Shah pada tahun 1900. Jurutera yang bertanggungjawab terhadap pembinaan jambatan ini ialah G.W Fryer, Divisional Engineer dan C.RHanson. Dengan siapnya jambatan ini, maka lengkaplah perjalanan keretapi dari Enggor ke Kuala Kangsar. Dalam tahun 1910, jambatan ini telah digunakan sepenuhnya untuk laluan keretapi dari Perai ke Johor Bahru.


5) Istana Kenangan / Istana Kuning


Istana ini pada keseluruhannya diperbuat daripada kayu dan dikenali juga dengan nama Istana Lembah atau kadangkala disebut juga Istana Tepas. Istana ini terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah. Istana yang berdinding kelarai berbumbung perabut lima dan perabut pisang sesikat ini telah dirancang pembinaannya selepas banjir besar melanda Perak pada tahun 1926. Inilah istana rasmi tempat bersemayam Raja-raja pemerintah yang ditabal sebagai Sultan Perak sejak tahun 1933 dahulu.

Tukang yang membuat istana ialah Haji Suffian dan anak-anaknya yang berasal dari Seberang Perai. Istana ini telah siap sepenuhnya pada tahun 1931. Sultan Iskandar Shah iaitu Sultan Perak ke 30 (1918-1938) telah berpindah bersemayam di istana tersebut kerana Istana Negera, iaitu istana rasmi Sultan Perak di Changkat Negara akan dirobohkan untuk dibina istana yang baru (Istana Iskandariah sekarang).

Dalam tahun 1933, apabila Istana Iskandariah siap dibina, Sultan Iskandar Shah telah berpindah ke istana tersebut. Istana Lembah atau Istana Tepas diduduki pula oleh keluarga Diraja Perak.


Nama Istana Kenangan hanya bermula pada tahun 1960 an, iaitu selepas istana tersebut diperbaiki semula dengan usaha Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Abdul Rahman Putra Al-Haj, bekas Perdana Menteri Malaysia. Nama istana ini sempena nama Sultan Iskandar Shah yang bertanggungjawab terhadap pembinaannya dahulu. Pada 16 November 1986, setelah dipelihara, Istana Kenangan dengan rasminya dijadikan Muzium Di Raja Perak hingga ke hari ini.
 

6) Pokok Getah Tertua


Terletak diperkarangan Pejabat Daerah Kuala Kangsar dan satu-satunya pokok getah pertama yang hidup daripada sembilan pokok getah asal yang ditanam. Saiznya tiga atau empat pemeluk. H.N.Ridley adalah orang yang bertanggungjawab menjadikan Kuala Kangsar sebagai daerah industri getah yang pertama dan akhirnya menjadi sumber pendapatan penting Malaysia.


7) Galeri Sultan Azlan Shah



Galeri Sultan Azlan Shah terletak di bandar DiRaja Kuala Kangsar dahulunya dikenali sebagai Istana Hulu. Ia mempamerkan gabungan senibina Asia dan Eropah. Galeri itu memberi tumpuan kepada sejarah dan pencapaian Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Ia turut memberikan maklumat mengenai sejarah dan susur paur Kesultanan Perak dan gambar dan kenderaan, termasuk hadiah-hadiah yang diberikan kepada Sultan dan Sultanah oleh ketua negara dari seluruh dunia. Galeri Sultan Azlan Shah terletak di Bukit Chandan sekitar 1.5 kilometer dari bandar Kuala Kangsar dan hanya 500 meter dari Istana Kenangan.


8) Resort Sungai Perak



Resort Sungai Perak (bahasa Inggeris: Perak Riverside Resort) adalah sebuah tempat penginapan berstatus resort yang terletak di Kuala Kangsar, Perak. Sebelum ini, nama resort ini adalah Resort Safari Sungai Perak, namun telah bertukar kepada Resort Sungai Perak.

Resort Sungai Perak berkeluasan sekitar 5 ekar persegi dan mula dibina pada tahun 1998 melalui peruntukan dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Landskap Negara serta Kerajaan Negeri Perak dengan jumlah kos sebanyak RM 4.15 juta. Pembinaan resort ini telah disiapkan pada akhir Mac 2000 dan mula beroperasi pada 1 April 2000 dimana Majlis Daerah Kuala Kangsar (kini dikenali sebagai Majlis Perbandaran Kuala Kangsar) telah diperakukan untuk menguruskan resort ini secara sepenuhnya. Tuan Haji Rahim Bin Saleh selaku Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Kangsar pada masa itu adalah antara pencetus idea bagi melaksanakan pembinaan resort tersebut. Pada tahun 2008, Resort Sungai Perak telah diserahkan kepada pengurusan baharu di bawah Awan bayu Sdn. Bhd.

Sungai Perak

9) Menyusuri tebing Sungai Perak menaiki bot penambang


10) Kolam Air Panas Ara Panjang



11) Malay Collage Kuala Kangsar (MCKK)

Malay Collage Kuala Kangsar (MCKK)
Kolej Melayu Kuala Kangsar (lebih dikenali Malay College, MCKK, MC atau Koleq, dan kadangkala Eton of the East) atau (Inggeris:Malay College Kuala Kangsar), merupakan sebuah sekolah berasrama penuh premier lelaki sahaja di Malaysia. Sekolah ini terletak diBandar DiRaja Kuala Kangsar, Perak. 

Ditubuhkan pada 1905 oleh pihak British atas cadangan daripada R.J. Wilkinson, pegawai pendidikan jajahan pada masa itu. Cadangan itu disokong sepenuhnya oleh Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I (1886—1916).
Sultan Idris Murshidul Azam Shah

Pada awalnya, penubuhan sekolah ini ialah untuk mendidik dan melatih golongan elit Melayu, yang terdiri daripada kerabat diRaja. 

Anak lelaki kelahiran kebanyakan sukar untuk mendapat tempat di sekolah ini. Selepas kebangkitan nasionalisme orang Melayu pada sekitar tahun 1947, syarat kemasukan ke sekolah ini dilonggarkan dan semakin ramai anak-anak orang kebanyakan dapat peluang untuk menuntut di sini. Kini anak Melayu terpilih berpeluang mengikuti pembelajaran peringkat menengah di sekolah ini.

Seorang graduan Universiti Oxford yang berasal dari Ireland, William Hargreaves mendapat penghormatan untuk menjadi pengetua pertama sekolah ini dan sekolah ini ditadbir oleh pengetua dari Britain sehingga tahun 1965, di mana Abdul Aziz Ismail, seorang rakyat berbangsa Melayu diambil sebagai pengetua sempena ulangtahun ke-60, dan sehingga kini rakyat lelaki berbangsa Melayu memegang jawatan tersebut.

Pada 16hb Ogos 2011, Tuan Pengetua En Anand bin Baharuddin telah mengumumkan dengan rasminya Puan Azizah binti Bakar telah dilantik sebagai Penolong Kanan yang baru menggantikan En Safuan bin Rabaai yang bertukar ke Jabatan Pelajaran Negeri Perak. Ini merupakan pertama kali dalam sejarah, MCKK melantik wanita sebagai Penolong Kanan.

Antara bekas pelajar yang ternama adalah seperti
  • Sultan Hisamuddin Alam Shah – Yang di-Pertuan Agong ke-2 & Sultan Selangor ke-5
  • Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah – Agong ke-11 & Sultan Selangor ke-8
  • Sultan Haji Ahmad Shah – Agong ke-7 & Sultan Pahang kini
  • Sultan Azlan Muhibbuddin Shah – Agong ke-9 & Sultan Perak kini
  • Dato' Onn Jaafar – Menteri Besar Johor ke-7 & pengasas UMNO
  • Tun Abdul Razak Dato' Hussein – Perdana Menteri Malaysia kedua
  • Dato Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz – Menteri Besar Perak pertama
  • Tan Sri Yahaya Ahmad - bekas pengerusi DRB-Hicom
  • Tan Sri Hassan Merican - bekas CEO Petronas
  • Tan Sri Halim Saad - penubuh Kolej Yayasan Saad
  • Tan Sri Dato' Azman Mokhtar - pengarah urusan Khazanah Berhad
  • Datuk Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah - perunding motivasi terkenal
  • Dato' FD Iskandar Mansor - pengarah urusan GLOMAC Berhad
  • Ishak Haji Muhammad - penulis & nasionalis


12) Perak Hydro Building


13) Jambatan Sultan Abdul Jalil



Selain daripada pertanian, penduduk Kuala Kangsar juga terkenal dengan pembuatan:

1) Labu Sayong



Labu sayong ialah sejenis bekas tembikar bernama labu berwarna hitam yang merupakan produk perusahaan dari Kampung Kepala Bendang, dalam Mukim Sayong, iaitu sebuah desa yang terletak 1 kilometer dari  Kuala Kangsar, Perak. Dari kampung inilah perusahaan ini berasal kerana sumber bahan mentah iaitu tanah liat khas diperoleh dari kampung tersebut. Lanjutan daripada ini, perusahaan membuat labu sayong telah berkembang di kalangan waris asal pembuat tembikar ini ke sekitar perkampungan dalam daerah Kuala Kangsar.

Bekas menyimpan air yang dihasilkan daripada tanah liat ini dibentuk dan diukir dengan teliti. Motif ukirannya banyak menjurus kepada unsur tradisional, khususnya bunga-bungaan seperti bunga tanjung, padi, senduduk, lawang, cengkih dan pucuk rebung. Air yang tersimpan begitu dingin dan segar.

Perusahaan membuat Labu Sayong tergolong dalam pembuatan seramik. Peredaran zaman, telah merevolusi kaedah pembuatannya daripada tradisional kepada moden.
  • Pembuatan tradisional
  • Pembuatan moden
    • Throwing / Teknik lemparan alin
    • Teknik acuan
    • Teknik sepuh
Berikut antara lokasi perusahaan membuat labu sayong dalam daerah Kuala Kangsar:
  • Kampung Kepala Bendang, Mukim Sayong Kuala Kangsar
  • Kampung Paya Lintah, Mukim Buaia, Padang Rengas
  • Kampung Kuala Dal, Mukim Buaia, Padang Rengas
  • Kuala Kangsar,Ipoh,Perak
Kebanyakkan lokasi perusahaan ini turut menawarkan pakej lawatan sambil belajar kepada pelbagai agensi, sekolah, IPT, dan dokumentari.


2) Tekad Benang Emas



3) Barangan kraf yang dijual di Bazar Kraf yang dibina di tepi Sungai Perak ini. Terdapat pelbagai barang kraftangan tempatan pada harga berpatutan, termasuk bubu hiasan, bakul rotan, acuan cendol, tikar mengkuang, tudung saji rotan atau nipah, karangan laut dan barangan besi. Barangan daripada kain baldu bertekat benang emas biasanya dijadikan kelengkapan perkahwinan, antaranya tepak sirih, bantal, kipas tekad benang emas, cadar dan hiasan dinding.


Tudung saji nipah berhias bunga tekad tidak lagi dijual, sebaliknya digantikan bunga tampal. Tudung saji itu dibuat oleh orang tua-tua di sekitar Perak dan semakin sukar diperolehi. Jika seni kraf ini tidak dipelajari dan dipelihara, tentu satu hari nanti kita akan kehilangan satu budaya berharga yang tidak mungkin dapat dicari gantinya. Walaupun tiada gedung beli-belah, namun kuasa membeli di Kuala Kangsar tidak kalah. Mana tidaknya, selain bazar kraf tangan, di sini ada banyak kedai menjual barang pada harga borong, terutama pakaian dan barang keperluan harian lain.


4) Medan Cendol dan Laksa dibina bersebelahan bazar kraf dan Laman Budaya.Di sini terkenal dengan masakan kampung dan ikan bakar. Anda dapat makan Laksa panas dan cendol lemak manis yang sejuk sambil memerhatikan keindahan Laman Budaya.

Keretapi mel melepasi terowong berhampiran dengan Padang Rengas. (Source: Google Images)


So agak-agak cam ner nak ke Kuala Kangso ni weiiii.. Ha....

A) Kalo gune jalanraya
  • Lebuhraya Utara Selatan exit 143
  • Jalan Biasa ( Dari Utara, Selatan, Barat dan Timur.)
B) Kot nak naik kenderaan awam
  • Bas
    Tempatan- Melalui pekan-pekan terdekat seperti Taiping, Sungai Siput, Manong, Lenggong dan Gerik
  •  Keretapi
  • Perkhidmatan Teksi Dan Kereta Sewa



Sumber: http://www.mpkkpk.gov.my

Selasa, 25 September 2012

Silau... Silau La. Apsal tukar Warna dan Ragam ni...


Heheh ary ni macam dikatakan tadi dapat rehat jab dari bekerja. Dapat cuti sehari nih ngadap laptop le sedari tadi. Lepas kongsi resepi buat Cream Cheese Icing terasa lak nak ngubah penampilan kat blog nih.


Agak-agak rupa baru nih ok tak? Atau terasa berpinau mata nak membacanya? Hehehh. Kalau rasa berserabut citer aa kat saya nanti saya ubah penampilan yang sesuai. Tapi buat masa sekarang rasanya yang ni sesuai kot sebab dah terlalu lama rasanya berwajah lembut hikhik. Sesekali nak gak menyilau heheh. Ok tak?????


Resepi Hebat: Cream Cheese Icing.. Hmmm yummy!


Maaf le dah lama tak ke udara. Banyak hal nak kena selesaikan. Naik letih mak youuu. Hari ni baru lega sikit. Tapi tu le masih penat lagi lepas sebab baru je balik dari KL nih. Appoinment dengan Carrefour (tapi cancel saat akhir.. Hai nasib badan. Kena fix appointment lain le pulak nih) dengan Tesco (yang ni jadi lega le sikit heheh). Esok lusa nak kena ke Penang lak. Lepas tu prepare Sos Char Kueyteow 2 Puteri lak untuk hantar ke Mydin Meru Raya Ipoh. Dah siap tu kena berbondong le ngantor produk ke Ipoh. Camtu le nak cari rezeki halal kan.


Appointment semalam dengan Tesco sebab sign agreement untuk kemasukan produk. Maknanya lepas sign nih bebila masa je akan dapat order. Alhamdulillah. Insyaallah Sos Char Kueyteow 2 Puteri ngan Cili Boh Asli 2 Puteri akan masuk pasaraya Tesco dalam bulan Oktober kot kata staff Tesco semalam. Tapi tunggu dan standby je la. Nanti kalau dah masuk saya inform kay...


Terima kasih le pada yang telah singgah sini selama ketiadaan saya yer. Terutama buat Kira dan Alicessa yang dah sertai tapak saya dan  Cheese yang rajin singgah sini. Terharu sesangat. Terima kasih gak buat yang lelain yer yang dah daftar untuk sertai tapak dan sudi berchit chat :). Kot sudi nanti-nanti singgah le lagi. Insyaallah akan saya kongsi lain-lain cerita dan fakta kay. Kalau ada idea kongsi-kongsi le dengan saya boleg gak saya perbetulkan mana yang patut kat laman Asam Garam 2 Puteri nih. Insyaallah kot ada kelapangan saya akan jengah lak blog kengkawan kay.. Tapi saya nih tak le pandai sangat jadi kadang-kadang nak singgah tapi tak dapat sebab masuk laman lain. Haru gak. Kadang-kadang ada yang tanya banyak. So kot yang macam tu memang tak reti le saya. Jadinya saya patah balik le tak jadi singgah. Almaklumlah main terjah sendiri nih memang limited le ilmunya heheh.


Berbalik pada cerita hari nih. Rupanya saya terrrr lupa nak post sekali resepi Cream Cheese Icing untuk topingkan Kek Coklat Mayonis yang saya kirimkan Sabtu itu hari. Selain dari toping Chocolate Ganache yang macam saya linkkan kat resepi kek tu, cream ni pun sedap gak dimakan bersama Kek Coklat Mayonis tu. Saya pun selalu guna resepi Cream Cheese ni untuk Kek Buah. Sedap gak.. Cubalah!


Resepi Cream Cheese Ising saya ambil kat dapur sis Rahel Benyamin. Masa tu dia masak Kek Coklat Mayonis yang saya kongsikan resepinya. Dah buat kek tu memang sedap. So kot sudi try ler yer... Moist dan memang kena ler dengan kehendak tekak kita yang manja ni heheh. Makan lak dengan cream cheese yang masam-masam ni hu... Kan ke main lagi lupa diri heheh.


Kalau nak implementkan resepi ni untuk kek lain pun ok gak macam saya cakap tadi. Pada kek buah ker, red valvet ker , Carrot Cake ker atau apa-apa ler. Sedapppp...


Cream Cheese Icing

Resepi: Rahel Benyamin

Bahan
  • 250g cream cheese
  • 50g gula aising,ayak
  • 1 sudu makan susu tepung
  • 1/2 sudu teh esen vanila

Caranya
1. Pukul cream cheese hingga rata. Tambahkan gula aising dan susu tepung, teruskan putar hingga berkrim.
2. Tambahkan esen vanila. Putar rata.
3. Salut pada seluruh permukaan kek.

Sabtu, 22 September 2012

Resepi Hebat: Kek Coklat Mayonis.. Sedappp


Kek Coklat Mayonis... Isk macam mana yer agak-agak rasanya? Sedap ker? Tengok gambarnya kat dapur sis Rahel Benyamin nampak sedap sangat. Meleleh air liur ko. Hehhe.


Itu persoalan yang bermain dalam benak saya masa mula-mula tengok resepi ni. Mula ler tangan ni gatal nak salin resepinya. Nak-nak pulak Afif asyik minta kek coklat je. So apa lagi bila ada peluang ke bakery terus beli bahan yang nak digunakan untuk buat kek ni. Sebenarnya ibunya sendiri pun tak sabar nak cuba resepi ni heheh. Itu yang sebenarnya. Hahah.


Masa buat kek tu memang menjadi tapi masa nak angkat tu patah ler pulak. Mungkin ganas sangat kot hehe. Tapi dalamnya tu macam tak lekat sangat antara satu sama lain. Aduih salah tang mana lak ek. Tapi apa pun kek ni memang rasa sedap sangat. Moist gitu. Makan lak panas-panas fuh.. Tak sedar yang  boleh buat badan dah makin berkembang pesat semula hehehe. Kata nak diet... Masa saya cari gambar untuk hias resepi ni, saya termasuk ke rumah Ummi di Home Sweet Home. Rupanya dia pun dah cuba resepi best ni. Bila dibaca baru tahu yang dia pun alami yang sama macam saya. Tapi dek kerana ummi ni kategori teror membaking so dia ubah sikit resepi dengan tambah sebiji telur. Katanya untuk mantapkan lagi kek ni. Apa pun kowang kot nak try kek ni cuba ler yang mana satu versi yang disukai. Yang asal dari sis Rahel Benyamin atau yang diubah sikit oleh sis Ummi.


 

Kek Coklat Mayonis

Resepi: Zaliana
Sumber: Rahel Benyamin
Diuji rasa : Ummi, Home Sweet Home



Bahan Untuk Kek:
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 cawan serbuk koko
  • 2 sudu teh baking powder
  • 1 sudu teh soda bikarbonat
  • 1 cawan mayonis
  • 1 cawan gula halus
  • 1 cawan susu pekat
  • 1 biji telor gred B - ni sis ummi tambah sendiri
  • 1 cawan air panas
  • 3/4 cawan minyak masak
  • 1/2 sudu teh butter oil
  • 1/2 cawan kepingan badam hiris

Caranya

1. Satukan tepung gandum,serbuk koko,baking powder dan soda bikarbonat. Ayak. Ketepikan.

2. Campurkan mayonis,gula,butter oil dan susu pekat di dalam mangkuk pengadun dan pukul hingga sebati. (*sis ummi tambah telor sekaligus masa ni).

3. Kemudian masukkan campuran tepung secara sedikit demi sedikit,berselang-seli dengan air panas. Pukul hingga semua bahan sebati.

4. Kemudian masukkan minyak masak & kacau.Akhir sekali masukkan kepingan badam,kacau rata.Tuangkan adunan ke dalam loyang yg bahagian tepinya telah digris dengan mentega dan dasarnya diletakkan baking paper.

5. Bakar di dalam oven yg telah dipanaskan. Setkan suhu oven masing-masing (yang ni Rahel bakar selama 90 minit pd suhu 170'C, loyang 9'' manakala sis Ummi bakar 1 jam 15 minit).


So boleh ler pilih yer versi mana satu. Yang saya ingat saya pun ada naikkan sikit masa tu. Tambah bagi jadi 1 jam lebih. So try ler yer. Kek ni kalau ikut resepi asalnya guna Topping Chocolate Ganache. Leh gak guna resepi Chocolate fudge Topping 3 yang saya kongsikan kat sini. Tapi Sis Rahel kita guna Cream Cheese Icing. So sila ler pilih topping yang mana satu pilihan hati gak yer hehehe.  Pilih pilih hikhik....


Jumaat, 21 September 2012

Malaysia: Sejarah Jalur Gemilang Yang Mungkin Ramai Orang Terlepas Pandang


Jalur Gemilang kebanggaan anak Malaysia. Dulu saya ada sentuh berkenaan Lagu Negaraku iaitu lagu Kebangsaan kita, hari ni saya nak sentuh pasal bendera kita pulak. Meh kita baca untuk tambah sikit pengetahuan tentang negara kita tercinta ni kay...


Sejarah Jalur Gemilang Yang Mungkin Ramai Orang Terlepas Pandang


JALUR GEMILANG yang dilihat sekarang sebenarnya wujud beberapa tahun sebelum negara merdeka. Pencipta bendera kebanggaan kita ni bernama Allahyarham Mohamed Hamzah yang berasal dari Johor Bahru, Johor. Beliau merupakan arkitek muda yang berusia 29 tahun di Jabatan Kerja Raya (JKR) di Johor. Beliau menciptanya pada tahun 1947 menerusi pertandingan peringkat kebangsaan yang diadakan untuk memilih bendera untuk Persekutuan Tanah Melayu yang diundi oleh orang ramai.  Pertandingan dikelolakan Jawatankuasa Khas dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Sir Alec Newboult dianjurkan bagi mencari lambang kewujudan kerajaan Persekutuan.

 
Pada 15 November 1949, Jawatankuasa ini mengemukakan 373 reka bentuk bendera kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan dan pemilihan. Daripada jumlah itu, tiga rekaan disenarai pendekkan membabitkan lambang keris bersilang dikelilingi 11 bintang pecah lima manakala rekaan kedua mempertaruhkan reka bentuk hampir serupa kecuali 11 bintang pecah lima membentuk dua bulatan mengelilingi keris bersilang.

 
Bagaimanapun, rekaan ketiga ciptaan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamed Hamzah yang menampilkan sebelas jalur merah-putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri mendapat pilihan majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950. Sebelum kekal dengan rekaan sekarang, beberapa pindaan dibuat termasuk mengikut cadangan Sultan Kedah yang meminta warna putih bulan sabit ditukar kuning bagi mewakili warna Diraja. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan menerusi perkenan Majlis Raja-Raja Melayu telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara untuk menerima rekaan berkenaan. Rekaan itu akhirnya mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950. Dan ianya dikibarkan buat pertama kalinya pada 26 Mei 1950 di dalam satu majlis menaikkan bendera yang dianjurkan oleh Persuruhjaya Tinggi British diperkarangan Istana Sultan Selangor dan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja dan Pegawai-pegawai King George VI.


Pada 26 Mei tahun yang sama, bendera itu dikibarkan buat pertama kalinya di Istana Sultan Selangor, Kuala Lumpur. Majlis pengibaran yang berlangsung pada 9.30 pagi itu dihadiri wakil Sultan seluruh tanah Melayu.



Lakaran asal Bendera Malaysia

Makna Disebalik Sebuah Bendera

Bendera Malaysia; (tulisan Jawi: بندرا مليسيا) dikenali sebagai Jalur Gemilang kini, mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan 1 kerajaan persekutuan - Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah,Sarawak, Selangor dan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.


Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama rasmi bagi Persekutuan (Malaysia).

Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

 
Kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Majlis Raja-Raja telah memperkenankan rekaan Bendera Malaysia berdasarkan rekaan asal Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada jalur dan pecahan bintang bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia. Duli-Duli yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia. Bendera kebanggaan kita ini dikibarkan dengan rasminya di seluruh negara untuk melambangkan kelahiran Malaysia pada 16 September 1963. 

 
Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan pecahan bintang terus dikekalkan kepada 14 sehingga sekarang. Akan tetapi ianya diberi makna baru iaitu pecahan 14 jalur dan 14 pecahan bintang mewakili keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 kerajaan negeri dibawah Malaysia dan 1 Kerajaan Persekutuan yang terdiri daripada 3 wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu


Selama 40 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan Malaysia yang ke40 tahun pada tahun 1997 namanya telah ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama yang diusulkan oleh pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam peraduan membabitkan pihak tertentu ini bejaya menewaskan 28 cadangan antaranya Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagaianya.


Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gamilang diusulkan oleh Datuk Hashim Mat Idris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada Perdana Menteri Malaysia yang ke4, Tun mAhathir pada 11 Julai 1995. Pada 1 Julai 1996, urussetia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara. 3 nama ini bagaimana pun ditolak oleh Jemaah Menteri ketika mesyuarat pada 11 September 1996. 28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, 3 nama dicalonkan sekali lagi menikut keutamaan iaitu Jalur Gamilang, Jalur Nusa Gamilang dan Jalur Sinar Gemilang.

 
Nama bendera Malaysia telah diisytiharkan oleh Tun Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri ke4 pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kebangsaan Negara yang ke40. Pengiytiharan Jalur Gemilang dilakukan pada 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.





Makna Disebalik Nama

JALUR - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara. 


GEMILANG - bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.


Lagu Jalur Gamilang


Lagu ciptaan komposer terkenal negara iaitu Pak Ngah bersama Siso (Kopratasa) merupakan sebuah lagu khas yang ditujukan kepada Jalur Gemilang dibuat untuk memperingati dan membanggakan bendera Malaysia disamping memperingati identiti bendera serta menyeru untuk dikibarkan bendera tersebut beserta kemegahan. Ketika "Jalur Gemilang" dinamakan, lagu khas untuknya turut dibuat untuk meraikan dan memperingati bendera Malaysia dengan nama Jalur Gemilang, identiti dan kemegahan yang telah dibawa bersama yang bermula melancarkan dirasmikan pada tarikh 9 Ogos 2003. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...